Anda membawa anak-anak bermain di rumah sepupunya. Separuh hari berlalu, dan anda harus pulang kerana anda mempunyai urusan penting yang harus dilakukan.
Anda sudah mengingatkan pada anak-anak, “siap cepat. Lagi 10 minit kita balik”.
Anda berharap semuanya berjalan dengan lancar.
Menjelang waktu pulang, salah seorang anak mula membuat perangai.
“Taknak balik! Saya benci mak!”, katanya sambil menjerit.
Darah memuncak naik. Anda menjerit kembali “Berani cakap macam tu dengan mak!”.
Dia menyambung, “Saya benci mak! Mak jahat! Semua tak boleh! Semua tak boleh!”.
Anda sudah mula geram dan malu pada saudara lain. Anda mengheretnya ke dalam kereta dan bergelut dengannya yang mengamuk dan menendang semua benda.
Semestinya sebagai ibu bapa, kita mahu mendidik anak-anak melayan orang lain dengan baik dan penuh hormat.
Namun, mendidik mereka haruslah kena pada masanya. Mereka tidak boleh dididik dalam suasana yang tegang seperti dalam situasi yang saya gambarkan tadi.
Jadi, bagaimana untuk respon apabila anak anda bersikap kurang ajar?
Disini saya kongsikan 7 perkara yang patut anda lakukan apabila keadaan tersebut berlaku selain dari memalukan mereka dengan menengking dan memukul mereka didepan orang lain.
Kedengaran mudah tetapi hakikatnya, inilah yang paling sukar kan? Lebih-lebih lagi apabila anak sendiri kurang ajar.
Namun, memberi respon yang negatif pada mereka menyebabkan tiada bezanya kita dengan mereka.
Ingat, kita adalah ketua di dalam rumah ini. Memimpinlah melalui teladan, bukan dengan paksaan.
Tunjukkan contoh yang baik dengan cuba tarik nafas dalam-dalam, dan banyakkan berzikir di dalam hati.
Imej:Jessica Beck
Fikirkan sejenak, adakah kita juga akan memberikan respon sedemikian sekiranya kita berada ditempatnya?
Adakah dia rasa dimalukan dihadapan orang ramai? Adakah dia terlalu penat? Adakah apa yang anda suruh itu sesuatu yang sukar untuk dia lakukan?
Hakikatnya, respon anak anda sebenarnya menggambarkan perasaan sebenarnya. Cuma adakalanya, dia tidak mampu menzahirkannya dengan perkataan yang lebih sesuai.
Bantu anak anda memahami sendiri perasaannya dengan memberi respon yang berbentuk empati.
“Umi tahu, memang susah nak balik bila along tengah syok bermain dengan kawan-kawan. Lagipun, bukan selalu jumpa, kan?”
Tidak semestinya anda kena bersetuju dengan semua tindakannya. Tetapi sekurang-kurangnya, anda boleh cuba untuk menyelami perasaannya dan cuba buatnya tahu bahawa anda memahami perasaannya.
Cuba fikirkan sebentar, apa sebenarnya yang tidak kena. Adakalanya anak terlalu leka bermain dan terlupa untuk makan sehingga mereka akhirnya baru tersedar mereka terlalu lapar atau dahaga.
Ada juga yang terlalu penat dan tidak cukup tidur. Kenalpasti punca masalah. Hanya anda mengetahui karekter anak anda.
Lebih mudah untuk mengamuk dan marah dalam situasi itu. Tetapi adalah lebih baik sekiranya anda mendengar apa yang dia mahu luahkan.
Suruh anak anda bertenang, dan beritahu padanya untuk meluahkan apa yang terbuku dihati.
Adakalanya, tidak memberi respon lansung adalah respon yang terbaik – lebih-lebih lagi apabila anda tahu dia berperangai sedemikian akibat terlalu lapar atau penat.
Abaikan sahaja.
Nanti apabila dia sudah bertenang, anda boleh berbincang dengannya mengapa dia bertindak sedemikian dan menerangkan padanya nilai negatif tersebut adalah tidak elok untuk dilakukan.
Apabila anak bersikap kurang ajar, semestinya perkara terakhir yang anda lakukan adalah mahu memeluknya. Pasti terasa bagai mahu dirotan-rotan sahaja untuk memuaskan hati anda. Jangan!
Api dibalas dengan api akan menyemarakkan lagi api tersebut. Menghukumnya dengan cara yang kasar boleh menyebabkannya lebih menyimpan dendam di dalam hati. Ia tidak akan mengubahnya menjadi insan yang lebih baik.
Tahukah anda, ikatan yang kuat adalah perkara yang paling dia perlukan di saat itu. Peluklah dia dan tenangkannya dengan membaca ayat suci al-Quran padanya.
Ketepikan ego anda. InshaAllah anda akan dapati anak anda boleh bertenang dengan cepat.
Jangan terburu-buru menghukum apabila anak bersikap kurang ajar. Tidak terus menghukum bukan bermakna anda ibu bapa yang dipijak anak atau tidak tegas. Bukan juga bermakna anda bertolak ansur dengan sikap tersebut.
Otak yang tenang memudahkan si anak dan anda sendiri menyerap informasi dengan lebih baik.
Tugas ibu bapa adalah menghukum anak dengan bertujuan untuk mendidik mereka, bukan untuk membalas perbuatan mereka atau melepaskan geram kita.
Walau apa pun, mereka masih anak-anak – individu yang belum mencapai kematangan seperti orang dewasa. Di mana kematangan kita sebagai orang dewasa, jika tidak mampu menahan nafsu dan amarah sendiri?
Oleh itu, mendidik dalam keadaan tenang memudahkan lagi proses pembelajaran tersebut.
Sebaik sahaja kedua-dua pihak bertenang, bincangkan semula dengannya mengapa dia bertindak sedemikian. Beritahunya perbuatan tersebut adalah tidak elok. Bincang dengannya respon yang lebih baik sekiranya situasi tersebut berlaku lagi.
InshaAllah, anak anda akan mudah menerima dan lebih menghormati anda.