Badiuzzaman Said Nursi, bukanlah  satu nama yang begitu dikenali di negara ini, tetapi beliau merupakan ikutan atau idola yang sangat berpengaruh di Turki. Beliaulah ulama dan tokoh Islam yang berjuang menentang pemerintahan sekular Kamal Artartuk melalui penulisan dan suaranya.

Jasa, perjuangannya bukan sedikit dalam usaha keras menarik balik umat Islam ke arah jalan akidah yang sejati. Pengorbanan beliau terhadap agama sangat besar dan sangat sukar diganti sehigga kini. Dalam dunia Islam, Said Nursi bukan sekadar seorang alim ulama, melainkan sebagai pahlawan dalam sejarah Islam moden.

Kelahiran Dari Keluarga Mulia

Nama asal beliau ialah Said bin Mirza. Beliau dilahirkan di kampung bernama Nurs di daerah Bitlis Anatolia, Turki pada 1877 M. Said Nursi berketurunan suku Kurdis, dan ada dalam kalangan pengkaji berpendapat nasab beliau sampai pada Rasulullah SAW.

Ayahnya bernama Mulla Mirza, dan ibunya bernama Nuriyah. Said Nursi merupakan anak keempat dari tujuh beradik, dan dibesarkan dalam kalangan keluarga petani yang taat beragama.

Bapanya sangat tegas dan teliti dalam menjauhkan keluarganya dengan sumber makanan yang diragui, apatah lagi makanan yang haram. Bahkan ibunya hanya menyusukan anak-anaknya dalam keadaan berwuduk sahaja.

Kebijaksanaan yang Luar Biasa

Sejak dari kecil lagi Said Nursi dilihat sebagai seorang kanak-kanak yang cergas dan cerdas. Dalam bidang ilmu pengetahuan beliau sangat cemerlang. Beliau juga dikurniakan akal yang bijaksana selain memliki ingatan yang tajam dan kuat.

Pada peringkat awal Said Nursi mempelajari ilmu agama dari abangnya, Abdullah. Dalam usia yang masih remaja beliau sangat meminati bidang keilmuan dan gemar menghabiskan masanya dengan menghadiri madrasah untuk mendengar perbincangan tentang ilmu.

Dari usia yang muda lagi, beliau sudah mempelajari banyak ilmu seperti,  tafsir, hadis, fikih dan sebagainya. Selain mempelajari ilmu moden seperti matematik, geologi, kimia, fizik dan falsafah.

Ketekunan beliau belajar ditambah dengan kepintarannya membuatkan beliau mempunyai ilmu yang tinggi dalam pelbagai bidang, termasuklah menguasai bidang keagmaan dalam masa yang singkat sahaja. Ini  menjadikan beliau seorang yang  disegani dan  dihormati lantaran ilmunya.

Beliau juga berjaya menggabungkan ilmu dunia (moden) dengan ilmu akhirat (agama) secara serentak. Hal ini masih belum diterima pakai oleh masyarakat Turki ketika itu.

Said Nursi mulai berdakwah dan mengajar kepada golongan masyarakat dari peringkat bawahan sehinggalah kepada para pembesar. Sehinggakan keilmuan yang dimilikinya sangat dihargai oleh masyarakat dan para ulama Turki. Beliau juga banyak mengadakan diskusi  antara para ilmuan.Gelaran Badiuzzaman Atau ‘Keajaiban Zaman’

Gelaran Badiuzzaman pertama kali diberikan kepada beliau ketika berumur 15 tahun oleh gurunya, Syeikh Fathullah Effendi. Ini kerana Said Nursi  mempunyai kebijaksanaan yang begitu cemerlang.

Dalam usia yang semuda itu, beliau sudah menghafal 80 buah kitab. Sehinggakan berjaya menamatkan pengajiannya dalam masa tiga bulan sahaja, sedangkan orang lain mengambil masa selama 15 tahun!

Said Nursi diuji oleh beberapa orang ulama terkemuka yang mengakuinya sebagai seorang ulama. Namun ketika disuruh menyarungkan jubah (pakaian ulama pada masa itu) beliau menolak dengan mengatakan dirinya masih muda dan belum layak.

Gabenor baru wilayah Van, Tahir Basya menjemput Said Nursi tinggal di rumahnya. Jemputan itu diterima kerana di rumah Tahir Basya yang cintakan ilmu itu terdapat perpustakaan besar yang adanya banyak kitab-kitab agama dan juga buku-buku sains moden.

Akhirnya dalam masa yang singkat Said Nursi dapat menguasai dan sebagainya.

Kehebatannya diakui oleh golongan ilmuan ketika itu lalu diberi gelaran ‘Badiuzzaman’. Kali ini barulah Said Nursi  menerima gelaran tersebut.

Pejuang di Sebalik Dunia Sekular Turki

Said Nursi, seorang ulama yang menentang Kamal Ataturk secara lantang dan terang-terangan melalui ilmu dan penulisannya.

Beliau sangat berani,  gigih gah dan tidak goyah dalam usaha-usaha dakwahnya, serta  tidak pernah letih apalagi berputus asa. Bahkan beliau tidak sedikit pun berasa gentar dalam menghadapi musuhnya.

Dengan kelebihannya yang bijak, kuat ingatan,  petah berhujah dengn penuh berilmu dalam bidang agama dan ilmu moden, membuatkan beliau tidak pernah kalah dalam apa-apapun berdebatan yang  berbeza ideologi dan bercanggah dengan Islam.

Namun, beliau sangat  merendah diri dengan kelebihnnya itu, dan terus istiqamah dalam perjuangannya tanpa ragu-ragu, sehinggakan sanggup menghabiskan seluruh hidupnya menentang kebatilan dan  menegakkan agama. Bersama perjuangannya, beliau menghasilkan Risalah an-Nur sebagai panduan kepada generasi terkemudian.

Ujian Berat Said Nursi

Sebaik sahaja memulakan perjuanganya menentang pemerintahan sekularisme dan menegakkan Islam, beliau menghadapi pelbagai dugaan berat silih berganti

Said Nursi pernah dipenjarakan sebanyak 18 atau 19 kali dengan pelbagai tuduhan yang adakalanya tidak masuk akal. Namun ketika dalam penjara pun beliau masih sempat berdakwah kepada penghuni penjara itu dan mereka menerima dakwahnya dengan beriman kepada Allah SWT.

Lebih dasyat,  semasa ditahan sebagai tahanan, beliau telah diracun sebanyak 23 kali dengan tujuan untuk membunuhnya, namun semuanya gagal.

Selain dipenjara, beliau juga pernah dibuang negeri, difitnah dengan tuduhan berat, selain dilarang bergaul dengan orang lain. Bahkan keluar masuk mahkamah sudah menjadi kebiasaan baginya.

Dalam perjuangannya menentang pemerintahan sekular, beliau sentiasa membuktikan amalannya kepada Allah SWT termasuklah dengan banyak berdoa menjadi pelindung kepadanya.

Said Nursi Meninggal dunia

Said Nursi Badiuzaman menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 3.00 pagi pada 23 Mac 1960 M, iaitu bersamaan 25 Ramadan 1379 H. Jenazahnya dikebumikan di Urfa.

Asbab atas kematian beliau adalah kerana keuzuran lantaran umurnya yang sudah semakin meningkat iaitu 83 tahun. Bahkan beliau juga menanggung kesan daripada seksaan dipenjara dan  diracun.

Dikatakan, pada 12 Julai 1960, kubur beliau telah digali semula atas perintah kerajaan dan dibawa ke suatu tempat yang tidak diketahui sehingga kini.

Penutup

Said Nursi telah membuktikan beliau mempunyai kekuatan tersendiri lalu berdiri sebagai seorang ulama sekaligus pahlawan tanpa pedang yang hebat.

Beliau bukan sahaja ahli tarekat dan sufi yang semata-mata mementingkan ilmu agama, tetapi beliau juga tokoh siasah yang unggul.

Semoga golongan muda hari ini menjadikan Said Nursi sebagai ikutan  dan meletakkan semangat beliau sebaai perjuangan yang sepatutnya diteruskan iaitu menentang apa-apa sahaja kebatilan yang mengugah agama.

Selain memperjuangkan pendirian dan agama, sejauh mana kekuatan untuk mempertahankan perjuangan tersebut juga perlu diambil iktibar daripada ketokohan Said Nursi. Beliau sentiasa membuktikan dengan kebergantungan kepada Allah SWT telah membantu perjuangannya sehingga ke akhir hayatnya.

Rujukan:

  1. The Patriot
  2. Abdullatip.blogspot.com
  3. YADIM

Baca lagi:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.