Jom ketahui amalan sunat hari raya aidilfitri. Tak buat pasti rugi!

Setelah sebulan berpuasa, hari yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia adalah Aidilfitri al-Mubarak. Hari Raya Aidilfitri atau disebut juga sebagai Hari Raya Puasa dianggap sebagai simbolik kemenangan umat Islam setelah sebulan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadan.

Di negara kita lazimnya, hari raya ini disambut dengan sangat meriah dan secara besar-besaran. Golongan yang jauh di perantauan pulang bertemu orang tua di kampung, sanak-saudara dan rakan taulan yang jarang berjumpa akan berkumpul dan meraikan raya bersama-sama.

Dalam keterujaan menyambut hari raya, terdapat banyak amalan sunat yang boleh diamalkan. Pastilah satu kerugian besar jika amalan ini dilupakan, apatah lagi dalam sibuk meraikan Aidilfitri. Antara amalan-amalannya yang boleh dilakukan pada hari aray kelak adalah:

1. Menghidupkan Malam Raya

Malam raya adalah bermula setelah masuk waktu Maghrib pada hari terakhir puasa. Pada ketika itu, kita digalakkan menghidupkan malam raya dengan bertahmid, bertakbir, bertasbih dan amalan-amalan ibadah yang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Lebih baik, jika anak-anak lelaki boleh mengikut bapa pergi ke masjid untuk bertakbir beramai-ramai. Bukankah lebih bermakna jika malam raya disambut dengan memuji kebesaran Allah SWT?

2. Mandi Sunat Hari Raya

Antara cara yang paling mudah untuk mendapatkan pahala iaitu dengan mandi sunat ada hari raya. Hanya bersihkan badan dan mandi seperti biasa dan disertai niat;

 “Sahaja aku mandi sunat hari raya Aidil Fitri kerana Allah Taa’la”.

Mudah bukan?

Amalan mandi sunat ini jelas membuktikan Islam sentiasa mengutamakan kebersihan walaupun dalam kegembiraan merayakan sesuatu.

3. Solat Sunat Hari Raya

Jika dalam bulan Ramadhan jutaan umat Islam berpusu-pusu menunaikan solat Tarawikh, pada hari pertama Syawal pula masjid masih lagi meriah dengan Muslim yang ingin mengerjakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. 

Sabda Rasulullah SAW riwayat Al-Imam Al-Bukhari maksudnya:

“Dari Al-Bara’ bin ‘Azib ia berkata: Sabda Nabi SAW, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang.”

Solat merupakan bentuk pengabdian kita sebagai hamba kepada Allah yang Esa seterusnya menghidupkan rasa rendah diri dalam hati masing-masing. Lalu dirikanlah solat sunat Aidilfitri ini sebagai cara kita bersyukur dan seronok dengan pemberian hari kegembiraan ini kepada kita.

4. Menggunakan Jalan yang Berbeza Sewaktu Pulang dari Masjid

Rasulullah SAW sangat menggalakkan umatnya tidak menggunakan jalan yang sama sewaktu datang dan pulang dari masjid. Tujuannya adalah untuk bertemu lebih ramai kawan-kawan ataupun jiran sambil mengeratkan silaturahim. Hal ini dijelaskan dalam hadis Baginda:

“Dari Jabir RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW menukar jalannya pada hari Aidilfitri tatkala pergi dan balik dari tempat solat hari raya, Rasulullah sentiasa pergi dan balik melalui jalan yang berlainan, menurut Jabir RA.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Walaupun tampak seperti perkara yang kecil, namun amalan sebegini secara tidak langsung akan mengukuhkan lagi hubungan terutamanya sesama jiran dan umat Islam amnya.

5. Makan Sedikit Sebelum ke Masjid

Hadis Riwayat Bukhari meriwayatkan tentang perbuatan Rasulullah yang memakan beberapa biji kurma sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid.

“Pada hari raya Rasulullah tidak berangkat untuk melaksanakan solat sehingga baginda makan beberapa butir kurma.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Sesuai dengan perintah Allah SWT yang melarang umat Islam berpuasa pada hari pertama bulan Syawal, perbuatan Rasulullah jelas sebagai ikutan kepada kita semua, umatnya.

Ini juga kerana dikhuatiri ada yang terlupa berkenaan pengharaman berpuasa pada 1 Syawal, maka amalan sunnah sebegini adalah sebagai peringatan untuk semua umat muslim.

6. Saling Mendoakan Kesejahteraan Sesama Muslim

 (Image via Freepik)

Daripada Jubair bin Nufair, dia berkata bahawa jika sahabat Rasulullah SAW berjumpa pada hari raya, mereka saling mengucapkan,

“Taqobbalallahu minna wa minka (Semoga Allah menerima amalku dan amal kalian).”

Budaya masyarakat kita sendiri yang gemar memohon maaf dan mengucapkan selamat hari raya juga bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW. Mungkin kita boleh menambahkan doa seperti di atas bagi menyempurnakan lagi ucapan yang sudah sedia indah.

7. Memakai Baju Baharu

Memakai baju yang baharu bukanlah bermaksud wajib ke atas kita membeli baju baharu yang mahal atau mencecah ratusan ringgit. Lihatlah pada kemampuan masing-masing, ukur baju di badan sendiri.

Jika tiada bajuyang paling baharu, pilihlah baju yang tampak paling baharu dan paling cantik walaupun pada hakikatnya baju tersebut sudah berkali-kali dipakai.

Al-Nawawi menyamakan perbuatan berhias dan memakai wangi-wangian pada hari raya termasuklah memakai baju yang cantik adalah sunnah seperti hari Jumaat.

Al-Baijuri meriwayatkan:

“Disunatkan baju yang dipakai pada solat Jumaat dengan baju yang baharu. Jika tidak baru maka disunatkan dengan baju yang setara dengannya. Disunatkan juga agar imam menambahkan keterampilannya yang baik kerana dia diperhatikan (oleh orang ramai)”

Penutup: Aidilfitri Adalah Hadiah Untuk Bergembira Dan Bersyukur

Dalam meraikan kegembiraan Adilifitri sebakany rasa syukur itu dituruti juga dengan amalan-amalan sunat yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW. Sambil bergembira dapat pula pahala juga bertambah.

Jadi,  hari kemenangan itu sememangnya wajar disambut dengan meriah namun jangan biarkan ianya berlalu sia-sia tanpa mengutip pahala yang tersedia. Ini supaya  hari raya kita menjadi hari yang lebih diberkati. Amin.

Bacaan lain:

Rujukan:

  1. Bayan Linnas Siri Ke-23: Adab Berhari Raya Dan Kesilapannya, Muftiwp.com
  2. 11 Amalan Sunat Hari Raya Aidilfitri, Mywilayah.com
  3. 10 Amalan Sunat Ketika Hari Raya Aidilfitri, Akumuslim.Asia
  4. 10 Amalan Sunat Hari Raya, Iluvislam.com

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.