Pasti ramai pembaca ingin tahu apakah amalan yang boleh dilakukan sebelum tidur mengikut Islam dan juga petua orang-orang tua. Topik ini menarik untuk dibincangkan kerana ia boleh dijadikan panduan buat kita.
Amalan dan petua ini pastinya membawa kebaikan kepada kita. Namun, jangan pula membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama. Terdapat sesetengah petua orang-orang dulu yang tidak wajar diikuti.
Ia kemungkinan disebabkan kepercayaan kuno yang masih terus diamalkan oleh orang-orang dulu. Justeru, kupasan artikel kali ini menjurus kepada topik amalan dan petua yang membawa manfaat bagi manusia. Jom baca!
Sebagai orang Islam, kita digalakkan untuk membuat beberapa perkara sebelum tidur. Antaranya ialah:
Al-Bara’ Bin ‘Azib meriwayatkan Nabi Muhammad S.A.W bersabda (riwayat al-Bukhari (6311):
“Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat…”
Dalam riwayat yang sama, kita digalakkan untuk tidur mengiring sebelah kanan.
“.….Kemudian, berbaringlah dengan lambung kananmu..”
Sebelum tidur kita digalakkan membaca doa. Contoh doa yang boleh dibaca terdapat dalam riwayat al-Bukhari (6311).
.…dan sebutlah: Ya Allah, aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.”
Dalam riwayat al-Bukhari (5017), terdapat beberapa amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad sebelum tidur. Baginda akan menadah tangan lalu menghembuskan kedua-dua tapak tangannya.
Baginda akan membaca 3 Qul. Setelah itu, baginda akan menyapu akan menyapu kedua-dua tapak tangannya ke tubuh. Baginda akan menyapu mulai kepala, wajah dan seterusnya ke bahagian tubuh sebanyak 3 kali.
Dalam riwayat al-Bukhari (5009), Nabi Muhammad juga mendidik umat baginda agar membaca 2 ayat terakhir dalam surah al-Baqarah. Malahan, kita juga digalakkan membaca surah al-Mulk, Sajjadah dan al-Waqiah.
Jangan lupa beristighfar, bertasbih dan berselawat ke atas Nabi Muhammad. Kita amat dituntut untu berzikir hingga tertidur. Jika boleh, usahakan diakhiri kalimat tauhid.
Selepas selesai solat Isyak, kita juga boleh membuat solat sunat witir. Selain mendapat pahala, ia juga dapat menenangkan diri. Seterusnya, kita juga boleh melaksanakan solat tahajjud selepas jam 12 malam.
Sebelum tidur, kita perlulah mengibas cadar beberapa kali. Tujuannya untuk membersihkan habuk dan kotoran. Selain itu, ia dapat mengelakkan diri daripada haiwan berbisa yang bersembunyi di atas katil.
Selain tidur mengiring ke kanan, kita digalakkan tidur menghadap kiblat. Jangan sesekali tidur meniarap kerana memberi kemudaratan kepada tubuh badan.
Bagi orang-orang dulu pula, aspek petua yang diamalkan lebih cenderung ke arah kebersihan diri dan kecantikan wajah. Malahan, aspek kesihatan dan keselamatan diri juga diutamakan.
Bawang putih banyak kegunaannya kepada kita. Selain menjadi rencah dalam masakan, manfaatnya dari sudut kesihatan tidak boleh dipertikaikan. Itulah sebabnya orang-orang tua dulu suka meletakkan bawang putih di bawah bantal.
Tujuannya supaya kita dapat tidur dengan lena. Walaupun ia dikaitkan dengan kepercayaan kuno iaitu menakutkan roh jahat, namun ada cerita di sebaliknya.
Bawang putih sangat berkesan untuk mengubati batuk dan selsema. Oleh itu, ia diletakkan di bawah bantal supaya apabila kita menghidu baunya yang kuat, ia dapat melegakan kesakitan. Seterusnya, tidur juga akan lebih lena.
Pasti anda pernah dimomokkan, jika tidak basuh kaki sebelum tidur, anda akan dapat mimpi buruk. Sebenarnya, petua ini berupa nasihat untuk mendidik anak-anak kecil untuk menjaga kebersihan sebelum tidur.
Sebagai ibu bapa, kita boleh memberikan nasihat secara langsung dengan memberikan sebab kaki perlu dibasuh. Disebabkan aktif bermain di luar rumah, pastinya kaki akan kotor. Jika tidak dibasuh, kotoran akan terkena pada sarung tilam.
Orang-orang dulu suka tidur lebih awal iaitu seawal 9.00 malam. Ini kemungkinan disebabkan tiada sebarang hiburan pada waktu malam. Mereka juga perlu bangun awal untuk bekerja. Selain mendapat tidur yang berkualiti, mereka juga kekal aktif dan sihat.
Pada zaman dulu, tiada produk kecantikan wajah seperti sekarang. Namun, wanita pada zaman itu tetap menjaga kecantikan. Antara yang dilakukan sebelum tidur ialah berwuduk dan mengamalkan petua tradisional.
Antaranya ialah menggunakan serbuk kunyit, beras, madu dan sebagainya. Mereka juga dikatakan suka membasuh wajah menggunakan air embun dan perigi. Kandungan mineral semula jadi di dalamnya sangat baik untuk kulit.
Setakat ini saja perkongsian penulis tentang amalan sebelum tidur mengikut cara Islam dan petua orang-orang tua. Kita dianjurkan melakukan kesemua amalan menurut Islam sebelum tidur.
Selain mendapat pahala yang berganda, kita juga dapat membersihkan jiwa dari segala kesalahan dan kekhilafan. Ketika berdoa dan berzikir, kita akan merenungi kebesaran Allah. Apabila bangun daripada tidur, hati akan berasa tenang dan lapang.
Dari aspek petua orang-orang dulu, kebaikan amalan mereka tetap perlu diakui. Selain memfokuskan amalan kecantikan dan kebersihan diri, soal keselamatan juga amat dititikberatkan. Ini kerana pada zaman dulu, mereka hidup serba kekurangan.
Jangan lupa baca tentang tips tidur lena di pautan ini dan adab tidur dalam Islam di sini. Moga kita sama-sama mendapat manfaat daripada perkongsian ini.