Nota Editor : Seringkali ada pendapat mengatakan bahawa anak-anak ini tidak boleh diberikan muka. Bimbang dirinya mengambil kesempatan ke atas kelembutan kasih ibu bapa. Adakah ini benar? Semoga artikel ini membantu.

________________________________________________________________

Hari ini Ibu hendak berkongsi sebuah kefahaman mengenai kasih-sayang di dalam membesarkan anak-anak kita.

anak derhakablogammar.com

Kelembutan kasih-sayang dan perasaan timbang-rasa adalah amat penting untuk pertumbuhan EQ yang baik bagi anak-anak kecil dan besar. Bila seorang ibu atau bapa itu mempamerkan kelembutan kasih-sayang ini, ianya menjadikan anak itu merasakan dirinya penting dan dihargai oleh orang yang sangat penting di dalam hidupnya.

Dia suka menjadi seorang yang melakukan perkara-kara yang baik-baik supaya ibu bapanya dapat merasakan dia menghargai mereka.

Kelembutan kasih-sayang tidak bermaksud tidak boleh memarahi. Kita sebagai ibu bapa perlu mempelajari bagaimana memarahi, mendisiplin dan menghukum anak-anak dengan kelembutan kasih-sayang.

Ini adalah skil yang sangat perlu ibu bapa hari ini kuasai. Kerana skil ini tidak begitu dipamerkan oleh ramai ibu bapa dahulu.

Tanpa kita sedar inilah yang membuatkan ramai orang kurang bertimbang-rasa hari ini. Ini amat ternyata di laman sosial ini. Contohnya, bila sesuatu perkara yang diviralkan, banyak keji, maki dan kata-kata tidak senonoh di lemparkan. Ini menunjukkan situasi hati dan perasaan mereka yang membuat komen-komen begitu.

Penulisan Ibu ini BUKAN mahu menyalahkan ibu bapa dahulu yang sangat kita kasihi dan hormati. Ia adalah untuk kita boleh mempelajari dari kesilapan mereka dan membetulkannya di dalam keibubapaan kita supaya mereka juga mendapat hasanahnya.

Seorang ibu bapa yang sedar diri akan bahagia bila melihat anak-anaknya lebih bijak melakukan sesuatu kerja dan perkara. Adalah impian hampir semua ibu bapa untuk anak-anaknya menjadi lebih hebat dari mereka.

Bukankah anda juga begitu, mahukan anak-anak anda menjadi lebih hebat dari anda? Maka begitu jugalah ibu bapa anda yang sangat sayang pada anda. Mereka juga mahukan anda menjadi lebih bijak asalkan jangan memandang rendah dan memperlekehkan nasihat mereka.

Jika kita mahu anak-anak kita pandai membelai anak-anak mereka dan juga kita bila mereka sudah besar, berinteraksilah dengan mereka dengan kelembutan kasih-sayang serta bertimbang-rasa. Ia tidak akan menjadikan mereka anak-anak derhaka. Jauh dari itu.

Sebenarnya hati yang penuh kelembutan kasih-sayang dan bertimbang-rasalah yang menjadikan seorang anak itu boleh melayan ibu bapa mereka yang telah uzur terutamanya dengan penuh kelembutan kasih-sayang dan bertimbang rasa juga.

Penulis: Dr Rozieta Shaary

Prof. Dr. Rozieta Shaary atau juga dikenali sebagai Ibu Rose adalah Family & Love Guru yang telah berkecimpung dalam bidang Pembangunan Modan Insan dan pendidikan melebihi 25 tahun. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.