Allah SWT telah memerintahkan:
وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرٗا ٢٤
Dan rendahkan dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil. (Surah Al Isra’: 24)
Begitu Allah swt meminta kita untuk menjaga dan mengasihani ibu bapa sebagaimana mereka telah menjaga dan mendidik kita sejak kecil. Walaubagaimanapun mereka, mereka tetap ibu bapa kita yang merupakan malaikat yang telah menjaga kita di dunia ini.
Selain dari membalas jasa ibu bapa, sebagai anak, kita dituntut untuk berbuat baik dengan cara menjaga adab terhadap kedua ibu bapa. Terdapat banyak adab terhadap ibu bapa yang perlu kita pupuk sejak kecil lagi.
Islam juga telah menyarankan dan menyuruh kita untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Ia adalah sebuah tanggungjawab dan kewajipan yang berkait rapat dengan adab terhadap ibu bapa.
۞وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡٔٗاۖ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنٗا
Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa. (Surah An-Nisa’ : 36)
Allah SWT juga berfirman:
۞وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنًاۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفّٖ وَلَا تَنۡهَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلٗا كَرِيمٗا ٢٣ وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرٗا ٢٤
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan-perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh rasa kasih sayang dan ucapkanlah “Wahai Rabbku, kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil. (Al-Isra’:23-24)
Jangan sesekali mengatakan ‘ah’ atau membentak mereka tetapi ucapkanlah perkataan yang mulia bagi mereka. Jaga setiap butir percakapan anda dengan mereka. Cara bercakap dengan ibu bapa juga menjadi penentuan seseorang ke syurga atau neraka. Jagalah adab terhadap ibu bapa dari segi percakapan dan layanan.
Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu’anhuma telah berkata (yang bermaksud):
Aku pergi kepada ibuku padahal dia masih musyrik (belum masuk Islam) di zaman Rasulullah Salallahu’alaiwasallam, lalu aku minta fatwa daripada Rasulullah Salallahu’alaiwasallam. Aku berkata, “Aku telah bertemu dengan ibuku dan dia meminta sesuatu kepadaku, adakah aku boleh menghubungi dia?” Jawab Rasulullah, “Ya, hubungilah ibumu, ini bererti berbaktilah kepadanya. (Muttafaq alaihi)
Setiap anak diwajibkan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa mereka walaupun mereka bukan Muslim. Sudah menjadi satu tanggungjawab anak terhadap ibu bapa dimana anak harus menjaga kebajikan ibu bapa walau apa agama mereka sekalipun. Hormat dan berlemah lembutlah dengan mereka.
Sehingga ibu bapa meninggal pun, adab terhadap ibu bapa masih ada dan harus dilaksanakan. Semoga kita mendapat pahala dan keberkatan dunia akhirat dengan menyempurnakan adab terhadap ibu bapa.
Jom baca juga Cara membalas jasa ibu bapa, Tips anak solehah, Doa anak periksa dan Hadiah hari jadi anak perempuan.