Bagaimana adab minum air suci ini? Jom ikut cara ini!

Air zamzam adalah air yang paling suci, yang sangat rapat dengan kisah Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar. Ketika itu Baginda Nabi Ismail ditinggal seketika oleh Ibunya untuk mencari mata air.

Siti Hajar berlari-lari kecil antara Bukit Safa dan Marwah sehingga beliau longlai kepenatan. Namun wanita tabah itu tidak berputus asa demi menghilangkan dahaga anak kecilnya itu.

Dengan tiba-tiba muncul percikan air dari hentakan kaki kecil Nabi Ismail, sehinga air mulai banyak dan mengalir. Menurut riwayat, air ini telah digali oleh malaikat Jibril untuk menghilangkan dahaga Nabi Ismail ketika itu.

Bagaimana Siti Hajar dan Nabi Ismail boleh berada di tengah-tengah padang pasir itu?

Atas perintah Allah SWT, Nabi Ibrahim AS meninggalkan isteri dan zuriatnya di sebuah wadi (lembah) di Mekah. Baginda menuruti perintah tersebut dengan penuh berat hati namun tetap patuh atas kehendak Allah SWT.

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

(Ibrahim: 37)

Begitulah hebatnya keimanan keluarga ini sehingga mengzinkan apa-apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah walaupun sukar dan perit sekali untuk menjalaninya.

Setanding dengan itu jualah, Allah SWT menghadiahkan air ajaib ini yang tidak pernah kering dan surut sejak penemuannya dari zaman Nabi Ibrahim itu.

Tentang keistimewaan air ini memang tidak dapat disangkal lagi. Sehinggakan Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Sebaik-baik air di muka bumi ialah air zamzam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan serta penawar bagi pelbagai penyakit.”

(Hadis Riwayat at-Tabrani dan Ibnu Hibban)

Namun, pasti ada cara yang lebih baik untuk minum air yang terbaik ini.

Daripada Abdullah bin Abi Mulaikah, katanya;

“Seorang laki-laki telah datang menemui lbnu Abbas. Lalu bertanya lbnu Abbas, “Tuan datang dari mana?” Lelaki itu menjawab, “Saya baru lepas minum air Zamzam”.  Tanya lbnu Abbas lagi, “Adakah tuan minum itu mengikut cara yang sepatutnya’?”

Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya bertanya pula kepada lbnu Abbas, “Bagaimanakah caranya wahai  lbnu Abbas?” Maka lbnu Abbas pun menjelaskan, “Apabila minum air zamzam hendaklah menghadap kiblat, sebutkan nama Allah (baca Bismillah) dan bernafas di luar bijana, kemudian baru teguk lagi, dan (sesudah selesai minum) ucapkan pujian kepada Allah (baca Alhamdulillah). Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Perbezaan di antara kita dan orang ramai (kaum munafik) ialah bahawa mereka itu tidak suka meneguk (minum) air zamzam.”

(Hadis Riwayat lbnu Majah)

Terdapat pelbagai pendapat tentang adab untuk meminum air suci ini, berikut beberapa antaranya:

1. Berniat dan Berdoa

Sebaiknya sebelum minum, berdoa dan berniatlah apa-apa yang dikehendaki dna diinginkan. Ini kerana Allah memperkenankan niat bagi peminumnya. Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Air zamzam diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki.”

(Hadis Riwayat Jabir, Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Muawiyah)

Rasulullah bersabda lagi;

“Air zamzam sesuai dengan niat ketika meminumnya. Bila engkau meminumnya untuk ubat, semoga Allah menyembuhkanmu.  Bila engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, semoga Allah menghilangkannya. Air zamzam adalah galian Jibril, dan curahan minum daripada Allah kepada Ismail.”

(Hadis Riwayat Darul Quthni dan Al-Hakim)

2. Menghadap Kiblat

Amalan minum air zamzam dengan menghadap ke arah Kaabah atau kiblat merupakan satu bentuk kehambaan kepada Alalh SWT selain mengakui keagungan, serta keEsaan Allah.

Amalan ini juga adalah sunah yang sering dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW setiap kali Baginda meminum air zam-zam. Jadi ikutilah cara Baginda  ini untuk meraih pahala sunah.

3. Membaca Basmalah

Dalam apapun perbuatan seseorang muslim, lebih baik dan afdal jika memulakna sesuatu itu dengan menyebut nama ‘Allah’, iaitu bacaan basmallah. Pasti ia lebih disukai Allah SWT dan diberkati perbuatnnay itu. Termasuklah apabila makanan dan minum.

Rasulullah  SAW bersabda, 

“Sebut Bismillah apabila kamu hendak memulakan minuman dan puji Allah apabila kamu selesai.”

(Hadis Riwayat Tarmizi)

4. Minum Berdiri Atau Duduk

Boleh untuk minum air zamzam sama ada dalam keadaan berdiri atau duduk, walau terdapat banyak pendapat dan percangahan mengenainya.

Ada hadis menyuruh untuk minum dengan kedua-dua cara tersebut.

Dari Ibnu Abbas RA katanya,

“Aku pernah menuangkan air untuk Rasulullah SAW di sumur zamzam, lalu Baginda minum. Padahal beliau sedang berdiri.” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Manakala satu lagi hadis menceritakan;

“Dari Anas RA, dari Nabi SAW bahawasanya beliau pernah melarang seorang lelaki minum sambil berdiri. Kata Qatadah, lalu kami bertanya, ‘Kalau makan?’ Jawab Anas, ‘Itu lebih buruk dan keji’.”

(Hadis Riwayat Muslim)

5. Minum Dengan Tangan Kanan

Amalan menggunakan tangan kanan adalah sangat disaran dan digalakkan dalam Islam. Apatah lagi ketika makan dan minum. Elakkan makan dengan menggunakan tangan kiri.

Dari Ibnu Umar RA katanya Rasulullah SAW bersabda;

 “Apabila kamu makan dan minum, makan dan minumlah dengan tangan kanan, kerana hanya syaitan yang makan dan minum dengan tangan kiri.”

(Hadis Riwayat Muslim)

6. Minum Dengan Tiga Nafas

Minumlah dengan tiga nafas iaitu dengan tiga teguk seperti cara Rasulullah SAW, yang tidak kelihan tergopoh dan gelojoh. Minum secara tidak berterusan agar air dapat masuk ke dalam tubuh dengan lebih sempurna. Rasulullah SAW bersabda,

 “Jangan minum terus menerus seperti cara haiwan minum. Tetapi minumlah dua teguk, dua teguk, dan tiga teguk, tiga teguk.  Dan bacalah Bismillah apabila kamu minum dan baca Alhamdulillah apabila selesai meminumnya.”

(Hadis Riwayat Tarmizi)

Sebaiknya pujilah Allah dengan menyebut ‘Alhamdulillah’ pada setiap nafas tersebut.

7. Berdoa Apabila Selesai Minum

Bermohonlah hajat dan apa-apa permintaan selepas selesai minum air zamzam.  Semoga dengan keberkatan air tersebut Allah SWT memberi keredaan atas setiap doa-doa yang diingini.

Penutup: Air Zam Zam Adalah Suci Yang Harus Disertai Dengan Adabnya

Air zamzam adalah sebaik-baik air di muka bumi, umat Islam mesti mengetahui sejarah air ini serta kelebihan yang Allah kurniakan. Dengan itulah barulah kita lebih menghayati akan kekuasaan Allah yang berkuasa menciptakan apa-apa sahaja atas kehendak-Nya.

Dengan disertakan adab ketika meminumnya, juga sebagai cara menghargai pemberian Allah SWT atas air istimewa ini.

Selepas ini, bolehlah diamalkan beberapa adab ini sewaktu minum air zamzam demi memperoleh keberkatan-Nya. Amin.

Rujukan:

  1. Laman Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Maktabah al-Bakri
  3. Zam-zam.my

Bacaan lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.