Ayuh ketahui adab dan cara makan Rasulullah SAW.
Islam sangat menekankan adab-adab dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah dalam etika ketika makan.
Makan dengan adab dan sopan santun adalah antara cara terbaik untuk menunjukkan rasa syukur dengan rezeki yang telah diberikan. Begitu juga dengan adab yang ditonjolkan menunjukkan tatasusila yang dimilik oleh seseorang dalam semua perihal kehidupan seharian.
Rasulullah SAW adalah contoh teladan yang terbaik dalam menjaga adab dan kesopanan, terutamanya adab semasa makan yang benar-benar diberi keutamaan oleh Baginda.
Bagaimana Rasulullah SAW menjaga adab Baginda sewaktu makan? Berikut beberapa adab yang boleh dicontohi, antaranya;
Memulakan makan dengan berdoa atau mengucap Basmalah (Bismillah)
Ucapkanlah ‘bissmillah’ iaitu pujian kepada Allah SWT untuk menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada Allah SWT atas nikmat rezeki-Nya. Rasulullah sangat mengajak umatnya untuk mengucapkan bismillah, malah sebaiknya membaca doa sebelum atau sesudah makan.
Ucapan bissmillah juga merupakan cara menunjukkan rasa kehambaan kepada Allah dalam apa jua perbuatan seharian, termasuklah pada waktu makan.
Dari Muad bin Anas R.A. berkata, Rasulullah SAW bersabda;
“Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, ‘Alhamdulillah- illazi ath’amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin’, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Hadis Riwayat Tirmidzi)
Tangan kanan adalah tangan yang dianjurkan dalam melakukan perkara-perkara yang baik, manakala tangan kiri digunakan untuk melakukan hal yang sebaliknya.
Sekalipun memegang gelas, lakukanlah dengan tangan kanan seperti sunah Rasulullah SAW.
Nabi SAW juga mengajar untuk kita makan dengan tangan kanan tanpa sudu, garfu ataupun penyepit makanan.
Dari Jabir R.A. berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Nabi mengajak kita untuk makan dalam keadaan duduk menghadap makanan, namun tidak bersandar. Bukannya berbaring, meniarap atau sebagainya. Rasulullah SAW juga tidak menggalakkan untuk makan sambil berdiri dan berjalan juga.
Sebaik-baiknya kitalah yang menunggu makanan dan bukan makanan yang menunggu kita. Makan dan minum perlulah dalam keadaan duduk tidak berdiri.
Rasulullah SAW duduk untuk makan dengan menegakkan sebelah lutut sambil menekan perut. Kedudukan yang begini akan dapat mengawal kuantiti makanan selain mengelak masalah kembung dan senak perut.
Rasulullah SAW suatu ketika melarang seorang lelaki minum sambil berdiri. Berkata Qatadah;
“Bagaimana dengan makan?” Rasul menjawab : “Itu lebih buruk lagi.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Makan sehingga terlalu kenyang akan membuatkan seseorang itu berasa malas, mengantuk dan berat untuk melakukan ibadah.
Hal ini dijelaskan dengan nyata dalam kitab Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, iaitu makan sehingga kenyang akan menyebabkan seseorang itu berat beribadah kepada Allah SWT, malas dan banyak tidur, menguatkan nafsu serta menjadi angkuh.
Sebaiknya berhenti makan sebelum kenyang dan makanlah sebelum berapa lapar seperti yang disarankan oleh Baginda SAW.
“Kita (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.“
Bahkan, Baginda SAW mengingatkan agar mengisi 1/3 daripada ruang perutnya dengan air, 1/3 dengan makanan dan selebihnya dengan ruang kosong (udara).
Baginda hanya makan sekali sahaja setiap hari, sama ada waktu pagi atau petang seperti dibahaskan dalam kitab Jawab As-Sail an Syarah Asy-Syamail.
Bahkan Baginda sememangnya hanya makan sesederhana mungkin, bukannya bertujuan untuk ‘menjamu’ selera.
Berkata Ummul Mukminin Aisyah RA:
“Tidaklah kenyang keluarga Muhammad SAW daripada roti yang diperbuat daripada sya’ir melebihi dua hari secara berturut-turut sehingga Baginda wafat.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Roti jenis sya’ir atau barli yang dimakan oleh Rasulullah SAW adalah sejenis roti yang agak kasar dan keras. Ini membuktikan Rasulullah SAW tidak pernah makan dengan kenyang dan sedap selama dua hari berturut-turut.
Rasulullah SAW juga hanya makan sekadar memenuhi keperluan sahaja dan tidak sesekali membazir.
Prinsip Baginda ini selaras dengan tuntutan agama yang melarang umatnya berlebihan dan membazir makanan seperti dalam surah al-A’raf: 31;
“Dan makanlah serta minumlah. Dan jangan pula kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan Baginda bersabda;
“Wahai Rasulullah, kami ini setiap kali makan tidak pernah kenyang. Maka Rasulullah berkata: ‘Pasti masing-masing kamu makan sendiri-sendiri’. Orang itu menjawab: ‘Benar, Ya Rasulullah!’ Rasulullah berkata: ‘Berjemaahlah dalam menyantap makananmu’.”
Baginda SAW sering melakukan hal ini selepas makan. Kajian oleh para saintis juga telah membuktikan bahawa terdapat banyak enzim yang terkandung di celahan jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. Sebenarnya enzim juga sangat penting untuk menghadamkan makanan.
“Dan janganlah ia mengelap tangannya dengan mindil/tuala hendaklah ia menjilati tangannya, kerana seseorang itu tidak mengetahui pada makanannya yang mana yang mengandungi berkat untuknya, sesungguhnya syaitan itu selalu mengintai untuk merampas harta manusia dari segala penjuru sehingga di tempat makannya. Dan janganlah ia mengangkat shahfahnya (bekas makanan) hingga menjilatinya dengan tangan, kerana sesungguhnya pada akhir makanan itu mengandung berkat.”
Rasulullah SAW juga melarang meninggalkan makan malam kerana akan memberi tenaga untuk mendirikan ibadah pada malam hari.
Bahkan menurut kajian, golongan yang meninggalkan makan malam akan lebih cepat kelihatan tua. Ini kerana keasidan serta tahap kolestrol dalam darah dan badannya akan berganda.
Namun begitu jangan mengambil makanan malam dalam kuantiti yang banyak tetapi ala kadar sahaja. Sebiji kurma sahaja sudah mencukupi!
Amalan berpuasa sunat dengan kerap dapat membantu menjaga kesihatan perut, serta tubuh badan. Apatah lagi dengan amalan bersahur snaat membantu mengekalkan tenaga. Cukup dengan makanan yang sederhana seperti kurma, pisang dan telur. Tidak semestinya menjalani ibadah puasa dengan menjamu selera sepuasnya ketika berbuka.
Adab dan cara Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan adalah terbaik dan yang disaran oleh agama. Begitu juga dengan larangan yang diseru oleh Baginda telah terbukti akan hikmah dan kelebihannya melalui kajian dan ujian sains terkini.
Dengan itu, segala contoh teladan Baginda amatlah sesuai diikuti dan dijadikan sebagai amalan hidup agar dapat menunjukkan kesopanan dan ketatasusilaan sebagai seorang muslim sewaktu berhadapan dengan rezeki Allah SWT.