Ayuh bersama ketahui ciri-ciri golongan munafik.

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

( An-Nisa’ :142)

Dari segi bahasa, munafik bermaksud menyembunyikan perkara atau maksud sebenar.

Manakala dari segi syarak pula, seseorang yang berpura-pura mengikuti ajaran agama namun sebenarnya tidak mengakuinya dalam hati.

Golongan munafik  tidak menzahirkan kekufuran secara nyata, tetapi  menyembunyikan dalam hati.  Mereka menonjolkan keimanan dan mengikuti ajaran agama Islam, tetapi sebenarnya hati mereka memungkirinya dan berpura-pura.

Dalam bahasa yang lebih mudah, munafik adalah sikap bermuka-muka atau menipu. Islamnya hanya pada nama tetapi tidak menghayati Islam dengan hati yang ikhlas.

Ingatlah Allah SWT  berfirman dalam al-Quran:

“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka juga menggenggam tangannya. Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.”

(at-Taubah: 67)

Terdapat banyak ciri-ciri golongan munafik yang seharusnya dikenalpasti agar dapat dielakkan, antaranya;

1. Tiada Pendirian dan  Keteguhan Iman

Golongan munafik tidak memiliki iman yang teguh, sama seperti pendirian mereka yang seperti lalang mengikut angin.

Tanpa keteguhan iman, pasti akan mudah berubah mengikut keadaan dan terpengaruh dengan persekitaran.

2. Bemuka-muka

Golongan munafik sangat gemar bermuka-muka atau ‘talam dua muka’.

Apabila dengan orang mukmim mereka akan beribadat, namun merekalah yang paling kuat mengeji dan menghina Islam.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda;

“Kamu akan mendapati manusia yang paling jahat iaitu yang memiliki dua wajah (munafik), yang datang pada segolongan dengan satu wajah, dan datang pada golongan lain dengan satu wajah.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Hibban dan Ahmad)

3. Mengharapkan Kebaikannya Dibalas

Mengharapkan sesuatu kebaikan dibalas juga adalah sifat munafik. Ini kerana tidak ada sifat ikhlas dalam diri lantaran menginginkan balasan setimpal seperti wang ringgit atau kedudukan.

Mengungkit kembali pemberian kepada orang lain dengan harapan jasa dan sumbangannya dikenang serta ingin menyakiti hati orang.

4. Tidak Gentar Melakukan Dosa

Apabila melakukan dosa, golongan tidak berasa takut kerana sudah menjadi amalannya. Padahal sebagai hamba Allah hal ini sudah dianggap berdosa kerana tidak bertakwa kepada-Nya.

Firman Allah SWT:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan kebaikan.’ Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar.”

(al-Baqarah: 11-12)

5. Menjadikan Dunia Sebagai Matlamat

Orang yang munafik sangat mencintai dunia dan hal keduniaan melebihi apapun. Bahkan lupa akan alam akhirat yang menanti.

6. Tidak  Amanah

Golongan munafik selalunya akan mengkhianati amanah yang diberikan. Termasuklah menyalahgunakan pangkat, menggunapakai hak syarikat dan sebagainya.

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda;

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

7. Menghina Nabi dan Sahabat

Seorang yang munafik berolok-olok cintakan Nabi padahal mengkhianati, apatah lagi  mempersendakan sunah Baginda. Tanpa disedari mereka mendekati kafir yang sangat dimurkai Allah dan akan diazab dengan azab yang teruk.

8. Malas Beribadah

Firman Allah SWT:

 “…Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas…” 

(An-Nisa’: 142)

Golongan munafik akan menganggap ibadah sebagai bebanan dan sesuatu yang sia-sia.

9. Gemar Berdusta

Sesiapa yang memiliki sifat munafik sangat suka berdusta atau berbohong. Sukar utnuk mereka bercakap benar.

Hadis Rasulullah SAW:

“Celaka baginya, celaka baginya, celaka baginya. Iaitu seseorang yang berdusta agar orang-orang tertawa.”

10. Mungkir Janji

Sabda Rasulullah SAW: 

“Dan apabila berjanji, dia berkhianat.” 

Ini bermaksud sesiapa  yang berjanji, kemudian mengkhianati janji tersebut tanpa apa-apa keuzuran dianggap sebagai  tanda munafik.

Selain itu terdapat banyak lagi ciri-ciri golongan munafik yang sangat dimurkai Alalh SWT.

  1. Membuka rahsia orang lain
  2. Fitnah dan menyampaikan keburukan
  3. Suka berbantah dan bertengkar sesama muslim
  4. Hasad dengki
  5. Mengungkit kembali pemberian kepada seseorang dan menyakiti hatinya
  6. Sombong sesama manusia
  7. Mengungkit kebaikan
  8. Enggan berjihad di jalan Allah SWT
  9. Membuat kerosakan di muka bumi
  10. Sikap yang suka berubah-ubah
  11. Lupa kepada Allah SWT
  12. Mempercepat solat agar segera selesai
  13. Bersumpah dengan selain nama Allah SWT
  14. Melalaikan solat fardu
  15. Meninggalkan solat jumaat
  16. Meninggalkan solat berjemaah
  17. Riak dan takbur
  18. Mengubah dan menyalahguna ayat-ayat Allah 
  19. Mempersenda kesucian agama
  20. Melampaui batas yang telah digariskan oleh Allah
  21. Mencaci maki
  22. Bakhil atau kedekut
  23. Mengumpat
  24. mencintai harta dan kebendan
  25. Memakan harta anak yatim
  26. Menyembunyikan ilmu pengetahuan
  27. Bergaul dengan orang yang memperolok al-Quran
  28. Menipu dalam jual beli
  29. Menangguh pembayaran hutang
  30. Memanggil orang dengan gelaran buruk yang tidak disukai
  31. Suka kepada kesesatan dan suka menyesatkan orang
  32. Menuduh orang beriman bodoh
  33. Memutuskan silaturahim
  34. Memecahbelahkan perpaduan kaum muslimin
  35. Mengingkari takdir Allah SWT
  36. Keluh kesah apabila ditimpa musibah
  37.  menyembunyikan persaksian pada jalan yang benar
  38. Menghalalkan perkara yang haram
  39. Menyanjung dan memuji orang tanpa diketahui keadaan sebenarnya
  40. Membazir dalam memanfaatkan nikmat Allah
  41. Melakukan dosa dan kemungkaran secara sembunyi
  42. Menghalang orang daripada mengamalkan ajaran islam
  43. Menyuruh yang mungkar dan melarang yang makruf
  44. Berasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman
  45. Berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup

Penutup: Jauhilah Golongan Munafik Agar Kita Terselamat

Janganlah kita tergolong sama dalam sikap yang dibenci Allah SWT ini.  Sesungguhnya sikap munafik ini adalah sifat hina dan langsung tidak diajar oleh Islam.

Golongan munafik sangat dimurkai Allah sehingga Allah SWT menyediakan satu balasan azab yang dasyat di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang yang munafik itu akan ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah sekali dalam neraka.”

(an-Nisa’:145)

Semoga kita dijauhkan daripada sifat-sifat ini dan tergolong dalam golongan munafik ini. Amin.

Rujukan:

  1. Akuislam.com
  2. Maktabah al-Bakri
  3. Shofiqolbu
  4. Drs Hanafi Mohamad, 50 Tanda-Tanda Orang Munafik, Al-Hidayah Publication

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.