Ayuh ketahu dan pelajari akan azab bagi golongan yang enggan mendirikan solat.

“Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab seseorang hamba pada hari kiamat adalah daripada amalan solatnya. Jika baik solatnya maka berbahagia dan berjayalah ia. Jika buruk solatnya maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya solat fardunya tidak sempurna, maka tuhan ‘Azza wa Jalla berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku ini menunaikan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan solat fardunya itu. Kemudian dihitung seperti ini jua pada amalan-amalan yang lain.”

(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Solat adalah ibadah yang paling utama dalam agama Islam. Selain itu, solat juga merupakan rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah.

Allah SWT telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam kepada para hamba-Nya sebagai satu perintah yang besar. Allah juga telah berjanji akan menyediakan azab yang menyiksakan kepada golongan hamba-Nya yang ingkar dan  meninggalkan solat dengan sengaja.

Namun masih ramai yang meremehkan, mengambil mudah akan hal solat selain meninggalkannya dengan sengaja. Bahkan ada yang tidak pernah melaksanakanya, selain enggan mendirikan solat walupun diajak berkali-kali.

Hukum Meninggalkan Solat Dengan Sengaja

Para ulama bersepakat bahawa meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja itu sebagai berdosa besar yang melebihi dosa membunuh, mencuri dan merompak, berzina, dan minum minuman keras.

Selain itu terdapat banyak pandangan lain tentang hukuman berat jika meninggalkan solat dengan sengaja, antaranya;

Umar bin Khattab RA berkata:

Seseorang itu tidak akan bernasib baik  dalam Islam jika dia meninggalkan solat.”

Ali RA telah ditanya tentang wanita yang tidak solat, maka beliau menjawab:

Sesiapa yang tidak solat, maka dia sebagai tidak beragama.”

(Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)

Ibn Mas’ud RA berkata:

Sesiapa yang tidak solat maka dia tidak beragama.”

Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

Sesiapa yang meninggalkan solat sekali sahaja dengan sengaja, maka dia akan mengadap Allah SWT dalam keadaan mendapat kemurkaan.”

(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Ibn Hazm berpendapat:

Tidak ada dosa yang lebih besar sesudah syirik, kecuali bagi orang yang melewatkan solatnya dari waktunya yang sebenar, atau dia membunuh seorang mukmin dengan cara yang salah.”

Bukan sahaja dihukum sebagai kafir dan mendapat dosa besar, orang yang sengaja meninggalkan solat juga sangat dimurkai Allah SWT dan dihukum  dengan  kehinaan di dunia dan akhirat.

Allah SWT juga sebenarnya telah menghukumkan banyak balasan buruk terhadap golongan, antaranya:

Siksaan Semasa Di Dunia

  1. Mendapat dosa besar
  2. Hidup dalam kemurkaan Allah SWT
  3. Tidak diberkati umur dan usianya
  4. Allah menarik keberkatan rezeki
  5. Setiap amalannya tidak diterima oleh Allah dan tidak mendapat pahala
  6. Tidak dimakbulkan doanya oleh Allah SWT
  7. Terlepas dari perlindungan Allah
  8. Dihilangkan cahaya atau tanda orang-orang yang soleh dari wajahnya
  9. Tidak mendapat bahagian doa dari orang-orang yang soleh
  10. Tidak disayangi dan dihormati oleh orang lain
  11. Jiwanya kosong dan tidak tenteram

Siksaan Semasa Sakaratulmaut

  1. Mati dalam keadaan yang  hina
  2. Dimatikan oleh Allah SWT dalam keadaan dahaga
  3. Mati dalam keadaan yang sangat kelaparan

Siksaan Ketika di Alam kubur

  1. Allah menyempitkan kuburnya, sehingga bersilang tulang rusuk kanan dengan kiri
  2. Dibukakan salah satu pintu neraka di dalam kuburnya
  3. Ruang kubur dipenuhi api 
  4. Disiksa dengan seekor ular (Ular bernama Suju’al Akruk yang matanya dari neraka, kukunya dari besi neraka, dan panjang kukunya sehari perjalanan, dan suaranya seperti petir)

 Siksaan Semasa Hari Kiamat

  1. Mendapat hisab yang berat
  2. Dimasukkan ke dalam neraka
  3. Diazab dengan rantai dari api neraka sepanjang 70 hasta yang ditusukkan ke mulutnya, sehingga keluar rantai tersebut melalui duburnya

Penutup: Beristiqamahlah Dalam Menjaga Solat Agar Terhindar Dari Azab-Nya Yang Pedih

Azab meninggalkan solat sangatlah dasyat sehingga tidak dapat terbayangkan dengan akal manusia. Disebabkan itulah sebaik-baiknya solat itu dijaga dan diperelok agar sentiasa sempurna.

Jagalah waktu solat agar tidak tergelincir dan elak dari meninggalkan solat dengan sengaja. Ingatlah akan azab Allah SWT jika terlintas untuk meremehkan dan meninggalkan solat.

Dan jika ada yang tertinggal tanpa niat atau sengaja, qada atau  gantilah solat tersebut  dengan segera selagi diberikan peluang bernyawa. Manakala yang tidak mendirikan solat, bertaubatlah dan belajarlah mendirikan solat mulai sekarang.

Sesungguhnya solat itu adalah tiang agama. Apalah guna jika ibadah lain dilakukan tetapi solat pula diketepikan. Semoga Allah SWT mengampuni dan menerima solat kita semua. Mudah-mudahan dengan itu kita semua sama-sama terlepas daripada siksaan tersebut.

Rujukan:

  1. Mufti Pahang
  2. Zulkiflialbakri.com
  3. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.