Ayuh ketahui cara bersahabat dengan al-Quran.

“Belum sampaikah masa bagi orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang itu melalui masa yang panjang maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik.”

(al-Hadid:16)

Dalam ayat ini,  dijelaskan bahawa Allah SWT telah memberi panduan kepada umat manusia yang tidak menghargai nikmat bertuhankan Allah dan kitab al-Quran.

Allah SWT juga memberi peringatan bahawa sudah tiada masa untuk manusia bersenang-lenang di dunia ini, dan seharusnya mengambil peluang dengan menghargai nikmat al-Quran yang diperturunkan.

Salah satu cara menghargai nikmat al-Quran adalah dengan menjadikannya sahabat dan panduan dalam setiap inci kehidupan.

Seperti sabda Rasulullah SAW;  

“Bacalah al-Quran, kerana dia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat bagi sahabat-sahabatnya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Selain membaca dan mengkhatamnya, terdapat beberapa saranan dan usaha lain dalam  menjadikan al-Quran sebagai sahabat dan cara hidup. Antaranya;

1. Mengimani Dan Menyakini

Menyakini bahawa bahwa al-Quran adalah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai petunjuk kehidupan umat manusia akhir zaman. Bahkan yakin dengan al-Quran juga adalah petanda sebagai seorang muslim yang beriman, dan beriman dengan  kitab ini juga termasuklah dalam salah satu rukun Islam.

Jadi tanda mencintai al-Quran adalah dengan mengimaninya, membaca, menjadikannya rujukan dan penyelesai masalah, serta sebagai pedamping hidup.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah : 121:

“Orang-orang yang telah kami beri kitab, mereka membacanya dengan sebenarnya, mereka itulah orang yang beriman kepadanya (al-Quran) dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, mereka itulah orang yang merugi.”

2. Bermuhasabah

Bermuhasabah adalah dengan cara berfikir dan bersendirian seketika, menyoal diri sendiri akan hubungan dengan al-Quran. Adakah al-Quran hanya dijadikan sebagai perhiasan atau membacanya sekali sekala pada hari tertentu sahaja.

3. Berazam Dan Bersungguh-Sungguh

Tanamkan niat dan azam dengan bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri dengan al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai sahabat. Dan berjanji untuk tidak meninggalkan kitab ini.

4. Melazimi Bacaan al-Quran

Banyak membaca al-Quran, sekalipun tidak lancar dan tidak mahir dalam ilmu tajwid. Perbaiki hubungan dengan al-Quran dengan melazimi membacanya setiap waktu. Bukan pada hari-hari tertentu dan sebab-sebab tertentu sahaja.

5. Mempelajari Dan Membaiki Bacaan

Di samping  mengaji al-Quran, baikilah  bacaan dan mempelajari hukum tajwid dengan betul. Terdapat begitu banyak rujukan moden pada hari ini yang boleh dipelajari tanpa halangan dan alasan. Boleh juga mulakan dengan menyebut huruf-huruf  al-Quran dengan betul terlebih dahulu.

Bacaan al-Quran yang baik merupakan cara memuliakan kitab suci ini. Oleh itu al-Quran wajib dibaca dengan makhraj dan hukum-hukumnya agar sampai maksudnya yang sebenar.

6. Jadikan Rutin

Masukkan amalan membaca al-Quran sebagai rutin harian seperti makan dan minum. Bahkan  mestilah berdisiplin dengan jadual tersebut.

Setiap hari jadikan membaca al-Quran sebagai kebiasaan dan budaya dalam keluarga. Sehinggakan jika tidak membaca al-Quran pada hari itu terasa kekurangan dan tidak lengkap.

7. Memahami Maksud

Berusahalah untuk memahami makna setiap kalimat al-Quran, iaitu setiap ayat yang dibaca. Rajinkanlah diri untuk membaca sekali dengan terjemahan al-Quran dan tafsir. Belajar fahami ayat-ayat al-Quran itu supaya setiap maksudnya dapat difahami dengan lebih jelas.

8. Mewujudkan Suasana Dan Minat

Berusaha mewujudkan suasana yang boleh meningkatkan motivasi dan minat untuk menyintai al-Quran dan perasaan untuk membacanya selalu. Antaranya menyediakan tempat khas untuk mengaji, dan menghias sudut tersebut agar kelihatan menarik dan selesa untuk berlama-lama mengaji di situ.

9. Berdoa dan Memohon Pertolongan Allah

Bersungguh-sungguh berdoa agar segala usaha kita untuk menjadi teman rapat al-Quran sentiasa dimudahkan Allah SWT.

10. Menjadikan Al-Quran  Sebagai Rujukan

Menjadikan al-Quran sebagai rujukan dan pedoman utama, iaitu dengan mengamalkan setiap isi kandungan al-Quran. Begitu juga dengan tindakan, sikap, kata-kata, pergaulan. Jadikan juga al-Quran sebagai hakim dalam menentukan hukum.

Begitu juga dengan setiap pesanan dan nasihat yang terdapat dalam al-Quran juga dijadikan kunci utama dalam kehidupan. Apatah lagi perintah-perintah dari al-Quran, serta larangan yang Allah SWT perintahkan.

11. Mengkaji Al-Quran

Kajilah kitab al-Quran dengan bersungguh-sungguh yang bersesuaian dengan tahap akal manusia. Termasuklah dengan cara berdiskusi melalui tafsir hadis dan sebagainya. Kunjungilah majlis ilmu berkaitan al-Quran agar bertambah kecintaan dan pengetahun tentang kitab suci ini.

12. Menghafalnya Dan Murajaah

Menghafal adalah cara yang paling terbaik dalam menanam ayat-ayat al-Quran dalam jiwa. Bukan sahaja disimpan dalam ingatan bahkan ayat al-Quran menjadi cahaya menerangi hati.

Besar ganjarannya bagi golongan yang menghafaz al-Quran, antaranya akan dimasukkan ke dalam syurga dan menjadi golongan yang arif dalam syurga kelak.

Sabda Rasulullah SAW dari Anas RA bahawasanya Baginda bersabda:

“Para pembaca al-Quran itu adalah orang-orang yang arif di antara penghuni Syurga.”

13. Mengajarkan Al-Quran Dan Mendakwahkannya

Bukan mendapat ganjaran pahala asbab membaca al-Quran sahaja, tetapi dengan mengajarkannya kepada orang lain akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda. Bahkan ganjaran tersebut tetap mengalir sehingga ke alam kubur.

“Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Abu Daud, At-Tirmidzi. Ibnu Majah dan Ad-Darimi)

Penutup: Mengamalkan  Al-Quran Adalah Makanan Rohani

Allah telah berjanji untuk memberikan pelbagai ganjaran dan keistimewaan bagi umat Islam yang bukan sahaja gemar membaca al-Quran, yang mula berjinak untuk mencintai al-Quran, apatah lagi golongan yang menghafaz dan mengamalkan kitab suci ini.

Golongan inilah yang  disebut sebagai ‘ahli al-Quran’ yang sangat dicintai oleh Allah SWT.

Allah SWT menurunkan kita suci ini sebagai petunjuk dan pedoman kepada manusia,  jadi syukurilah nikmat ini dengan menjadikannya sebagai gaya hidup dan rujukan utama dalam apa-apa jua hal dan permasalahan.

Bacalah al-Quran walaupun selembar sehari, kerana al-Quran inilah penyuluh kita sewaktu dalam kegelapan kelak!

Rujukan:

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.