Mari ketahui kebaikan menderma darah.

Derma darah adalah keadaan yang  seseorang membenarkan darahnya diambil dan digunakan untuk pemindahan atau dijadikan ubat biofarmaseutikal melalui proses yang dipanggil pemeringkatan (pengasingan komponen seluruh darah).

Proses derma darah dilakukan secara sukarela tanpa apa-apa paksaan dan komitmen. Walau bagaimanapun proses pendermaan darah ini perlu melalui beberapa syarat seperti berat badan dan ketinggian yang mencukupi termasuklah tidak mempunyai penyakit atau jangkitan.

Darah yang didermakan sangat berguna dalam mengubati pesakit yang kehilangan banyak darah akibat kemalangan,  pembedahan, komplikasi semasa bersalin, talasemia, leukemia dan lain-lain.

1. Boleh Menyelamat Tiga Nyawa!

Setiap unit darah yang didermakan mampu menyelamatkan tiga nyawa apabila darah tersebut diproses kepada tiga komponen darah yang berbeza. Iaitu sel darah merah, platelet, dan plasma. Walaupun plasma boleh disimpan sehingga 3 tahun, sel darah merah hanya boleh disimpan sehingga 42 hari, dan platelet hanya selama 5 hari.

Sebab itulah proses menderma darah ini sangat baik dan dialukan bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa. Bahkan pentingnya tahap pendermaan darah yang tinggi dan konsisten, agar bekalan darah sentiasa mencukupi dan tidak berkurang. Jika tidak, pesakit yang bergantung kepada transfusi darah akan terkesan. Terutamanya dari kumpulan darah yang paling dikehendaki, iaitu A dan O.

Menderma darah bagi golongan dewasa tidak akan memberi apa-apa risiko terhadap kesihatan mahupun kesan fizikal, bahkan sangat selamat dan memberi manfaat yang besar untuk kesihatan. Antaranya:

2. Mengelak Risiko Kanser

Kandungan (zat besi) iron yang berlebihan dalam badan sangat dikaitkan dengan risiko penyakit kanser.

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh Jurnal Institut Kanser Kebangsaan, flebotomi (phlebotomy) merupakan kaedah pengurangan iron yang dikaitkan dengan risiko kanser dan mortaliti yang lebih rendah.

Dengan itu, pesakit yang selalu menderma darah akan lebih rendah risikonya untuk mendapat kanser berbanding mereka yang tidak menderma.

Menderma darah juga satu kaedah  baik bagi golongan penderita hemochromatosis (memilik zat besi yang berlebihan dalam darah) yang sangat mempengaruhi fungsi organ-organ vital dalam tubuh.

3. Mengurangkan Risiko Serangan Jantung

Dalam hasil kajian, menderma darah sekurang-kurangnya sekali setahun mampu mengurangkan 88% risiko serangan jantung.

Dengan itu, pendermaan darah dengan tetap setiap tiga bulan dapat mengurangkan risiko sakit jantung, terutama bagi golongan lelaki.

Ini kerana menderma darah secara teratur akan mengekalkan tahap kawalan iron. Memang iron adalah unsur penting dalam membolehkan  badan berfungsi dengan baik, tetapi iron yang berlebihan boleh mengakibatkan kerosakan oksidatif yang menjadi punca serangan jantung.

Apabila menderma darah dengan kerap, regenerasi darah berlaku dengan lebih cepat, dan pengoksidaan kolesterol menjadi lebih perlahan.

Kesannya, aliran darah lebih lancar (selepas didermakan) seterusnya menghalang pengumpulan lemak dan kolesterol pengoksidaan di dinding arteri koronari. Ini dapat mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Kajian pada tahun 2019, mendapati daripada 160,000 wanita yang menderma darah selama 10 tahun tidak memiliki risiko jangka panjang terhadap masalah kardiovaskular.

4. Meningkatkan Peredaran Dan Pengaliran Darah

Darah yang pekat yang tidak mengalir dengan baik akan menyukarkan oksigen dibawa ke pelbagai tisu dalam badan.

Masalah Hypercoaguable (ketidaknormal pembekuan darah yang meningkatkan risiko trombosis) juga dikaitkan dengan peradangan kronik yang menyebabkan gangguan kesihatan yang serius seperti kanser, penyakit jantung dan diabetes.

Selain itu apabila darah menjadi terlalu pekat, turut meningkatkan geseran antara darah dan lapisan saluran darah. Kesannya akan menyebabkan lapisan saluran darah menjadi rosak dan mengundang penyakit jantung.

Namun apabila menderma darah, ia mengurangkan kepekatan darah dan membantu meningkatkan aliran darah. Lalu, mengurangkan potensi kerosakan pada saluran darah selain mengurangkan risiko arteri tersumbat.

5. Membantu Membakar Kalori

Menderma darah tidak menggemukkan!

Ini kerana penderma darah akan membakar kira-kira 650 kalori dalam setiap satu pain darah. Secara tidak langsung akan membantu mengawal dan menurunkan berat badan.

Jika lebih kerap menderma darah, maka lebih banyaklah kehilangan berat badan. Ini berita baik kepada golongan yang berusaha menurunkan berat badan, namun tetap tidak sesuai dianggap sebagai pelan penurunan berat badan.

6. Mengesan Tahap Kesihatan

Sebelum melalui proses menderma darah, akan diadakan pemeriksaan kecil yang menyemak kiraan haemoglobin, semakan nadi dan degupan jantung, pengukuran suhu badan dan tekanan darah. Termasuk juga ujian darah untuk penyakit berjangkit seperti sifilis, hepatitis B dan C, dan HIV.

Ujian ini bagi menentukan sama ada penderma tersebut berada dalam keadaan baik atau sebaliknya.

Pemeriksaan ini sedikit sebanyak memberi maklumat terhadap tahap kesihatan penderma yang paling terkini, serta pemahaman yang lebih baik mengenai kesihatan mereka jika ia belum diketahui. Jika diluluskan untuk menderma darah, bermakna keadaan kesihatan seseorang penderma itu baik.

7. Menyegarkan Tubuh Badan


Menderma darah  juga membantu tubuh badan menajdi lebih segar dan cergas. Proses pendermaan  darah ini sebenarnya secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah sel darah merah dalam tubuh dan memaksa sumsum tulang untuk menghasilkan sel baru.

Sebab itulah tubuh akan menjadi lebih bertenaga, dan sistem badan akan dapat menjalankan fungsi dengan lebih baik dan lancar.


8. Menstabilkan Kesihatan  Mental dan Emosi

Dengan menderma darah akan memberi kesan baik kepada kesihatan mental, seperti mengurangkan tekanan dengan menenteramkan fikiran. Selain itu membantu meningkatkan kesejahteraan emosi  dengan mengurangkan emosi negatif.

Penutup: Menderma Darah Satu Sedekah dan Menunaikan Fitrah Manusiawi

Dalam pendermaan darah, kita seharusnya sedar bahawa ianya menyatukan manusia dan mengingatkan setiap manusia itu adalah sama. Allah SWT menciptakan manusia juga setara tarafnya walau hakikatnya manusia sendiri membezakannya melalui taraf sosial, kedudukan, pangkat, rupa dan sebagainya.

Mendermalah darah kerana bukan sahaja menunaikan fitrah manusiawi yang menghulurkan bantuan, tetapi dengan darah yang didapati secara percuma dari tuhan mampu menyelamatkan nyawa dan menyembuhkan penyakit orang yang dalam kesusahan.

Paling utama sebagai umat muslim, fahamilah dengan menderma darah yang dapat menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama, bangsa dan budaya; juga boleh dianggap sebagai suatu sedekah dan mendapat ganjaran pahala yang berlarutan dan berpanjangan.

Rujukan:

  1. Infografik BERNAMA (Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia)
  2. Kosmo
  3. Hello Doctor
  4. Mstar
  5. Majlis Keselamatan Negara
  6. Remaja

Bacaan Lain:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.