Mari ketahui bagaimana Rasulullah SAW melayani isterinya.
Setiap wanita akan menjadi bahagia dan tenang jika mendapat layanan yang baik dan istemewa dari suaminya. Jika seseorang isteri itu bahagia, pasti rumahtangga juga akan terpelihara dan terjaga.
Disebabkan itulah, Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya agar senantiasa menyayangi dan berlaku baik kepada ahli keluarga, khsususnya kepada isterinya.
Berbuat baik kepada isteri bukanlah dengan merendahkan harga diri sebagai suami dan ketua keluarga, tetapi dengan memberi layan terbaik, sebagai seseorang yang sudi berkongsi hidup dengan susah senang bersama.
Ikutilah contoh Rasulullah SAW yang menempuhi kesabaran dan pengorbanan dan menjaga keharmonian dan kesejahteraan rumahtangga Baginda.
Banyak perkara yang boleh diambil sebagai ikutan daripada sifat romantis dan penyayang Rasulullah, antaranya;
“Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dinafkahkan untuk ternakan tunggangannya (kenderaan) yang digunakan di jalan Allah dan dinar yang dinafkahkan untuk para sahabatnya yang berjuang di jalan Allah.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW menekankan bahawa memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada isteri adalah wajib mengikut kemampuan suami. Ini juga termasuklah nafkah dari segi zahir dan batin.
Rasulullah SAW juga menyediakan isteri-isteri Baginda dengan tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan yang mencukupi dan tidak berlebihan.
Rasulullah SAW sangat menghargai para isterinya. Terutamanya Siti Khadijah yang sangat berbudi dan mengorbankan segala-galanya untuk Baginda.
Menurut Baginda,
“Dia (Siti Khadijah) beriman kepadaku di masa orang lain berada dalam kekafiran. Dia membenarkanku di waktu orang lain mendustakan aku. Dia menolongku dengan hartanya, ketika orang lain tidak sudi memberikannya. Dan Allah mengurniakan anak daripadanya, tidak dari isteri-isteri yang lain.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
Pengorbanan Siti Khadijah ini membuatkan Baginda terus mengingatinya walaupun telah lama meninggal dunia. Pun begitu Rasulullah SAW masih melakukan hal yang sama dengan isteri Baginda yang lain, seperti bertimbang rasa, hormat dan sabar dan sebaginya.
Rasulullah SAW selalu memijit hidung Aisyah jika ia marah dan beliau berkata,
“Wahai ‘Aisy, bacalah doa: ‘Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku, dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan’.”
(Hadis Riwayat Ibnu Sunni)
Jika beginilah telatah suami memeujuk isteri, pasti para isteri akan segera baik dari merauk atau tak jadi merajuk.
Sentiaslaah menjadi peneman isteri walau dalam keadaan apapun. Seperti Rasulullah SAW yang selalu menemani isteri Baginda;
Safiyyah binti Huyay, isteri Nabi SAW, menceritakan bahwa dia datang mengunjungi Rasulullah ketika beliau sedang melakukan i’tikaf pada hari sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadhan. Dia berbicara dekat beliau beberapa saat, kemudian berdiri untuk kembali. Nabi SAW juga ikut berdiri untuk menghantarkannya. Lantas Nabi berkata kepada Safiyyah, ‘Jangan terburu-buru, agar aku dapat pulang bersamamu’.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasululllah SAW sangat penyayang dan sabar. Baginda melayani semua karenah ister-isteri Baginda dengan baik. Jauh sekali untuk bersikap kasar dan memukul.
Bahkan Baginda sangat membenci dan marah terhadap suami-suami yang memukul isteri mereka.
Suatu hari, Rasulullah menegur seorang lelaki,‘Mengapa engkau memukul isterimu?’ Lantas dijawab dengan agak gementar, ‘Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap begitu juga, jadi aku pukullah dia’. ‘Aku tidak menanyakan alasanmu’, sahut Rasulullah, ‘Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”
Diceritakan bahawa baginda bergurau senda dengan Aisyah ketika mandi sambil dan berebut-rebut mengambil air dari bekas yang sama.
Berkata Aisyah:
“Aku mandi bersama Rasulullah dalam satu bejana, aku mendahuluinya dan ia mendahuluiku (mengambil wadah) sampai-sampai ia berkata: ‘tinggalkan untukku’, dan aku berkata, ‘tinggalkan untukku’.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dari Saad bin Abi Waqosh RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Dan sesungguhnya jika engkau memberikan nafkah, maka hal itu adalah sedekah, hingga suapan nasi yang engkau suapkan ke dalam mulut isterimu.”
(Mutafaqun ‘Alaih)
Sesungguhnya dengan saling menyuapi akan memperkukuh perasaan cinta kepada kedua-dua pasangan suami isteri. Bukan sahaja mendapat pahala tetapi dapat menjauhkan rumahtangga daripada salah faham dan masalah lain.
Baginda Rasulullah SAW makan bersama dengan isteri Baginda dengan berkongsi bekas makanan yang sama.
Dari Aisyah RA, dia berkata;
“Suatu ketika aku minum, dan aku sedang haid, lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah SAW dan beliau meminumnya dari mulut gelas tempat aku minum. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas beliau mengambil potongan daging itu dan memakannya tepat di tempat aku memakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dari Anas RA, berkata:
“Kemudian kami pergi menuju Madinah (dari Khaibar). Aku lihat Nabi SAW menyediakan tempat duduk yang empuk dari kain di belakang unta beliau untuk Safiyyah (isteri beliau). Kemudian beliau duduk di samping untanya sambil menegakkan lutut beliau dan kemudian Safiyyah naik dengan meletakkan kakinya di atas lutut beliau sehingga dia bisa menaiki unta tersebut.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Cara Rasulullah SAW yang memperlakukan isterinya seperti puteri ini walaupun tidaklah sebesar mana (jika hari ini suami membantu membukakan pintu kereta untuk isteri) namun pasti sangat mengharukan dan membuatkan hati si isteri berbunga-bunga.
Suami yang baik mengikut acuan Rasulullah SAW juga adalah yang tidak membebankan dan menyusahkan isterinya dalam apa jua perkara.
Pernah Baginda pulang pada waktu pagi dan dalam keadaan lapar. Dalam keadaan serba Aisyah memberitahu bahawa tidak ada makanan pada waktu itu. Namun Baginda tidak marah dan berkata bahawa Baginda akan berpuasa tanpa sedikit pun rasa kesal.
Begitu juga apabila Rasulllah SAW pulang lewat malam, Baginda tidur di luar kerana tidak sanggup mengejutkan Aisyah untuk membuka pintu.
Kebahagian sesuatu hubungan suami isteri itu adalah usaha daripada pasangan itu dalam mengamalkan ajaran-ajaran Islam secara keseluruhannya iaitu akidah, syariah dan akhlak.
Pun begitu Rasulullah SAW sangat menekankan kepada peranan suami yang lebih besar demi kesejahteraan keluarga. Apatah lagi dalam sabar dan bertolak ansur ketika berhadapan dengan kerenah isteri.
Begitu juga dengan wanita yang perlu mengikuti nasihat Baginda SAW. Bahkan dalam al-Quran dan hadis terdapat banyak panduan tentang ciri-ciri isteri yang baik dicontohi.
Jika setiap pasangan memahami keindahan berkeluarga dalam Islam pasti sesuatu hubungan itu akan mendapat matlamat ke syurga.