Sebagai manusia yang normal pastinya kita tak dapat lari dari merasakan pelbagai emosi yang dicipta oleh Allah. Salah satu daripada emosi yang akan kita rasai ialah kesedihan. Mungkin kita berasa sedih akibat kehilangan, mungkin juga akibat dikhianati oleh orang yang kita percayai.

Tak kurang juga yang berasa sedih mengenangkan perkara buruk yang berlaku dalam hidup. Walau apa pun punca kesedihan yang kita alami, ketahuilah bahawa ianya akan berlalu. Jom lihat perkongsian  ayat Al-Quran tentang kesedihan sebagai santapan rohani.

ayat al-quran tentang kesedihan

Sumber: Drmarge

Surah al-Kausar Ayat 1-3

“Sesungguhnya, Kami telah kurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak di dunia dan akhirat. Oleh itu, laksanakanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan dekatkan diri kepada Allah). Sungguh, orang-orang yang membencimu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).”

Ayat ini adalah peringatan kepada kita bahawa kesedihan yang kita alami hanyalah sedikit berbanding nikmat lain yang diberikan oleh Allah. Tidak terkira nikmat lain yang kita perolehi. Ayat ini juga mengingatkan kita supaya terus beribadat kepada Allah walau pun sedang bersedih kerana Allah sentiasa ada bersama kita. Simpan Allah di dalam hati nescaya kesedihan kita akan berkurangan.

Surah at-Taubah Ayat 40

“Janganlah engkau bersedih, kerana sesungguhnya Allah bersama kita.”

Ini adalah ayat di mana Allah mengingatkan kita supaya jangan terlalu bersedih dan hanyut dengan perasaan sehingga terlupa bahawa sesungguhnya Allah sentiasa ada bersama kita. Mungkin ada masanya kita terlalu bersedih sehingga terlupa untuk berdoa dan memohon kemudahan daripada Allah. Itulah sebabnya ayat ini diturunkan, iaitu sebagai peringatan kepada kita. Tak kira betapa sedihnya perasaan jangan sesekali lupa bahawa Allah tidak pernah meninggalkan kita.

Surah Al-Fajr Ayat 17

“Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”

Ada kalanya bila kita bersedih, kita berasa kecewa dengan dunia atau merasakan bahawa kita adalah seorang yang gagal. Ini kerana kita terlupa bahawa dunia ini hanyalah sementara manakala akhirat adalah alam yang kekal. Oleh itu, walau pun kita dikhianati jangan terlalu bersedih kerana dunia hanyalah sementara. Kalau kita bersedih kerana dipandang rendah disebabkan kurang berjaya berbanding adik-beradik yang lain, jangan bersedih. Berusaha mengumpul saham akhirat supaya di sana nanti kita akan dimasukkan ke syurga tanpa hisab.

Surah Al-Ra’d Ayat 28

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram.”

Ayat Al-Quran yang seterusnya ialah tentang dengan mengingati Allah hati kita akan berasa tenang. Cuba bezakan dua keadaan berikut. Keadaan pertama ialah seorang yang bersedih dan melayan perasaan tanpa mengingati Allah. Keadaan kedua ialah seorang yang bersedih dan memilih untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan melakukan solat, mengaji Al-Quran, berzikir dan berselawat. Pada hemat anda, yang mana satu akan lebih berasa tenang?

Pastinya yang kedua. Ini kerana apabila Allah sentiasa ada di dalam hati kita secara automatik hati kita akan berasa tenang walau sebesar mana kesedihan yang mendatang. Ini kerana kita tahu bahawa ujian yang datang adalah tanda Allah sayangkan kita dan ingin mengangkat darjat kita di sisinya.

Surah Al-Fussilat Ayat 44

“Katakanlah al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman.”

Ini adalah ayat tentang betapa Al-Quran adalah penawar bagi kesedihan dan duka-lara yang sedang kita rasai. Itulah sebabnya apabila kita berasa sedih, banyakkan membaca Al-Quran. Alunan ayat suci Al-Quran akan membuatkan jiwa kita berasa tenang dan insya Allah kita lebih redha untuk menghadapi segala ujian yang mendatang. Apabila hati kita berasa redha dan tenang, kita akan mampu untuk menghadapi dugaan dengan senyuman dan tidak lagi bergelumang dengan kesedihan seperti manusia yang tiada iman.

Surah Al-Baqarah Ayat 156-157

“Dan, berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata; ‘Sesungguhnya, kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali, mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah yang mendapat rahmat-Nya dan petunjuk-Nya’.”

Ayat Al-Quran tentang kesedihan yang seterusnya ialah Surah Al-Baqarah Ayat 156-157 di mana Allah mengingatkan kita untuk terus bersabar ketika sedang diuji dengan kesedihan kerana disebalik kesedihan yang mendatang terdapat seribu rahmat yang mungkin kita belum sedari pada hari ini.

Surah Al-Baqarah ayat 153

“Sesungguhnya, Aku bersama orang-orang yang sabar.”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa  Allah sentiasa ada bersama kita yang sedang diuji dengan kesedihan dan seandainya kita terus bersabar dan redha dengan segala yang berlaku, kita akan dirahmati dengan pahala yang berlipat-kali ganda. Jika kita memberontak dan menyalahkan Allah kerana kesedihan yang dialami, kita hanya akan memburukkan lagi keadaan, malah masalah tidak akan selesai.

Sebaliknya jika kita bersabar dan redha, Allah akan mempermudahkan urusan kita dan percayalah bahawa kesedihan yang kita sedang alami akan meninggalkan kita apabila tiba waktunya. Percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita hambanya.

ayat al-quran tentang kesedihan

Sumber: Tanwir

Itulah dia perkongsian tentang ayat Al-Quran tentang kesedihan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang kisah tazkirah ringkas dan nuzul Al-Quran.

Sumber: Tazkirah

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.