Bagaimana melamar yang sebenarnya? Mari ikuti cara ini.

Melamar bererti meminta seorang perempuan untuk dijadikan sebagai isteri. Melamar juga bermaksud pertanyaan seseorang berkenaan kesediaan untuk berumahtangga dan memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Proses ini adalah kebiasaan bagi seseorang yang bersedia untuk berkahwin.

Lamaran boleh dilakukan dengan pelbagai cara, sama ada dilakukan secara sendiri oleh pihak lelaki atau berwakilkan keluarga.

Dalam Islam, lamaran disebut juga dengan ‘khitbah’ yang merupakan proses permulaan kepada sebuah pernikah. Islam juga mengesyorkan permulaan lamaran ini mengikut tatacara dan adab yang sebaiknya agar  mendapat keberkatan Allah SWT.

Namun, bagaimanakah adab-adabnya itu?

1. Melihat Calon Yang Ingin Dilamar

Melihat calon isteri atau calon suami disyariatkan dalam Islam agar tidak ada penyesalan di kemudian hari. Ianya adalah untuk memastikan mereka menikah kerana saling mencintai dan menyukai tanpa paksaan. 

“Dari Anas bin Malik, ia berkata,’Mughirah bin Syu’bah berkeinginan untuk menikahi seorang perempuan. Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Pergilah untuk melihat perempuan itu kerana dengan melihat itu akan memberikan jalan untuk dapat lebih membina kerukunan antara kamu berdua’. Lalu ia melihatnya, kemudian menikahi perempuan itu dan ia menceritakan kerukunannya dengan perempuan itu.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ini termasuklah membuka purdah jika wanita tersebut memakai purdah. Namun, mestilah ahli keluarga yang mahram bukannya berdua-duaan.

Rasulullah SAW juga bersabda:

“Jika salah seorang di antara kalian meminang seorang perempuan, maka jika ia bisa melihat dari perempuan itu apa yang dapat menyerunya untuk menikahinya, maka hendaklah ia melakukannya. Jabir berkata ‘aku meminang seorang perempuan maka aku bersembunyi terhadapnya hingga aku melihat darinya apa yang mendorongku untuk menikahinya, kemudian aku menikahinya’.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)

2. Tidak Melamar Wanita Yang Dilamar Lelaki Lain

Wanita yang sudah dilamar oleh lelaki lain dan bersetuju menerima lamaran tersebut adalah haram untuk menerima lamaran lelaki lain. Melainkan lelaki pertama itu membatalkan lamarannya. Dari Abu Hurairah berkata;

“Rasulullah SAW bersabda, ‘Seorang lelaki tidak boleh meminang perempuan yang telah dipinang saudaranya.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Namun, jika wanita tersebut sudah menolak lamaran lelaki pertama itu, tidak salah jika ada lelaki lain yang mahu melamar wanita tersebut.

Apatah lagi jika wanita tersebut adalah isteri orang, melainkan jika sudah bercerai atau selesai tempoh iddah.

3. Wanita Mestilah Dari Golongan Ajnabi

Wanita yang dilamar mestilah termasuk dalam ajnabi (yang boleh berkahwin) bagi lelaki yang melamar. Ajnabi adalah sesiapa yang tidak ada pertalian darah yang dibolehkan berkahwin dengannya. Misalnya wanita tersebut bukan adik kandungnya.

 Hukum ini ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud;

 “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(An-Nisa’: 23)

4. Merahsiakan Lamaran

Merahsiakan lamaran bermaksud tidak mengumumkan pertunangan kepada orang ramai secara berterus terang.

Merahsiakan pertunangan adalah sesuatu yang sangat digalakkan dalam Islam. Ini kerana bertunang belum dijamin sepenuhnya sehingga berlangsungnya pernikahan. Sebaliknya, pernikahan pula sangat dituntut untuk dihebahkan.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Rahsiakanlah pertunangan dan hebahkan tentang perkahwinan.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

5. Menemui Ibu-bapa Wanita

Cara lamaran ini adalah sebaik-baiknya dilakukan jika seseorang berniat untuk memperisterikan seorang wanita.

Rasulullah SAW juga menemui Abu Bakar sewaktu meminang Aisyah. Urwah menceritakan bahwa Baginda melamar Aisyah kepada Abu Bakar, lalu Abu Bakar berkata;

“Sesungguhnya aku adalah saudaramu. Maka Nabi menjawab, ‘Engkau adalah saudaraku dalam agama Allah dan kitab-Nya dan dia halal bagiku’.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Manakala sewaktu ingin menikahi Hafshah, Baginda menemui  Umar al-Khattab. Umar berkata;

“Nabi meminang Hafshah kepadaku lalu aku menikahkan Baginda.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

6. Memulakan Dengan Hamdalah

Sesungguhnya adalah sunah jika memulakan lamaran dengan menyebutkan hamdalah atau pujian serta selawat kepada Rasulullah.

Hal ini dikuatkan juga oleh sabda Rasulullah SAW:

“Setiap perkataan yang tidak dimulai dengan bacaan hamdalah, maka hal itu sedikit barakahnya (terputus kebarakahannya).”

(Hadis Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

7. Melamar Langsung Kepada Wanita

Lamaran dengan terus menyampaikan kepada wanita yang ingin dilamar itu selalunya dilakukan terhadap wanita yang janda sahaja.

Ini kerana  seseorang janda itu diberi kebebasan untuk menerima atau menolak lamaran tanpa keiizinan walinya.

Cara ini pernah dilakukan oleh Baginda Rasulullah sewaktu melamar Ummu Salamah, Baginda menyampaikan langsung kepadanya melalui seorang sahabat.

“Ummu Salamah menceritakan bahawa Baginda mengutuskan Hathib bin Abi Baltaah kepadanya untuk melamarnya, lalu Ummu Salamah berkata, ‘Aku mempunyai anak perempuan dan aku sangat pencemburu’.

Maka Nabi bersabda, ‘Mengenai anaknya, kita doakan kepada Allah. Demoga dia mencukupkan daripadanya dan aku berdoa kepada Allah mudah-mudahan Dia menghilangkan kecemburuanya.

(Hadis Riwayat Muslim)

Penutup: Melamarlah Mengikuti Syariat dan Beradab Agar Diberkati Allah SWT

Islam sangatlah melindungi kehormatan dan harga diri para wanitanya. Ini termasuklah dalam hal peminangan yang terdapat beberapa perkara perlu ditelitikan bagi menjaga kehormatan dan kedudukan waniat islam. Bahkan seiiring itu, dapat menjauhkan dari hal yang tidak diinginkan agama.

Bacaan Lain:

Rujukan:

Penulis: Rabiatul Adaweeyah Othman

Sangat mecintai buku dan meminati penulisan, lalu gemar berkongsi tentang apa-apa yang dibaca dan ditulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.