Mari bersama kenali tempat-tempat yang diazab Allah SWT.
Allah SWT menjadikan alam ciptaan-Nya dengan pelbagai kejadian. Antaranya untuk melihat keajaiban dan kebesaran ciptaan Allah, selain mengambil ibrah terhadap sesutu ciptaan-Nya.
Pun begitu terdapat beberapa tempat yang dijadikan oleh Allah sebagai larangan atas beberapa sebab. Ini kerana terdapat beberapa tempat yang pernah diturunkan azab dan oleh Allah SWT, manakala kaum-kaumnya terdahulu yang ingkar telah dilaknat.
Hukum melawat ke lokasi yang pernah dilaknat Allah SWT ini adalah makruh. Ada pandangan ulama yang menyatakannya sebagai haram. Namun ia bergantung kepada niat dan tujuan masing-masing kerana hukum haram itu bukanlah ‘haram’ mutlak’ seperti zina, babi atau arak.
Sebagai umat Islam yang akur, perlulah menjauhi kawasan tersebut. Dan jika terpaksa melewatinya juga, berlalulah sekadar untuk mengambil pengajaran, menginsafi dan bermuhasabah dengan peristiwa yang berlaku di kawasan tersebut. Bukannya berkunjung untuk bercuti, bersuka-ria dan sebagainya.
Dalam ayat al-Quran sendiri ada menyebut:
“Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik.”
(ar-Rum: 42)
Terdapat beberapa tempat yang diturunkan azab oleh Allah SWT, dan dianggap sebagai kawasan yang dilarang, antaranya;
Laut Merah terletak di Lautan Hindi, antara benua Afrika dan Asia yang sangat dikenali dengan kisah Firaun dan Nabi Musa. Di laut inilah Allah meneggelamkan Firaun dan pada pengikutnya, manakala Nabi Musa AS dan pengikutnya pula terselamat melalui mukjizat Baginda yang membelah lautan.
Dalam al-Quran diceritakan tentang kisah ini;
“Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.”
( al-A’raf: 136)
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain;
“Sungguh, telah Kami wahyukan kepada Musa, ‘Pergilah bersama hamba-hamba-Ku (Bani Israil) pada malam hari dan pukullah laut itu untuk menjadi jalan yang kering bagi mereka tanpa rasa takut akan tersusul dan tanpa rasa khawatir (akan tenggelam)’. Firaun dengan bala tentaranya lalu mengejar mereka (Musa dan pengikutnya), tetapi mereka (Firaun dengan bala tentaranya) digulung ombak laut (yang dahsyat) sehingga menenggelamkan mereka. Firaun telah menyesatkan kaumnya dan tidak memberi (mereka) petunjuk.”
(Taha: 77-79)
Berdasarkan kajian dan penerangan ulama dan ilmuan Islam, umat Nabi Luth AS tinggal di kota Sodom ini. Daerah ini kini dikenali dengan nama Laut Mati, di sempadan antara Israel dan Jordan.
Berdasarkan ahli arkeologi pula, sekitar 1,800 hingga 2,350 SM dahulu, terdapat kehidupan di tempat berkenaan yang hancur akibat gempa bumi, dipercayai juga mereka ditimpa dengan batu-batu yang besar.
Dalam al-Quran jelas menceritakan, kaum Nabi Luth AS dihancurkan kerana menjalani kehidupan dengan pelbagai kegiatan buruk seperti, merompak, mencuri, berzina serta mengamalkan homoseksual yang bertentangan dengan ajaran Islam. Walapun sudah diutuskan Nabi Luth AS untuk mengajak mereka kembali kepada jalan yang benar, namun mereka enggan sehingga Allah SWT menurunkan azab yang dasyat kepada mereka.
Firman Allah SWT:
“Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri Kaum Luth itu diterbaliknya (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar menimpanya bertalu-talu.”
(Hud: 82)
Kaum Aad tinggal di jazirah Arab, iaitu di daerah Al-Ahqaf yang terletak di utara Hadramaut antara Yaman dan Oman. Kaum ini tidak pernah bersyukur dan sangat bermegah dengan kemewahan yang diberikan oleh Allah SWT.
Mereka juga menolak ajarah Nabi Hud dan keesaan Allah SWT dengan menyembah berhala. Sehingga akhirnya mereka dibinasakan oleh Allah SWT dengan pelbagai bencana dengan angin dingin yang sangat kencang.
Allah SWT berfirman:
“Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.”
(al-Haqqah: 6-7)
Kota Pompeii terletak di sebelah timur Gunung Vesuvius, di Naples, Itali. Masyarakat ketika itu menjalani kehidupan yang sesat dan menyompang termasuklah homoseksual sebagai cara hidup menjadikan kota itu sebagai pusat pelacuran.
Allah SWT menurunakan bencana-Nya melalui letusan gunung berapi yang berlaku secara tiba-tiba. Letusan Gunung Vesuvius telah menghancurkan kota itu sepenuhnya.
Dalam al-Quran banyak firman Allah SWT mengenai bencana yang berlaku secara tiba-tiba terhadap kaum terdahulu yang kufur. Antaranya, menerusi surah Yaasin: 29, Allah berfirman:
“(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.”
(Yaasin: 29)
Wadi Muhassar atau disebut juga dengan sebagai Lembah Muhassir merupakan satu lembah yang terletak di antara Mina dan Muzdalifah. Di sinilah tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah singgah kali terakhir, sewaktu ingin menyerang kota Mekah.
Ketika ini jugalah Allah. SWT mengutuskan kumpulan burung Ababil melontarkan batu yang sangat panas kepada mereka. Sehingga akhirnya mereka hancur bagaikan daunan yang dimakan ulat.
Allah SWT berfirman;
“Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasukan. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras. Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.”
(Al-Fil : 1)

Madain Saleh adalah sebuah kota yang terletak di wilayah utara Hijaz. Sekitar 3,000 tahun dahulu kota ini pernah pernah dihuni oleh kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Salleh AS.
Mereka ingkar dengan perintah Allah dan rasul dengan menyembah berhala dan membunuh unta Nabi Saleh AS. Sehingga menimbulkan murka Allah lalu diazab dan dibinasakan dengan gempa bumi yang sangat dahsyat.
Firman Allah SWT:
“Dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.”
(Hud: 67)
Qasr Al-Farid atau bermaksud ‘Istana Bersendirian’ yang terletak di Madain Saleh. Bangunan ini merupakan sebuah makam yang dibina pada sekitar abad ke-1 M, iaitu seawal zaman Kerajaan Nabatea (suku Nabath).
Qasr Al-Farid diukir dari bongkah batu besar yang hampir menyamai monumen di Petra, Jordan dan dianggarkan berketinggian empat tingkat bangunan.
Kaum Nabath dikurniakan dengan kelebihan kemahiran mengukir sehingga menguasai Mediterranean sampai ke utara Arab. Mereka juga mempunyai kekuatan fizikal yang luar biasa. Namun kaum ini masih membangkang ajaran rasul dan ingkar untuk menyembah Allah SWT. Sehingga mereka dilaknat dan diazab di kota tersebut.
Taatilah perintah Allah SWT dengan mengikuti setiap larangannya, iaitu menjauhi tempat yang diazab oleh Allah SWT dan tidak disukai-Nya untuk dilawati. Pasti ada hikmah atas sebab kejadian dan larangan yang diperintahkan oleh Allah.
Kita sebagai hamba-Nya haruslah mengambil iktibar dan ibrah atas setiap kejadian azab yang menimpa kaum terdahulu, apatah lagi kaum-kaum yang dibinasakan itu pula terdiri daripada golongan yang dimurkai Allah SWT.