Meletihkan, setiap kali membaca atau mendengar sikap saling membanding antara ibu-ibu. Ibu budak tersebut tidak bagus. Ibu ini pula tidak pandai mendidik anak. Ibu lain terlalu memanjakan anak-anak… dan macam-macam lagi. Meletihkan!
Untuk seketika, berhenti! Berhentilah menghakimi orang lain, berhentilah membanding-banding. Allah sudah menetapkan rezeki masing-masing, dan perjalanan hidup masing-masing. Sekiranya ibu tersebut tidak memberikan perkara sebaik kita memberikan anak kita, berhentilah menghakimi. Kita tidak tahu kisah kehidupan beliau.
Sebagai seorang ibu, saya menyedari sesuatu: sekiranya anda sering risau tidak mampu menjadi ibu yang baik, anda sebenarnya adalah ibu yang terbaik! Logik akalnya, setiap ibu pasti mahu memberikan yang terbaik untuk anak mereka.
Percayalah, tiada manusia yang sempurna. Perkara yang membezakan kita dengan orang lain adalah sejauh mana usaha kita untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik setiap hari.
Disini terdapat 7 perkara yang sering dihakimi oleh ibu-ibu lain dan ia sepatutnya dihentikan sekarang!
Anda boleh menghasilkan susu sebanyak 12 oz sehari, lebih banyak dari yang mampu dihasilkan di ladang-ladang lembu setiap hari. Anak anda mampu menyusu sehingga kenyang, kadang kala sampai berlebih susu tersebut.
Anak anda menyusu badan sepenuhnya sehingga usia menjangkau 2 tahun, tidak seperti anak orang lain. Namun begitu, berhentilah menghakimi ibu lain sekiranya mereka tidak mampu menyusu anak mereka sama seperti yang anda lakukan.
Jangan menghakimi, sekiranya bayi tersebut hanya diberikan susu formula. Jangan menghakimi sekiranya bayi tersebut tampak sedikit kurus berbanding bayi anda. Berhenti menghakimi! Jangan membanding-banding! Elakkan menunjuk-nunjuk!
Tidak semua orang bertuah seperti anda. Ketahuilah, sekiranya diberi peluang, ramai yang mahu memberikan bayi mereka sepertimana yang anda berikan. Namun, setiap orang mempunyai alasan mereka sendiri.
Mungkin ibu tersebut tidak boleh, mungkin ibu tersebut tidak mahu, atau mungkin ibu tersebut pernah menghidapi kanser payudara. Kita tidak pernah tahu! Walau apa pun pilihan atau alasan mereka, kita tidak layak memandang serong pada mereka.
Kakak saya sendiri mempunyai masalah kurang susu ibu. Bayinya berhenti menyusu badan seawal usia 6 bulan. Macam-macam sudah dicuba, pelbagai kaedah sudah dilakukan, namun masih tidak mendatangkan hasil.
Akhirnya, dia terpaksa memberi bayinya susu formula walaupun memeritkan. Bantulah, dan berilah sokongan pada para ibu sepertinya. Sikap membanding tidak boleh menyumbang apa-apa kebaikan – hanya setakat kepuasan pada diri sendiri.
Sebagai umat Islam, berpeganglah bahawa, “rezeki masing-masing ditentukan oleh Allah mengikut keperluan masing-masing”.
Berpantang selepas melahirkan anak-anak menjadi antara perkara yang sangat penting untuk setiap ibu terutamanya dalam masyarakat kita. Berbanding orang Barat, masyarakat kita mempunyai kaedah berpantang yang lebih ketat.
Namun begitu, berbeza mengikut budaya sesetengah orang, cara berpantang turut berbeza. Berpantang mengikut cara mak mertua, berpantang mengikut cara ibu sendiri, atau pun berpantang mengikut gaya moden.
Ada yang berpantang selama 10 hari sahaja, ada yang berpantang selama 4 bulan, malah ada yang berpantang selama setahun! Ada juga yang tidak terlalu menjaga makan sewaktu dalam pantang, ada yang hampir semua makanan tidak boleh dijamah.
Berbeza. Kita tidak sepatutnya membeza atau membanding cara berpantang mana yang lebih baik. Masing-masing dengan cara masing-masing. Apa yang penting, amalan mana yang didapati kurang sesuai dengan kita, jadikan sempadan manakala amalan mana yang didapati elok, jadikan panduan.
Televisyen atau tiada televisyen? iPad, tablet, smartphone atau tiada lansung? Setiap ibu mempunyai pandangan masing-masing. Ada ibu yang berpendapat, tablet membantu mengawal anak dalam keadaan yang tidak terkawal.
Ada ibu pula berpendapat, televisyen membantu perkembangan minda anak-anak. Ada juga ibu yang berpendapat, iPad adalah perlu kerana anak-anak perlu didedahkan dengan teknologi yang sezaman dengan mereka.
Sebaliknya, ada ibu yang berpendapat terdedah pada iPad menyebabkan anak kurang bersosial. Ada juga yang berpendapat, televisyen memberi pengaruh yang buruk dalam minda anak. Ada pula yang berpendapat teknologi menyebabkan anak terdedah dengan pelbagai penyakit yang merbahaya.
Teknologi ini ada baik dan ada buruknya. Masing-masing dengan cara masing-masing. Jangan dihukum ibu yang memberikan anak mereka lengkap seorang satu tablet sedari usia 1 tahun. Mereka pasti mempunyai alasan mereka sendiri.
Jangan beranggapan hanya kita yang tahu apa yang terbaik. Ibu-ibu lain juga mempunyai Google sama seperti anda.
Ada ibu memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz bagi menggalakkan anak mereka menghafaz al-Quran. Ada ibu pula gemar anak mereka ke taska abim bagi membolehkan anak mereka membesar dalam suasana dan didikan Islam.
Ada ibu lain merasakan anak patut dihantar ke tadika Chinese bagi membolehkan anak mereka belajar bahasa Mandarin. Ada juga ibu yang lebih memandang tadika Smart Reader bagi membolehkan anak mereka cepat membaca. Ada ibu yang sekadar menghantar anak mereka di Tadika Kemas kerana yuran yang ditawarkan agak berpatutan.
Untuk ibu-ibu yang lebih terkehadapan, anak-anak mereka terdedah dengan pelbagai aktiviti tambahan. Bowling, memanah, berenang, kelas muzik, kelas mewarna dan melukis, serta pelbagai lagi aktiviti yang dikatakan boleh meransang minda anak.
Tidak dinafikan, terdapat pelbagai pilihan bentuk pendidikan untuk anak-anak. Semuanya mempunyai pros dan cons yang tersendiri. Kita sebagai ibu seharusnya bijak memilih yang terbaik dan sesuai dengan anak kita, bukan terikut-ikut dengan orang lain.
Kita juga tidak sepatutnya merendah-rendahkan pendidikan yang diterima orang lain. Bukan semua yang sesuai dengan anak kita, sesuai juga untuk orang lain. Memperlekehkan orang lain adalah tanda wujudnya sikap menunjuk dalam diri anda, bukan untuk kebaikan anak.
Bilangan anak sering menjadi isu perdebatan sesama para ibu. Sesetengah ibu berpendapat lebih baik mereka mempunyai bilangan anak yang sedikit supaya mereka boleh memberi semua yang terbaik pada anak mereka.
Jadi, mereka memperlekehkan para ibu yang mempunyai anak ramai kerana kelihatan tidak menang tangan dan kelam kabut menjaga anak mereka serta tidak pandai merancang anak.
Sesetengah ibu lain pula berpendapat anak ramai mendatangkan rezeki. Jadi, mereka memperlekehkan para ibu yang mempunyai anak sedikit kerana tidak subur atau terlalu mementingkan diri sendiri.
Saya mempunyai seorang rakan yang malu untuk mengaku bahawa beliau mengandung kerana khuatir orang akan menganggap beliau dan suami tidak pandai merancang anak. Apabila kandungannya sudah mencecah 6 bulan, barulah beliau terpaksa menyatakan perkara sebenar.
Perkara tersebut tidak seharusnya berlaku pada mana-mana wanita. Anak dalam kandungan seharusnya dihargai dan dibangga, bukan untuk disorok atau perlu berasa malu. Sikap suka berfikiran negatif dan bersangka buruk masyarakat kita menyebabkan berlakunya perkara seperti ini.
Sama ada wanita tersebut tidak dikurniakan rezeki anak, mempunyai anak hanya dua atau 10 sekalipun, ia adalah bergantung pada rezeki dari Allah. Mempersoalkan “mengapa dia tiada anak?”, “mengapa anak dia seorang sahaja?” atau “mengapa ramai sangat anak?”, adalah sama seperti mempersoalkan hukum dan rezeki yang ditetapkan oleh Allah.
Fikir dahulu sebelum mengutarakan soalan. Dikhuatiri, anda boleh melukai perasaan orang lain.
Baru-baru ini, terpampang didada akhbar yang menggalakkan “menghidupkan budaya rotan dalam mendidik pelajar”. Artikel tersebut menerima pelbagai reaksi dari pembaca: kecaman dan sambutan.
Sesetengah ibu berpendapat zaman sekarang tidak sesuai lagi menggunakan kaedah merotan. Namun sebaliknya, ada juga ibu yang berpendapat kaedah mendisiplinkan anak tidak tertakluk pada zaman asalkan kaedah yang digunakan adalah betul. Saya berikan contoh lain.
Kata orang tua-tua, sekiranya anak jatuh dan menangis, kita jangan cepat-cepat berlari dan memujuknya. Kita buat tak tahu sahaja supaya dia tidak mudah menangis. Namun ada doktor psychiatrist berpendapat, cara tersebut tidak patut diamalkan. Menurut beliau, sebagai ibu, kita seharusnya menyelami perasaan anak tersebut dan menyokongnya.
Tidak wajar kita bertelagah tentang kaedah mana yang terbaik. Ada kalanya, cara tersebut sesuai dengan anak kita. Tetapi, tak semestinya cara tersebut sesuai pada anak orang lain. Apa yang penting, kita saling menghormati cara masing-masing dan cuba berikan apa yang terbaik pada keluarga kita.
Mengecam cara orang lain mendidik anak tidak pun boleh membuatkan anak kita menjadi anak yang baik dan soleh secara semulajadi. Jangan kerana sibuk melihat kesalahan orang lain, kita terlupa kesalahan yang dilakukan diri sendiri.
Tajuk ni paling kerap menjadi perdebatan sesama ibu. Ibu suri rumah sering dilihat relax dan tidak banyak kerja. Mereka boleh memberi sepenuh perhatian pada anak-anak. Mereka sering dipandang serong kerana dikatakan tidak mempunyai kehidupan sosial yang lain selain dengan suami dan anak-anak.
Hakikatnya, menjadi suri rumah sepenuh masa mempunyai bebanan tanggungjawab sama seperti ibu yang bekerjaya. Masa mereka sentiasa penuh dengan hal-hal rumah yang tidak pernah berkesudahan. Menjelang petang, mereka sudah terlalu keletihan dari segi mental dan juga fizikal.
Ibu bekerjaya pula sering dilihat seronok kerana tidak terlalu dibebani dengan masalah di rumah. Mereka boleh berbual mesra dengan rakan sepejabat, dan juga mempunyai wang sendiri untuk membeli apa jua barang yang disukai.
Mereka sering dipandang serong kerana tidak mempunyai masa dengan anak-anak dan sibuk mengejar kekayaan. Hakikatnya, ibu bekerjaya juga terbeban dengan dua masalah: hal di rumah dan hal di pejabat.
Jadi, ibu bekerjaya mesti mampu membahagikan masa dengan bijak. Menjelang penghujung hari, sama seperti ibu suri rumah, mereka sudah terlalu keletihan dari segi mental dan juga fizikal.
Usahlah saling menghakimi. Saya yakin, sekiranya diberi pilihan, pasti ibu bekerjaya berharap dapat menjadi suri rumah sepenuh masa. Apakan daya, kedudukan kewangan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan dalam keadaan ekonomi yang serba sesak masa kini.
Saya juga yakin, sekiranya diberi pilihan, pasti ibu suri rumah sepenuh masa berharap dapat mempunyai masa untuk diri sendiri. Mereka pasti berharap sekali sekala boleh keluar dan berbual bersama rakan-rakan serta tidak dibebani dengan hal yang sama hampir setiap hari.
Apakan daya, mungkin kos penjagaan anak di pusat penjagaan tidak mengizinkan mereka berbuat demikian. Ditambah lagi dengan isu penderaan dan buli di pusat penjagaan masa kini yang kian meruncing menyebabkan mereka tidak sanggup membiarkan anak mereka dijaga oleh orang lain.
Walau apa pun pilihan para ibu, mereka pasti mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Sebagai manusia biasa, setiap orang pasti ada melakukan kesilapan.
Sekiranya kita ternampak perkara yang tidak kena dilakukan oleh ibu lain, memadailah memberi pendapat dan menegur secara personal, bukan dengan cara menghukum dan memalukannya dikhalayak ramai.
Ingat, sebagaimana kita tidak suka dihakimi oleh orang lain, kita juga seharusnya tidak melakukan perkara yang sama pada orang lain. Peringatan untuk diri saya juga.
Semoga bermanfaat. Wassalam :)
Kredit gambar: Sarah Wooden, Syafirol Hafiz Arsad, Mareike Ahner