Lumrah menjadi manusia, kita lebih fokus akan perkara yang kita tidak ada berbanding perkara yang kita ada. Begitu juga dalam aspek keibu bapaan. Kita lebih cenderung untuk membandingkan anak kita dengan anak orang lain.

“Kenapa anak saya tidak lancar bercakap macam anak si Timah tu?”
“Macam mana nak buat anak aku mendengar kata macam anak kau, Siti?”
“Apa yang patut saya lakukan bila anak saya mengamuk di kedai jika tidak dapat apa yang diberi?”

Kerap kali, ibu bapa akan menjadi terlalu fokus dalam mendisiplinkan anak mereka – termasuklah saya. Sedangkan hakikatnya, terdapat banyak lagi perkara yang lebih penting dalam mencorakkan budi pekerti anak kita berbanding teknik-teknik untuk mengubah tingkahlaku mereka.

Disini saya kongsikan 6 perkara yang lebih penting berbanding mendisiplinkan anak. Saya percaya, jika kita memperbaiki 6 perkara ini, inshaAllah proses mendisiplinkan anak anda akan menjadi lebih mudah di masa hadapan.

Kerana satu masalah bukan sahaja harus diselesaikan dari aspek luaran semata. Aspek dalaman juga harus diperbaiki.

Disiplin anak

Imej: askmen.com

 

#1 Pendedahan Agama

Pendedahan agama adalah sangat penting dalam mana-mana individu. Secara peribadi saya berpendapat, sekiranya asasnya tidak kukuh, maka sangat sukar untuk mencorakkan perkara lain.

Memberikan ilmu agama pada anak bukan sekadar menghantar mereka ke sekolah agama, atau menjemput ustaz datang mengajar al-Quran pada anak kita.

Semuanya bermula dengan ibu bapa sendiri. Kita dan pasangan hendaklah menjaga solat dan solat berjemaah dengan konsisten. Si bapa pula mestilah kerap bersolat jemaah dimasjid.

Lebih cantik sekiranya anak lelaki diajak menurut serta. Jangan takut sama ada anak anda akan menggangu jemaah lain atau belum lagi pandai bersolat.

 

#2 Hubungan Bersama Anak-anak

Ikatan hubungan ibu bapa dan anak-anak memberi impak yang sangat penting dalam membentuk karekter anak tersebut. Sekiranya anak tersebut membesar dengan penuh hormat, kasih sayang, empati, ehsan dan iman, kita telah meletakkan satu standard kepada mereka.

Hubungan yang baik dengan mereka juga memberi impak yang besar terhadap pengaruh ibu bapa dengan anak-anak. Anak-anak akan lebih mahu mendengar kata dan bekerjasama dengan orang dewasa yang rapat dengan mereka.

Dalam erti kata lain, sekiranya kita membina kepercayaan dan komunikasi yang kuat semenjak anak-anak masih kecil, mereka akan sentiasa mencari kita walaupun mereka sudah membesar.

Ingat, anak-anak bagaikan cerminan diri kita sendiri. Jika kita melayan anak mengikut mood anda semasa mereka masih kecil, jangan berharap untuk mereka melayan anda dengan baik apabila anda sudah berusia kelak.

 

#3 Pandangan Anda Pada Anak

Cuba renung jauh pada muka setiap anak anda. Apa yang anda lihat? Segala yang baiknya, atau segala yang buruknya?

Ketahuilah, tanpa anda sedari, apa yang anda fikirkan pada mereka akan mempengaruhi cara anda melayan mereka. Pemikiran anda juga akan mempengaruhi emosi dan fizikal anda sebagai ibu bapa.

Padangan “Angah di nakal. Susah nak kawal”, akan menyebabkan anda kerap mencari kesalahannya dan cuba memperbetulkannya – setiap masa.

Cuba ubah pemikiran negative anda 360 darjah. Cuba cari kebaikan dari setiap perlakuan anak anda.
Islam juga menggalakkan kita supaya sering bersangka baik dengan orang lain, apatah lagi dengan anak sendiri.

“Angah mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan cergas! Alhamdulillah”

Paling penting, jaga bahasa dan tona suara anda dengan mereka.

Awas! Jangan melabel anak anda dengan label seperti “pemalas”, “bodoh”, “nakal” ataupun “lembap”. Mereka akan mudah melihat diri mereka sepertimana yang anda labelkan sekaligus merendahkan keyakinan diri mereka.

 

#4 Persekitaran Di Rumah

Ingat, anak sentiasa memerhati kita dan belajar darinya. Sekali lagi, anak kita adalah cerminan diri kita.

Mulakan menunjukkan contoh yang baik dengan melayan pasangan anda dengan sebaiknya. Sekiranya anak anda melihat anda dan pasangan mempunyai hubungan yang sangat baik, saling menghormati dan menyokong, tidak mustahil anak-anak akan melayan adik-beradik lain dan rakan-rakan dengan cara yang sama.

Tunjukkan juga contoh yang baik dengan memperbaiki cara kita melayan orang lain. Makcik cleaner, orang gaji dirumah, posmen yang datang menghantar barang, makcik menjual pisang goreng di gerai, pelayan restoran atau sesiapa sahaja.

Pendek kata, untuk memperbaiki tingkah laku anak-anak, mulakan dengan diri sendiri dahulu. Anak-anak pasti akan menyusul kemudian.

 

#5 Pengaruh Rakan-rakan dan Media Sosial

sosial media

Imej:imarsha

 

Anak-anak zaman sekarang pasti tidak akan terlepas dari pengaruh youtube, internet, tv atau apa sahaja. Zaman bermain congkak, batu seremban, tarik upih atau guli sudah lama berlalu. Semestinya cabaran yang mereka hadapi juga berbeza.

Tidak bermakna anda harus menyekat semuanya dari mereka. Cuma anda perlu sentiasa memantau dan berjaga-jaga apa yang anak anda tonton atau lihat. Sedikit sebanyak, ia pasti memberi impak dalam membentuk karekter mereka.

Rakan sebaya mereka juga memainkan peranan penting dalam hidup mereka – lebih-lebih lagi untuk anak-anak yang sedang meningkat dewasa. Kenalpasti rakan-rakan mereka dan cuba mengenali mereka dengan lebih rapat.

Dengan cara ini, anda bukan sahaja tampak cuba berbaik dengan rakan mereka, anda juga boleh memantau sejauh mana mereka mempengaruhi anak-anak anda.

 

#6 Keperluan Asas

Jangan memandang rendah peranan keperluan asas yang cukup dalam membentuk sifat peribadi anak-anak. Anak-anak semestinya wajib dilengkapi dengan nutrisi, tidur dan senaman yang mencukupi.

Ia bukan sahaja penting untuk membentuk karakter mereka, ia juga memberi impak pada kesihatan fizikal dan mental mereka untuk jangka masa yang panjang sekaligus mempengaruhi tingkah laku mereka.

 

Tidak terlambat untuk mengubah tingkah laku anak anda.Bina keyakinan diri anak-anak terlebih dahulu, barulah sibuk memikirkan untuk membina rumah.

Lebihkan menghabiskan masa dengan anak-anak, kurangkan menunding jari mencari kesalahan sesiapa.Banyakkan memeluk, hindarkan membebel. Paling penting, positifkan diri, jauhkan pemikiran yang negatif.

Jika kita sering bersangka baik dengan Allah serta memperbetulkan kembali niat dan hati kita, inshaAllah Allah akan mempermudahkan semua urusan kita.

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.