Telefon pintar telah menjadi sebahagian daripada alat komunikasi yang wajib dimiliki oleh setiap orang hari ini. Dianggarkan, 1.8 billion manusia memiliki dan menggunakan telefon pintar setiap hari.

Menurut hasil dapatan sesetengah kajian, dianggarkan bahawa pengguna telefon pintar melihat skrin sekurang-kurangnya 150 kali sehari.

Jika purata masa setiap kali di skrin adalah 3 minit, maka jumlah purata masa setiap pengguna telefon pintar berinteraksi dengan skrin adalah 450 minit sehari. 450 minit, bersamaan dengan 7 jam setengah, iaitu hampir 1/3 dari 24 jam sehari melihat skrin!

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, terlalu banyak melihat skrin telefon pintar bukan sahaja akan memudaratkan anda, tapi akan merosakkan hubungan anda dengan anak-anak.

phonebluesky-family.com

Berikut adalah 5 sebab mengapa setiap ibu bapa WAJIB menyimpan telefon pintar dan memberi sepenuh tumpuan kepada anak-anak ketika bersama dengan mereka:

#1 Penggunaan telefon pintar oleh ibu bapa secara berlebihan di hadapan anak-anak akan menyebabkan mereka merasa mereka kurang penting.

Seorang penyelidik bernama Steiner-Adair telah menjalankan satu kajian terhadap 1000 orang kanak-kanak yang berusia antara 4-18 tahun. Kajian ini adalah berkenaan dengan pandangan mereka terhadap penggunaan telefon pintar oleh ibu bapa mereka.

Hasil dari kajian tersebut, Steiner-Adair menyatakan bahawa penggunaan telefon pintar secara berlebihan oleh ibu bapa ketika bersama dengan anak-anak akan memberi mesej kepada anak-anak bahawa ibu bapa tidak berminat dengan mereka.

Antara perkataan yang sering keluar dari mulut anak-anak ketika memberi pendapat terhadap penggunaan telefon pintar oleh ibu bapa mereka adalah “marah, sedih, sunyi, bosan dan telefon bodoh.” Sesetengah anak-anak sanggup melemparkan telefon ayah dan ibu mereka dengan sengaja ke dinding, malahan ada yang mencampakkannya ke dalam lubang tandas!

#2 Anak-anak akan sentiasa meragam.

Menurut Dr Jenny Radesky, seorang penyelidik dalam bidang pembangunan kanak-kanak, penggunaan telefon pintar oleh ibu bapa di hadapan anak-anak berpotensi untuk menyebabkan anak-anak sentiasa meragam untuk meminta perhatian.

Dalam sebuah tinjauan yang dilakukan oleh beliau, didapati bahawa anak-anak yang ibu bapanya terlalu asyik menggunakan telefon pintar sentiasa meragam berbanding ibu bapa yang banyak berinteraksi dengan anak-anaknya secara ‘face to face’.

#3 Perkembangan sosial anak-anak akan terbantut.

Anak-anak belajar dari ibu bapa bagaimana untuk berinteraksi dengan orang lain. Mereka belajar melalui mimik muka, melalui bagaimana ibu bapa mereka berbual-bual dan melalui bahasa yang digunakan oleh ibu bapa mereka ketika bersosial.

Jika perkara ini tidak berlaku kerana ibu bapa sering melekat di skrin, anak-anak tidak ada ‘role model’ dalam mempelajari kaedah untuk berinteraksi secara fizikal, sekaligus merencatkan perkembangan dan mungkin akan menyebabkan mereka membesar menjadi seorang yang suka menyendiri.

3 sebab di atas adalah sebab mengapa ibu bapa perlu cuba sedaya upaya untuk tidak menggunakan telefon pintar ketika bersama dengan anak-anak.

Bayangkan bagaimana perasaan anak-anak ketika mereka sedang bercerita dengan kita dengan penuh perasaan tentang perkara penting yang berlaku di sekolah, kita hanya mendengar acuh tak acuh sambil sibuk menjawab mesej dari Whatsapp dan Telegram.

Justeru itu, jangan marahkan anak-anak bila mereka membesar dan sering buat acuh tak acuh terhadap arahan ibu bapa, perkara ini telah dipelajarinya lama dulu dari ayah dan ibunya yang sentiasa meletakkannya no 2 di belakang telefon pintar.

“What you give, you get back!”

Penulis: Hisham Sharif

Merupakan hamba, anak, ayah dan seorang suami. Merupakan penulis "Suami Bukan Malaikat Isteri Bukan Bidadari"," 43 Inspirasi Mendidik Anak" dan "Begini, Sayang". Beliau boleh dihubungi di websitenya

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.