Melawat orang sakit adalah salah satu daripada amalan murni yang telah diamalkan sejak zaman nenek moyang kita lagi. Malah sebagai orang islam, menziarahi orang sakit adalah sangat dituntut oleh agama kita. Di antara hadith yang menganjurkan umat islam untuk menziarahi orang sakit adalah seperti berikut:

“Perumpamaan orang-orang Islam di dalam berkasih sayang dan bersaudara adalah seperti tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya mengadu kesakitan maka anggota-anggota lain juga akan ikut merasakan panasnya dan tidak tidur malam.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

“Hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada lima iaitu menjawab salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazahnya ke perkuburan, menerima undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)​

Namun begitu terdapat beberapa adab yang perlu kita jaga semasa menziarahi pesakit. Adalah sangat penting untuk kita menjaga adab tersebut agar niat baik kita untuk menziarah tidak berakhir dengan perasaan yang tidak enak pada sesebelah pihak. Jom kami amalkan tips ziarah orang sakit yang perlu kita ambil kira sebelum menziarah saudara-mara atau sahabat handai.

1. Maklumkan bila anda mahu datang dan minta izin untuk datang melawat

Perkara pertama yang perlu anda lakukan sebelum menziarahi pesakit ialah untuk memaklumkan kepada pesakit dan penjaganya bila anda ingin datang melawat dan minta izin daripada mereka. Katakan anda ingin datang melawat pada keesokan hari, jangan lupa untuk maklumkan pukul berapa anda dijangka sampai. Dan jangan lupa untuk bertanya sekiranya pesakit dan penjaga senang dengan kedatangan anda.

Ini kerana, ada masanya waktu yang kita pilih untuk bertandang mungkin kurang sesuai bagi pesakit dan penjaganya, sebagai contoh waktu tersebut ialah waktu untuk makan ubat, waktu untuk mandi, atau juga waktu untuk doktor meronda memeriksa pesakit. Memaklumkan dan meminta izin dari pesakit dan penjaganya adalah salah satu adab menziarahi pesakit yang diambil ringan oleh orang kita.

2. Pilih waktu melawat yang sesuai

Ini juga adalah tips ziarah orang sakit yang tak kurang pentingnya. Sila pilih waktu melawat yang sesuai agar tidak mengganggu pesakit yang memerlukan tidur dan rehat yang banyak. Seeloknya elakkan daripada menziarahi pada awal pagi atau lewat malam di mana kebiasaannya waktu tersebut orang tidak bersedia untuk menerima pelawat.

Elakkan juga untuk menziarah pada waktu masuk solat fardhu kerana biasanya pada waktu itu orang sedang bersiap-siap untuk menunaikan kewajipan solat. Cara yang terbaik? Tanya kepada pesakit dan penjaganya bila waktu yang paling sesuai untuk anda datang melawat.

3. Bawa buah tangan tanda ingatan

Sudah menjadi kebiasaan orang kita untuk membawa buah tangan sebagai tanda ingatan semasa menziarahi orang sakit. Ianya bukanlah satu kewajipan namun ia menjadi kebiasaan kerana kita ingin menghiburkan hati sahabat atau saudara yang sedang sakit. Biasanya orang sakit akan bersedih dan berduka-cita.

Apabila kita melawat dan membawa buah tangan, sedikit sebanyak kita akan membantu untuk menggembirakan hatinya. Di antara buah tangan yang biasa diberikan ialah buah-buahan dan bunga. Namun tak salah kalau anda memberikan sedikit wang dengan niat untuk bersedekah.

ziarah orang sakit

Sumber: Harapanrakyat

4. Jangan datang terlalu ramai

Tips menziarah orang sakit yang seterusnya ialah jangan datang terlalu ramai kerana ia akan membuatkan suasana menjadi sesak dan membuatkan pesakit berasa kurang selesa. Bayangkan jika pesakit terlantar di dalam bilik wad yang sempit, dan anda pula datang melawat bersama segerombolan manusia, pastinya bilik akan menjadi sesak malah tak selesa untuk anda yang melawat.

5. Jaga pertuturan

Semasa melawat orang sakit, sila jaga pertuturan. Elakkan daripada berbangga menceritakan tentang kesihatan diri anda dan jangan sesekali berbicara tentang perkara yang boleh mengguris hati pesakit seperti bercerita tentang kenalan yang mengidap sakit yang sama namun telah meninggal dunia. Elakkan daripada bersembang tentang perkara sensitif.

Sebaliknya ajak pesakit bersembang tentang perkara yang baik dan manis yang boleh membuatkannya tersenyum dan terlupa tentang sakit yang sedang dialami. Jadikan kedatangan anda sebagai sesuatu yang dihargai.

6. Jangan melawat terlalu lama

Apabila melawat pesakit, mungkin anda tidak sedar yang anda sudah berada di sana untuk tempoh masa yang terlalu lama. Yelah, bila dah bersembang anda boleh lupa diri hingga tak sedar dah berjam-jam anda melawat. Oleh itu, tips ziarah orang sakit yang seterusnya yang ingin kami kongsikan ialah pastikan anda tidak melawat terlalu lama.

Ini kerana pesakit mungkin perlu dimandikan, perlu diberikan makan ubat. Malah mungkin juga pesakit sedang menahan diri daripada tertidur sambil melayan anda akibat pengambilan ubat. Kita juga mungkin tidak tahu yang pesakit berasa tidak selesa untuk duduk terlalu lama melayan anda.

Bukan sahaja pesakit, kita juga perlu memikirkan penjaganya yang juga mempunyai keperluan sendiri. Oleh itu, jadilah seorang manusia yang bertimbang-rasa dan tidak duduk terlalu lama semasa menziarah.

7. Doakan yang baik-baik buat pesakit

ziarah orang sakit

Sumber: Al-Ustaz

Akhir sekali, jangan lupa untuk mendoakan yang baik-baik buat pesakit. Doakan agar Allah sembuhkan sakitnya. Minta agar Allah ampunkan dosa-dosanya dan semoga kesakitan yang dialami akan mengangkat darjatnya di sisi Allah. Percayalah bahawa apabila kita mendoakan saudara sesame islam, para malaikat akan mendoakan kita semula.

Itulah dia info tentang tips ziarah orang sakit yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang adab ziarah kubur, adab dengan guru, dan adab berkomunikasi dengan orang tua.

Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.