isteri hamilwanwma.com

Saat bila kita lihat isteri bermuram kerana tak sihat atau tak larat kerana mengandung ataupun berpenat sepanjang hari di rumah. Kerana Allah kita khidmat isteri dan ahli keluarga kita.

Ucapkan betapa cinta dan sayang kita kepadanya. Wahai isteriku betapa abang mencintaimu kerana Allah. Menyayangimu kerana Allah. Tiada yang mencampakkan rasa cinta dan rindu ini selain Allah.

Ia satu kepuasan yang Allah beri bila berpenat dan berpeluh kerana Allah. Sampai rumah kita bantu hantar dan ambil anak sekolah. Mandikan anak-anak dan bantu siapkan anak pergi sekolah.

Kita buangkan sampah di dapur. Gantikan plastik sampah. Cucikan pinggan dan cawan. Sebenarnya kita sedang membersihkan hati kita sendiri. Bantu mopkan lantai rumah. Sapukan rumah. Kemaskan beg sekolah dan mainan anak-anak.

Kita picit dan urutkan isteri kita kerana Allah. Sambil puji kebaikan dan kecantikannya. Betapa mencintainya kerana Allah. Menghargai pengorbanannya kepada kita. Korban melahirkan dan mengandung lagi kerana Allah.

Sekali sekala masak menu yang kita pandai. Masak, hidang, kemas dan suapkan isteri. Makan sedulang berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Makan alas saprah. Duduk di bawah sebaiknya.

Kemudian kemas makanan dan bersihkan anak-anak. Siap-siapkan anak-anak untuk solat. Pakaikan dengan pakaian yang bersih dan wangi untuk solat.

Baca Dan Ceritakan Tentang Nabi dan Sahabat

Sebaik kita pulang dari masjid baca Hadis Nabi saw dengan ajak isteri, anak anak dan keluarga. Mula baca hadis Nabi saw dengan kemuliaan. Memakai pakaian sempurna,wangi-wangian, dan senyuman. Baca ditempat tetap dan sebaiknya waktu yang tetap. Baca hadis 3 kali. Baca dengan jelas satu persatu. Gilirkan membaca.

Selepas itu cerita sifat sahabat rhum. Kisah Nabi dan sahabat. Buat halkah tajwid. Hafal surah dan gilir-gilir baca. Dengar bacaan semua ahli keluarga. Sediakan anak-anak untuk jadi daie Allah

Tidurkan anak-anak. Baca doa. Cium dan ajar anak doa tidur..baca doa tidur. Ucapkan sayang pada anak-anak.

Setelah buat semua itu solat sunat taubat 2 rakaat dan witir. Minta ampun pada Allah. Ya Allah inilah amanah keluarga yang kau letak dibahuku. Tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan dan kuasa Mu ya Allah.

Menangislah Pada Allah

Malam-malam menangis pada Allah. Menangis di depan Allah pada waktu malam saat paling dinantikan seorang hamba yang merindui tuhannya. Setelah menangis di depan Allah, kita akan kuat dalam perjuangan Islam ini dengan kasih sayang dan doa.

Kadang-kadang hidup ini bukan soal apa yang kita belum dapat dari sesiapapun atau apapun yang kita nak. Tapi sebenarnya rahsia hidup ini terlalu indah yakni Allah sayangkan kita dan dia nak kita semua bahagia, gembira, berjaya dunia dan masuk dalam syurga paling tinggi.

Kerana itu dia beri Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna. Islamlah gaya hidup, pemikiran, hati, percakapan, maka pasti kita bahagia dan berjaya. Terima kasih Allah

Penulis: Ebit Lew

Ustaz Ebit Lew merupakan penceramah bebas dalam mengenai hubungan rumah tangga. Beliau seorang yang rajin berkongsi tips keharmonian rumah tangga di Facebooknya dan ceramahnya boleh didengari di TransformJiwa

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.