Tips ubah penampilan selekeh, anda nak tahu? Penampilan serabai sehingga membuatkan anda kurang keyakinan diri? Kawan-kawan juga menjauhkan diri dan sering dijadikan bahan gurauan. Malahan, tiada lelaki atau wanita yang tertarik dengan anda. Maknanya anda perlukan bantuan segera.

Ia bukan masalah yang besar sebenarnya. Semuanya bermula dengan diri anda sendiri untuk mengubah personaliti. Jika anda sendiri tak nak berubah, siapa yang dapat membantu anda bukan? Orang yang ada penampilan selekeh juga pasti akan membuatkan orang lain tidak tertarik untuk mendekati anda.

Jika anda hendak menghadiri temuduga kerja dengan penampilan sebegini, pastinya anda bukanlah calon pilihan. Kebanyakan syarikat memilih bakal pekerja yang mempunyai personaliti yang menarik, kemas dan nampak berwibawa. Jadi, anda kena baca tips ubah penampilan selekeh.

Maksud Penampilan Selekeh

Ada beberapa ciri yang menunjukkan penampilan anda nampak selekeh dan kurang menarik, iaitu:

  • Rambut, jambang dan misai yang tidak terurus bagi lelaki.
  • Wanita yang tidak mengikat rambut dengan kemas dan membiarkannya mengurai lepas.
  • Memakai tudung asal boleh.
  • Pakaian yang tidak bergosok, koyak sana sini dan nampak terlalu lusuh.
  • Bau badan yang menyengat.
  • Kulit wajah kusam dan tidak terjaga.

Justeru, dalam artikel ini penulis akan kongsikan tips mudah bagi mengubah penampilan selekeh menjadi lebih bergaya. Jom baca tips ubah penampilan selekeh.

Tips Ubah Penampilan Selekeh

1. Kemaskan diri

Bagi lelaki, pertama sekali ialah potong rambut dengan pendek dan kemas. Jika anda sukakan rambut panjang, pastikan ia tidak melebihi paras tengkuk. Kalau lebih panjang, pastikan sentiasa ikatnya dengan kemas. Jangan lupa trim janggut dan misai.

Bagi wanita yang memakai tudung, kerap tukar tudung. Jangan memakai tudung yang tak dibasuh berulang kali. Sesekali tukar juga gaya fesyen tudung agar nampak lebih bergaya. Bagi yang tidak memakai tudung pula, ikat rambut sekiranya panjang. Jangan biarkan rambut panjang nampak kusut-masai.

2. Kerap segarkan diri

Salah satu sebab penampilan selekeh ia apabila anda jarang membersihkan diri. Ada orang yang selesa memakai baju yang sama dari pagi sehinggalah waktu tidur. Baju yang kotor dibiarkan saja tanpa menukarnya. Bukankah ia akan mencacatkan penampilan? Mandi dan tukar baju yang bersih sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kali sehari.

3. Memakai minyak wangi

Setelah mandi, sembur sedikit minyak wangi ke tubuh. Selain berbau segar, anda juga pasti akan lebih berkeyakinan apabila berdepan dengan orang lain. Jika anda mempunyai masalah bau badan, boleh gunakan deodoran yang sesuai. Boleh juga cuba petua-petua tradisional untuk mengatasinya.

 4. Berpakaian kemas

Anda tak perlu beli baju yang mahal-mahal untuk nampak menarik. Anda boleh membeli baju di bundle, baju terpakai di online atau baju murah-murah di kedai pakaian. Pilih baju yang sesuai dengan saiz badan. Jangan terlalu ketat atau besar.

tips ubah penampilan selekeh

 Imej via Bidadari

Jangan lupa gosok baju apabila menghadiri majlis keramaian dan sebagainya. Jangan malas pula sehingga sanggup pakai baju kedut seribu. Pilih gabungan tudung yang sesuai bagi wanita. Kemaskan pemakaian tudung dan anda boleh cuba gaya-gaya terkini.

5. Jaga kulit wajah

Tak kira lelaki atau wanita, penjagaan kulit muka adalah sesuatu yang penting untuk membuat penampilan anda menarik. Jika anda berkulit gelap, tidak perlu memakai produk timbang kilo untuk mencerahkan wajah bak artis Korea. Bersyukur dengan apa yang ada.

Apa yang perlu anda buat ialah amalkan rutin wajib seperti membersihkan muka, memakai pelembap, serum, mask dan sebagainya. Jika ada masalah kulit, segera dapatkan rawatan di pusat kecantikan atau pakar kulit.

Jangan membazir wang mencuba pelbagai produk kosmetik atau minuman kecantikan yang berbahaya. Anda hanya perlukan sedikit usaha untuk menjaga kulit wajah. Jika rajin menjaganya, wajah akan nampak lebih mulus dan tidak lagi kusam.

6. Mengenakan solekan nipis

Bagi wanita yang mempunyai parut jerawat yang ketara, kulit kusam dan masalah kulit yang tidak serius, anda boleh memakai solekan. Selain dapat menyembunyikan kekurangan pada kulit, wajah juga akan nampak lebih berseri.

Anda tak perlu memakai berlapis-lapis bedak kerana dikhuatiri akan merosakkan lagi kulit wajah. Cukuplah sekadar untuk menambahkan seri wajah. Jangan lupa calit sedikit gincu. Cubalah pasti anda nampak lain!

7. Jaga berat badan

Faktor berat badan juga menyumbang kepada masalah penampilan selekeh. Penulis tak bermaksud orang yang berbadan besar nampak selekeh. Bukan! Ada juga orang berbadan besar lebih kemas dan bergaya daripada orang yang berbadan kurus.

Apa yang ingin disampaikan ialah jika anda mempunyai badan yang besar, cuba untuk kuruskan badan. Paling penting kesihatan anda terjaga. Namun, jika anda masih tak berjaya kuruskan badan, tak apa. Cuba lagi. Anda masih boleh nampak kemas dan menarik dengan pemilihan pakaian dari segi fabrik, corak dan design.

8. Jauhi tabiat merokok

Orang yang kuat merokok akan meninggalkan kesan pada dirinya. Kulit nampak kering dan berkedut, gigi kekuningan, bibir dan gusi kehitaman. Malahan, bau pernafasan juga akan mengganggu orang sekeliling.

Hentikan tabiat yang merugikan diri sendiri ini. Ia bukan saja mencacatkan penampilan, malahan kesihatan anda dan orang sekeliling juga terancam. Tabiat ini menjadi faktor penyumbang penampilan yang selekeh.

9. Sentiasa berkeyakinan

Anda perlu sentiasa yakin dengan diri sendiri. Setelah mencuba semua tips di atas, anda pasti akan merasai perubahan kepada diri dan orang lain. Jangan berasa rendah diri dan kecewa dengan kekurangan diri.

Apabila anda nampak kemas dan bergaya, pasti orang lain juga akan selesa untuk berkawan dengan anda. Yang paling penting berubah dan jangan ulangi tabiat yang lama. Ingat, nak nampak kemas dan bergaya anda tak perlu belanja mahal-mahal. Cukup anda ada semangat nak berubah dan kekal berdisiplin.

Sampai di sini saja perkongsian penulis tentang tips ubah penampilan selekeh. Jangan jauhkan diri daripada orang yang berpenampilan selekeh. Cuba nasihatkan mereka untuk berubah. Dengan kata-kata yang baik, pasti hati mereka akan lembut untuk berubah.

Jika ada kawan atau adik-beradik yang berpenampilan selekeh, anda boleh menghadiahkan mereka baju atau minyak wangi. Jangan sisihkan mereka kerana mereka mungkin memerlukan sokongan kita semua.

Jangan lupa baca tentang tips badan sentiasa wangi dan petua berhenti merokok yang pasti berjaya. Semoga bermanfaat.

Rujukan

How To Stay Looking Clean All Day Long: 10 Steps (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.