Tugasan buat pertama kalinya menjadi ibu bapa agak mencabar. Ibu bapa yang tiada pengalaman akan berasa agak sukar untuk meguruskan bayi yang baru lahir. Bermula daripada bayi baru lahir sehingga bayi menjadi besar.
Bayi yang baru lahir juga mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan dunia nyata. Sebelum ini, mereka duduk di dalam perut ibu yang hangat. Selepas dilahirkan mereka perlu menyesuaikan diri dengan angin luar.
Tetapi tempoh untuk menyesuaikan diri dengan dunia nyata tidak mengambil masa yang lama. Kita boleh lihat perbezaannya apabila bayi mencecah umur 1 bulan.
Mari kami kongsikan info sebenar mengenai perbezaan tingkah laku bayi apabila mencecah umur 1 bulan. Info ini dikongsikan oleh Dr Aimi. Beliau bekerja di klinik Taqwa di Bangi. Klinik Taqwa sesuai dengan setiap golongan bermula seawal dari dalam rahim. Terutama sekali untuk para wanita yang hamil dan ingin membuat pemeriksaan perut.
Tumbesaran dan perkembangan bayi dalam tempoh 1 bulan sebenarnya agak pesat! Mari kita lihat apa yang sepatutnya dicapai oleh bayi 1 bulan.
Sekiranya berat bayi anda turun 10% dari berat lahir pada 10 hari pertama, ia sebenarnya masih normal. Namun sekiranya berat bayi naik, dan terus naik, ia juga adalah normal, dan sangat memberangsangkan.
Berat bayi untuk 1 bulan pertama seharusnya naik sekurang-kurangnya 400g daripada berat lahir. Tinggi bayi pula akan meningkat antara 2-2.5cm daripada tinggi lahir.
Dalam usia 1 bulan, penglihatan bayi sudah semakin jelas. Bayi biasanya akan mula focus pada wajah dalam jarak yang dekat. Ibu yang menyusukan anak boleh senyum dan bercakap dengan bayi, lihatlah riak wajah bayi yang mendengar dan usahanya untuk focus.
Bayi mungkin mula mengikut wajah anda sekiranya anda bergerak sewaktu mata bayi sedang focus pada anda. Selain itu bayi selalunya akan terpesona dengan cahaya, itu kerana cahaya yang paling jelas dan terang di matanya buat masa sekarang.
Dalam usia ini, bayi sudah lebih kuat menggerakkan ototnya sendiri. Boleh lihat pergerakan kaki yang lebih terkawal dan lehernya yang kuat. Sekiranya anda letakkan bayi dalam posisi meniarap, bayi akan cuba mengangkat lehernya.
Tangan bayi juga akan lebih banyak digerakkan ke atas dan pelbagai arah, berbanding sewaktu baru lahir di mana tangannya lebih banyak diposisikan dekat pada wajah / badan.
Bayi menangis dengan sebab yang berbeza-beza. Lapar, mengantuk, lampin basah, kembung; semuanya bayi akan menangis, namun sebenarnya tangisan setiap satu adalah berbeza. Anda mungkin sudah boleh bezakan gaya tangisannya dalam usia ini.
Bayi sudah mengenali suara ibu, bapa, adik beradik, dan keluarganya sejak dari dalam perut lagi. Anda boleh bercakap dan agah bayi, dan perhatikan respon darinya. Secara perlahan-lahan bayi akan mula memberikan respon seperti membalas senyuman dan ketawa. Ini selalunya dalam usia bayi 6 minggu ke atas.
Sekiranya ada masalah dalam tumbesaran bayi, haruslah diperiksa keberkesanan penyusuan ibu. Lekapan dan posisi penyusan yang betul seharusnya diajar pada setiap ibu yang menyusu.
Bayi juga harus diperiksa untuk melihat sekiranya ada masalah dari bayi sendiri yang menyebabkan dirinya tidak boleh menyusu dengan optimal, antaranya adalah ‘tongue tie’. Sekiranya bayi menyusu botol, haruslah dibimbing cara penyediaan susu yang betul dan kebersihan yang perlu dititikberatkan.
Perhatikan warna, konsistensi dan kekerapan bayi buang air besar. Informasi ini penting pada doktor untuk menentukan sama ada bayi dapat susu yang cukup, ataupun terdapat masalah lain seperti prolonged jaundice disebabkan masalah hati.
Bayi baru lahir selalu mengalami masalah kembung terutamanya waktu petang menjelang malam (Maghrib). Sekiranya anak muntah yang terlalu banyak selepas menyusu, boleh jadi juga disebabkan oleh kembung tadi.
Keadaan perut yang tidak selesa menyebabkan anak berterusan ingin menyusu sehingga menyebabkan ‘overfeeding’, akhirnya membuatkan anak muntah dengan banyak.
Untuk kurangkan kembung, boleh lakukan teknik urutan yang betul, pastikan bayi disendawakan selepas menyusu, tidurkan bayi dalam posisi meniarap (dengan pengawasan), dan ibu juga boleh perhatikan sekiranya bayi sensitive dengan pemakanan dari ibu sendiri.
Prolonged jaundice adalah kuning setelah usia bayi 2 minggu. Biasanya doktor akan mencadangkan ibu bapa supaya anak dilakukan pemeriksaan darah dan air kencing untuk memastikan bayi tidak mempunyai masalah serious seperti masalah hati, hormone, jantung, jangkitan kuman, dan lain-lain.
Namun sekiranya semua adalah normal, jangan risau, selalunya kuning adalah disebabkan susu ibu itu sendiri (sekiranya anak menyusu badan). Tak perlu hentikan susu ibu, teruskan lah penyusuan seperti biasa. Biasanya pada usia 1 bulan kuning akan semakin menghilang. Ada yang ambil masa sehingga dekat 2 bulan sehingga mata putih bayi tidak lagi kuning. Itu adalah normal dan tak perlu tukar pada susu formula.
Tempat suntikan BCG biasanya aktif dalam tempoh 1 bulan ini. Jangan risau, ia tidak ada jangkitan. Merah, panas dan sedikit kuning itu adalah tanda yang suntikan itu ‘jadi’. Namun sekiranya ada benjolan pada ketiak bayi pada sebelah kiri, dan tempat suntikan kelihatan bernanah, serta bayi ada demam, bawa lah ke doktor untuk diperiksa.
Perhatikan sekiranya bayi mempunyai masalah kulit kering, merah atau mengelupas dalam tempoh ini. Pakailah produk kulit yang lembut dan bebas bahan kimia buat kulit bayi.
Bayi sukakan pelukan dan kehangatan dari badan. Dan untuk bapa pula, masa inilah anda digalakkan peluk bayi anda. Si ibu sudah 9 bulan membawa bayi ke sana ke mari. Pelukan akan berikan bayi rasa selamat dan akan membantu emosi dan mental bayi untuk sihat dan positif. InsyaAllah bayi akan menjadi lebih yakin dan membina kepercayaan dirinya untuk masa hadapan.
Luangkan masa untuk bercakap dengan bayi. Ini akan merangsang perkembangan otaknya.
Anda boleh ambil masa sedikit selepas bayi mandi untuk mengurutnya. Picit lembut pada tangan, kaki, belakang, telinga, dan perut bayi. Sentuhan anda adalah terapi buat bayi. selain itu ia boleh membantu menguatkan otot bayi.
Kerana waktu dan detik ini tidak akan berulang kembali.
*Jika kita lihat perkembangan bayi dalam masa 1 bulan ini, banyak perbezaannya. Daripada tidak banyak nangis menjadi kuat menangis kerana lapar atau tidak selesa. Mereka juga memerlukan susu yang agak banyak berbanding pada mula dilahirkan.
Detik-detik ini perlu diingat dan rasa kerana ia adalah detik paling bahagia dalam kehidupan seorang ibu bapa. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang disayangi.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.