Dalam inbox, saya menerima beberapa pertanyaan. Orangnya berbeza, tapi soalannya sama: “macamana nak dapatkan semula semangat yang hilang?”

  • Sedang buat Ph.D, ‘momentum’ rajin bertukar malas kerana susahnya nak siapkan kajian.
  • Sudah 4 semester di universiti buat degree, semangat tidak setinggi pertama kali jejak langkah ke universiti.
  • Ada juga ibu yang entah kenapa tiba-tiba merasa hidup tidak bersemangat.
  • Ada yang hilang semangat kerana kehilangan orang tersayang.

Betul, saya akui. ‘Semangat’ ni penting, macam nadi kehidupan. Tapi ia sukar untuk dikekalkan.

Semasa saya buat Ph.D, saya juga melalui fasa yang sama. Boleh bayangkan tak, setahun pertama sudahlah tiada hasil. Yang paling berat, hujung tahun pertama itu juga saya kehilangan orang yang akan call saya tiap-tiap hari, yang akan gelak bila saya berceloteh, yang akan masakkan lauk kegemaran saya, tuam-picit-bagi ubat bila saya sakit.

Emak saya, orang yang paling sayang saya tanpa belah bagi. Emak dipanggil Ilahi saat saya berhempas pulas, menemui jalan buntu. Pada saat saya sarat mengandung anak sulung.

On top of that, visa saya dibatalkan pihak kerajaan NZ kerana melahirkan anak sehingga 5 bulan saya stuck di Malaysia. Semuanya berlaku tiba-tiba, pada masa yang sama. Ya Allah, Tuhan saja yang tahu perasaan waktu itu.

Tahun berikutnya, Tuhan menjemput seorang lagi orang yang saya sayang. Abah mentua saya, orang yang belikan saya ‘Bubble Tea’ betul-betul lepas saya cerita yang saya gemar minuman itu. Tau-tau saja tengahari itu abah bawa pulang air Bubble tea.

Bukan mudah, kehilangan dua orang tersayang ketika anda sedang bertungkus lumus dengan sesuatu yang sangat memeningkan kepala.

Tambah sukar apabila bumi Christchurch dilanda gempa bumi kuat hingga mengorbankan ratusan orang. Universiti tutup. Perpustakaan, makmal semua tutup. Setiap hari berjaga-jaga, takut gempa berlaku lagi.

Semangat saya? Ya Allah, Tuhan saja yang tahu. Saya pernah ‘terduduk’ tak tahu nak buat apa melainkan bangun awal pagi dan menangis tiap-tiap malam berdoa kepada Allah.

Saya macam dah tak tahu nak proceed macamana lagi dah, hanya mampu menangis di hadapanNya. Macam seorang anak kecil yang menangis mencari emaknya saat semua terasa asing.

Waktu itu, saya ingat lagi. Saya janji kat Allah. Yang saya nak jadi manusia lebih bermanfaat bila saya dah bergelar seorang ‘Dr’.

Saya kata

“Ya Allah, tolonglah hambaMu ini, kerana aku ingin menyumbang dengan lebih banyak selepas ini. Tolonglah aku menyelesaikan urusan ini agar dapat aku melakukan misi ku yang seterusnya.”

Dalam hati saya semat satu azam: saya ingin menyumbang yang terbaik kepada anak-anak murid, kepada masyarakat apabila tamat belajar. Tuhan dah tolong saya, saya mesti tolong orang lain. Saya set misi hidup saya, mengharapkan pertolongan Tuhan.

Ya Allah, saya tak tipu. Tuhan beri saya jalan keluar satu persatu. Tapi janji saya dengan Tuhan, sampai sekarang saya ingat. Sebab itu di kalangan anak-anak murid, saya beriya buat free motivational talk, bagi free tutorial, organize club untuk buat aktiviti amal bersama mereka.

Dan yang paling menggembirakan saya ialah apabila hampir setiap hari, pintu office saya diketuk dan Tuhan datangkan rahmat: anak-anak murid yang ingin dibantu. Saya tidak akan lokek spend masa untuk memberi semangat kepada mereka, bantu mereka hidup bermisi, lebih kenal Tuhan.

Sebab itu janji saya. Dan sebab saya faham, Tuhan akan bantu saya bila saya bantu orang lain. Setiap hari, ada saja magik saya terima dari Tuhan. Dan alhamdulillah, setiap hari hidup saya penuh dengan motivasi.

Di sinilah saya ingin kongsikan. Yang sebenarnya setiap dari kita Tuhan jadikan sempurna, manusia hebat. Setiap orang boleh hidup penuh makna, kekal bersemangat, setiap hari penuh inspirasi jika kita ada MISI hidup.

Ia satu jawapan kepada persoalan ‘kenapa aku mesti siapkan juga Ph.D ini no matter what’ ‘kenapa mesti susah payah baca buku parenting, pergi seminar pada hujung minggu sedangkan itulah waktu rehat kita’ ‘kenapa mesti siapkan juga projek ilmiah ni walau ribut taufan melanda’

Kenapa?

Siapa orang yang ingin anda bantu? Siapa orang yang ingin anda bahagiakan dengan melakukannya? Dengan cara apa kita ingin menjemput ‘blessing’ dari Tuhan?

Saya selalu katakan kepada anak didik, “jika anda ada misi hidup, awak takkan kisah untuk tidur pukul 4 pagi, bangun semula pukul 6 pagi sebab awak ada misi yang perlu dicapai”

Masalahnya kebanyakkan kita tidak ada misi hidup. Masuk universiti sebab orang lain masuk universiti. Sebab itu bila orang lain ponteng kuliah, kita pun ponteng kuliah. Hidup melalui rutin yang sama setiap hari, pergi kerja balik kerja. Hidup terasa hambar dan bosan. Hilang semangat.

life-goalslaserspinewellness.com

Ayuh kita cari misi hidup kita. Dan bantu anak-anak kita untuk cari misi hidup mereka. Di sini saya berikan 3 perkara penting berkenaan misi hidup:

#1 Misi hidup perlu mempunyai dua elemen penting

Iaitu siapa yang akan dibantu, dan apa yang akan dibantu atau bagaimana caranya. Ia juga perlu jelas dan spesifik.

#2 Misi hidup mestilah sesuatu yang memberi kesan mendalam kepada emosi kita

Yang kalau kita teringat saja misi ini sudah cukup mampu untuk menyentuh perasaan kita dan memberikan motivasi dan semangat yang tinggi untuk berjuang mencapai misi tersebut.

#3 Misi hidup tersebut perlulah dikaitkan dengan tujuan hidup yang sebenar iaitu mendapatkan redha Allah.

Dalam ebook saya, saya ceritakan semuanya secara lebih terperinci. Juga bagaimana menanam misi hidup dalam diri anak-anak kecik kita. Biar mereka membesar, setiap hari bersemangat dan hidup penuh makna.

Saya percaya, setiap orang yang Allah jadikan..sesiapa pun dia..punya misi hidup masing-masing. Tugas kita untuk mencarinya dan lihat bagaimana hidup sentiasa kekal bersemangat..kerana kita dalam satu perjalanan untuk mencapai satu misi. Dan Tuhan Maha Mengetahui.

Pernah saya katakan pada seorang anak didik “kalaupun ajal kita sampai awal sedang misi belum tercapai, don’t worry. All this while, Tuhan tahu yang kita berusaha ke arah itu. Bukankah Tuhan melihat pada usaha dan niat kita?”

Walaupun ada dugaan dan halangan yang datang, ia tidak akan terus ‘menghantui’ kita. Kerana kita masih punya misi untuk dicapai. Moga-moga dengan misi ini, Allah yang Maha Penyayang sudi memberi kita kesudahan yang baik. Insha Allah di syurga nanti, kita bertemu semua insan-insan tersayang yang sudah meninggalkan kita.

Saya doakan semoga Tuhan memberi kita semua motivasi, semangat yang tinggi dalam hidup ini. Jika ada kebaikan dari penulisan kecil ini, mohon sebarkan. Saya percaya ramai orang di luar sana yang hidup tanpa bermisi.

Moga-moga ada manfaat yang mereka boleh dapat dengan izin dan hidayah Tuhan, Allahumma Amiin.

Penulis: Dr Siti Ujila

Merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal danPembinaan, UPM. Minat berkongsi cerita-cerita motivasi dan memberi inspirasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.