Topik perbincangan kali ni ialah berkaitan dengan tayar kereta. Kalau tanya pemandu lelaki, rata-rata mereka lebih arif bab-bab kereta berbanding pemandu wanita. Bukan mengecilkan kemampuan kaum wanita, namun lelaki lebih cekap menguruskan kenderaan.

Jadi, dalam artikel ni, penulis akan berkongsi 10 tips tentang tayar kereta yang wanita perlu tahu. Moga dengan perkongsian ni, anda akan dapat sedikit pengetahuan tentang cara menguruskan tayar kereta.

Jika ada masalah pada tayar kereta, sekurang-kurangnya anda tahu cara untuk menanganinya. Malah, ada di antara tips yang dikongsikan ni, mungkin pemandu lelaki pun tak pernah tahu.

Ini merupakan langkah keselamatan yang boleh diambil supaya anda menjadi seorang pemandu yang berhemah. Pasti ramai wanita yang menyangka tayar kereta hanya perlu digantikan bila bunganya sudah haus. Oleh itu, mereka memandang ringan aspek-aspek yang penting yang lain. Silap tu!

tips tayar

Imej via Bidadari

Jom semak tips tayar kereta yang anda semua perlu ambil tahu.

Periksa bunga tayar

Setiap tayar kereta mempunyai corak yang timbul sebagai medium untuk mencengkam permukaan jalan. Selain itu, bunga tayar yang juga dikenali sebagai thread mempunyai tanda aras untuk mengukur tahap kerosakannya.

Jika bunga tayar sudah makin haus dan melebihi hadnya, itu petanda anda perlu menggantikan tayar kereta yang baru. Jika anda terus menggunakannya, kereta boleh terbabas. Yang paling teruk boleh mengakibatkan kereta terbalik apabila tayar meletup.

Periksa tekanan angin

Tayar kereta perlu diperiksa dengan kerap atau sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tekanan angin mencukupi. Pastikan tayar kereta tak terlalu kempis dan tak terlampau keras.

Jika angin kurang, ia akan menyebabkan tayar menjadi lembik. Akibatnya pemanduan menjadi tak stabil dan mudah terbabas. Jika tekanan angin terlampau tinggi akan menyebabkan tayar menjadi keras. Jika nasib tak baik, tayar boleh meletup.

Pastikan tiada benjolan

Kadangkala, tayar kereta yang baru dibeli mungkin mengalami masalah pada permukaan seperti timbulnya benjolan. Ini disebabkan oleh tayar tersebut menghampiri tempoh tarikh luput atau kesilapan dalam pembuatan (manufacturing defect).

Benjolan akan menyebabkan pemanduan tak lancar dan akan menyebabkan gegaran. Selain akan merosakkan kereta anda, nyawa anda juga dalam bahaya. Oleh itu, pastikan tayar kereta yang dibeli tak luput tarikh, rata dan tak terkopek permukaannya.

Pastikan tayar belum tamat tempoh

Jika anda menukar tayar kereta, pastikan tayar tersebut dihasilkan pada tahun sama tayar hendak ditukar. Jika anda membeli tayar lama, jangka hayat tayar tersebut tak akan lama.

Bagaimana cara nak mengetahui bila tayar kereta yang ingin ditukar itu dihasilkan? Misalnya pada bahagian tarikh keluaran (manufacturing date) dinyatakan nombor 0106. Nombor ini menunjukkan tayar ini telah dihasilkan pada minggu ke-1 pada tahun 2006.

Pastikan tayar tiada lorekan palsu

Jika anda membeli tayar terpakai (second hand), pastikan bunga tayarnya asli seperti yang dihasilkan oleh kilang. Kadangkala, ada penjual tayar yang membuat lorekan palsu seakan-akan bunga tayar masih tebal.

Lagi tebal bunga tayar tu, harganya lagi mahal. Oleh itu, para penjual mengambil kesempatan dengan membuat lorekan sendiri secara manual. Bagaimana cara nak kenal pasti? Lorekan yang terhasil tak kemas seperti yang dibuat menggunakan mesin.

Tayar kereta yang dilorek melebihi had akan menyebabkan tayar menjadi nipis. Dikhuatiri hal ni akan menyebabkan tayar meletup secara tiba-tiba. Jangan lupa belek-belek tayar terpakai yang nak dibeli.

Pemilihan saiz tayar

Seperti pemandu lelaki, ada juga wanita yang sukakan sport rim yang besar-besar. Yelah, kereta akan nampak lebih cantik dan sporty. Jika anda menggunakan sport rim yang besar, pastikan tayarnya juga tebal.

Malahan, penggunaan sport rim yang lebih besar iaitu misalnya daripada 14 inci kepada 15 inci boleh memberi impak pada kereta anda. Secara tak langsung, tayar kereta anda juga terjejas. Ini kerana ia akan memberi kesan pada spesifikasi asalnya.

Tukar kedudukan tayar

Mungkin ada di antara kita yang tak tahu, sangat digalakkan untuk kita menukar kedudukan tayar kereta setiap tiga bulan sekali. Bagaimana caranya? Misalnya tayar bahagian belakang (kiri) ditukar di bahagian hadapan (kanan) dan sebaliknya.

Tujuannya supaya anda dapat mengimbangi keadaan tayar dan mengurangkan risiko tahap kerosakan pada setiap bahagian tayar.

Lakukan alignment dan balancing tayar

Setiap 3000 hingga 5000 kilometer perjalanan kereta yang anda pandu, jangan lupa lakukan alignment kereta. Namun, jika anda sudah merasakan kereta dah tak seimbang ketika memandu, segera lakukan alignment kereta.

Jika anda membuat alignment, biasanya balancing turut dilakukan sekali oleh mekanik kereta. Alignment ini penting kerana dua buah tayar kereta di bahagian depan akan diselaraskan supaya lurus semasa memandu. Tayar belakang pula sama lurus dengan tayar depan supaya serentak ketika dipandu.

Kemampuan had laju

Macam satu keseronokan pula apabila memandu laju di atas jalan raya. Namun, ramai yang tak tahu bahawa bukan semua kereta boleh dipandu laju seperti jet pejuang. Tahap kelajuan yang boleh dibawa oleh setiap kereta tak sama sebenarnya.

Jadi jangan terkejut, kalau anda bawa laju bukan saja minyak kereta cepat habis tapi juga tayar kereta cepat rosak.

Kemampuan had bebanan

Bukan mudah untuk kita mengagak beban muatan di dalam kereta. Itulah sebabnya ramai yang mengabaikan kemampuan had bebanan kereta. Malah, mungkin juga ramai yang tak tahu.

Setiap kereta mempunyai had bebanan yang tak sama. Jika kereta kecil, tak mungkin kita boleh membawa muatan secara berlebihan. Kesannya bukan saja pada tayar tetapi juga pada kereta itu sendiri.

Kesimpulan

Diharapkan artikel ni membuka mata pemandu wanita tentang kepentingan dan tips menjaga tayar. Pandu kereta saja tak cukup, anda perlu mengambil tahu tentang setiap bahagian di dalam kereta anda terutamanya tayar.

Tak perlu menjadi pakar macam mekanik. Cukuplah anda mempunyai sedikit pengetahuan tentang tayar dari aspek penjagaan dan keselamatan. Ia sangat membantu ketika dalam kecemasan dan untuk mengelak diri ditipu. Yang paling penting, keselamatan anda dan penumpang juga terpelihara.

Jemput juga baca artikel tentang suplemen untuk ibu hamil dan kolagen terbaik

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.