Artikel ini akan membawa dimensi pemikiran anda menjangkaui jauh daripada yang biasa. Berkongsi tips menjadi lebih positif. Pemikiran positif yang baru ini bermula dengan dua soalan yang sangat mudah. Soalan yang pertama ialah: “Bagaimana setiap kejadian yang menimpa saya boleh menjadikan saya lebih baik daripada sebelum ini?”.
Fikirkan secara mendalam terhadap soalan ini supaya anda dapat memberikan jawapan yang lebih jujur dan tulus. Soalan yang kedua sedikit sukar kerana perlukan kejujuran sepenuhnya daripada anda untuk menjawabnya. Soalan tersebut ialah: “Mampukah saya menerima kejadian tersebut dengan hati yang terbuka?”
Cari masa untuk duduk berseorangan ditempat yang tenang dan mulalah bermeditasi. Bercakap dengan diri anda sendiri, “setiap perkara yang berlaku kepada saya pasti ada sebabnya dan Tuhan bukan suka-suka memberikan ujian ini kepada saya, pasti ada sesuatu yang baik disebalik semua ujian ini”. Bayangkan seseorang memberitahu anda bahawa “setiap perkara yang berlaku, walaupun ia menyakitkan dan menyukarkan, akhirnya akan memberi kebahagiaan dipenghujung nanti”. Cuba anda bayangkan perasaan anda tentang ‘berita baik’ tersebut? Gembira? Kemungkinan besar anda akan menjadi lebih ceria dan bersemangat akhirnya.
Ia sebenarnya suatu teknik motivasi untuk diri sendiri. Anda bercakap mengenai perkara-perkara positif kepada diri anda sendiri supaya anda lebih yakin untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Bayangkan jika anda mendengar ‘berita baik’ ini setiap hari. Sudah pasti ia akan mengurangkan beban perasaan yang anda alami sebelum ini. Ia akan membantu anda untuk berfikir dan bertindak secara lebih matang apabila sesuatu yang tidak baik menimpa diri anda. Ia menjadikan diri anda lebih bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran dan rintangan dalam hidup. Jika anda masih ragu-ragu untuk berfikiran positif ketika musibah melanda, ambil masa seketika untuk kosongkan fikiran anda dan bermeditasi mengenainya sekali lagi.
Anda pastinya biasa mendengar ayat ini diucapkan, “lakukan yang terbaik” yang mana membawa maksud kita haruslah buat sesuatu itu dengan penuh komited. Tetapi pemikiran yang kita bincangkan ini bukanlah berkait terus dengan ayat tersebut. Pemikiran ini sebenarnya ingin mengajar anda memahami bahawa terdapat perkara atau kejadian yang lebih buruk boleh terjadi berbanding apa yang anda sedang alami kini. Jadi ia ingin membantu anda merasakan diri anda masih lagi bernasib baik walaupun ditimpa sesuatu musibah.
Jadi, ketika anda ditimpa sesuatu dan anda ingin mula bermeditasi, fikirkan tentang ‘berita baik’ tersebut dan tanya kepada diri anda bukankah saya sebenarnya agak bernasib baik? Jika anda boleh mengaplikasikan teknik pemikiran ini, anda pasti akan dapat menangani sebarang musibah yang menimpa diri anda dengan tenang. Anda akhirnya akan dapat memahami bahawa sesuatu perkara yang berlaku itu ada sebabnya.
Bila sesuatu perkara merungsingkan pemikiran anda, ambil masa untuk bermeditasi sebentar untuk fikirkan perkara-perkara positif yang anda bakal kecapi daripada sesuatu kejadian tersebut. Ia akan membantu anda untuk mengatur langkah yang betul dan membuat keputusan yang terbaik. Mengamalkan meditasi sebenarnya lebih baik daripada mengambil ubat-ubatan dan anda pasti akan terkejut betapa ia sebenarnya dapat membantu diri anda.
Kredit gambar: Leonard John Matthews