Barang Yang Wajib Dibawa Bersama Ke Hospital Untuk Bersalin
Makin dekat dengan tarikh bersalin, makin berdebar-debar hati dibuatnya. Bermacam-macam perasaan. Rasa tak sabar nak menimang cahayamata yang baru, tak…

Nota: artikel ini mungkin mengandungi pautan afiliasi. Bidadari.my mungkin memperoleh komisen kecil tanpa kos tambahan kepada anda.
Makin dekat dengan tarikh bersalin, makin berdebar-debar hati dibuatnya. Bermacam-macam perasaan. Rasa tak sabar nak menimang cahayamata yang baru, tak sabar nak bertentangan mata untuk kali pertama, tak sabar untuk peluk cium anak yang dikandung dalam perut selama 9 bulan 10 hari. Dalam masa yang sama rasa risau kalau ada kelengkapan yang belum sedia, terutamanya beg untuk ke hospital. Nak tak kalau kami kongsikan checklist barang yang perlu dibawa bersama semasa ke hospital? Lepas ni bila tiba masa untuk anda kemas beg hospital, cuma perlu rujuk senarai yang kami sediakan dibawah. Beg hospital anda perlu diisi dengan kelengkapan untuk ibu & bayi. Jangan lupa kelengkapan untuk si ayah sekali kalau anda & suami merancang untuk tinggal di wad bersama.
Kelengkapan ibu:
1. Buku antenatal
Ini adalah benda yang paling penting. Jangan sampai tertinggal. Buku antenatal mengandungi semua rekod & data penting anda & bayi sepanjang tempoh kehamilan. Ia juga mengandungi segala catatan doktor termasuk info penting seandainya ada mempunyai risiko komplikasi semasa bersalin.
2. Kad pengenalan atau passport
Bawa kad pengenalan anda. Jika anda bukan seorang warganegara, jangan lupa bawa passport.
3. Surat jaminan atau Guarantee Letter
Jika anda bakal menggunakan surat jaminan, pastikan ianya sudah sedia & dimasukkan sekali ke dalam beg hospital. Letakkan di poket tepi supaya tidak kemek atau terkoyak.
4. Telekung sembahyang
Anda masih wajib bersolat selagi anda belum bersalin. Apa yang menyedihkan, ramai ibu yang sedang menunggu waktu bersalin di hospital tidak bersolat.

Sumber Gambar: Faqar
5. Surah Yassin
Surah Yassin boleh dijadikan sebagai peneman anda semasa menahan sakit bersalin. Baca & fahami maksud ayat-ayat suci yang terkandung didalamnya. Waktu tidur, boleh letakkan surah Yassin disisi bantal.
6. Maternity pad
Ianya sangat penting. Anda perlu memakai maternity pad sebaik sahaja berlaku pendarahan atau air ketuban mula bocor. Nanti selepas selamat bersalin, anda akan terus memakai maternity pad sehingga darah nifas & wiladah kering.
7. Bakul makanan
Jangan lupa bawa bakul makanan sebagai bekal semasa anda sedang menunggu masa untuk bersalin & selepas melahirkan. Bakul makanan boleh diisi dengan:
- Air zam-zam
- Air selusuh
- Kurma
- Biskut
- Air masak
- Termos air panas
- Minuman 3 in 1

Sumber Gambar: Syazfida
8. Baju lengan panjang
Jika anda bersalin di hospital kerajaan, anda akan dipakaian pakaian pesakit. Namun jika anda bersalin di hospital swasta, anda akan memakai pakaian sendiri. Bawa sekurang-kurangnya 5 helai baju lengan panjang. Anggaran 5 helai adalah untuk kegunaan dari proses sebelum bersalin sehingga keluar dari wad. Mengapa baju lengan panjang? Supaya aurat anda terpelihara & mengelakkan kesejukan.
9. Baju sejuk
Bersedia dengan baju sejuk. Pakai jika terasa terlalu sejuk, terutamanya selepas bersalin bagi mengelakkan bentan.
10. Kain batik atau skirt
Elakkan memakai seluar selepas bersalin. Kain batik atau skirt adalah yang terbaik & selesa untuk anda. Bawa sekurang-kurangnya 5 helai.
11. Nursing bra
Anda akan menyusukan bayi sebaik sahaja bayi dilahirkan. Pemakaian nursing bra akan memudahkan proses penyusuaan. 3 helai sudah memadai.
12. Nursing pad
Biasanya ibu yang baru melahirkan akan mengalami bengkak susu, dan susu akan menitis sentiasa. Pemakaian nursing pad mencegah daripada masalah baju yang basah disebabkan susu.

Sumber Gambar: Amazon
13. Seluar dalam pakai buang
Lupakan seluar dalam yang ada dalam almari baju. Beli seluar dalam pakai buang. Lepas guna terus masukkan ke dalam tong sampah. Lebih-lebih lagi jika anda bersalin secara pembedahan, pemakaian seluar dalam biasa boleh menyakitkan.
14. Selipar atau sandal
Pastikan anda bawa selipar atau sandal untuk memudahkan anda bergerak, terutamanya ke tandas. Pastikan selipar anda mempunyai bunga yang elok & tidak licin bagi mengelakkan anda tergelincir semada berada di dalam tandas.
15. Tudung sarung
Aurat wajib dijaga semasa berada di hospital. Tudung sarung adalah lebih sesuai berbandung shawl yang perlu dililit.
16. Stokin
Jangan sesekali lupa untuk memakai stoking terutama sekali selepas anda melahirkan. Pemakaian stoking membantu mengelakkan anda kesejukan supaya tak terkena sakit urat, demam atau pun bentan. Ia juga menghalang angin dari masuk ke dalam badan.
17. Getah ikat rambut
Selepas bersalin, ikat rambut anda dengan ketat & tinggi supaya mengelakkan angin masuk ke dalam badan. Ia juga membantu mengelakkan anda terkena sakit kepala.
18. Tuala mandi
Tuala mandi tidak disediakan di hospital. Anda perlu membawa sendiri dari rumah.
19. Minyak panas
Sapukan minyak panas untuk memanaskan badan selepas bersalin. Sapukan ke perut ( elakkan luka pembedahan ), leher, belakang telinga, betis, dan tapak kaki. Ianya membantu perjalanan darah & menghilangkan sakit-sakit badan akibat proses bersalin yang panjang.
20. Alatan mandian & persiapan diri
Jangan lupa untuk bawa sabun, syampu, ubat gigi, berus gigi, sikat, bedak dan sebagainya.
21. Pengecas handphone & power bank
Anda memerlukan handphone untuk terus berhubung dengan orang yang tersayang. Jangan lupa bawa pengecas & power bank supaya handphone anda tidak kehabisan bateri.

Sumber Gambar: Liputan6
22. Pakaian untuk pulang ke rumah
Jangan lupa untuk sediakan pakaian untuk hari penting iaitu kepulangan anda ke rumah bersama orang baru.
Kelengkapan bayi:
1. Pakaian bayi
- 3 pasang baju
- 3 helai bedung
- Minyak panas & krim ruam
- 3 helai barut
- 3 pasang stokin kaki & tangan
- 1 helai topi
2. Lampin pakai buang
Bawa sekurang-kurangnya 10 helai lampin pakai buang.
3. Tisu basah ( wet wipes )
Jangan lupa bawa tisu basah untuk menukar lampin bayi.
4. Tuala mandi
Tuala mandi untuk sikecil jangan dilupa. Basuh dulu sebelum digunakan.
5. Tuala kecil
Sediakan tuala kecil untuk dibuat lap.
6. Baju untuk pulang ke rumah
Sediakan baju yang paling comel untuk bayi anda pakai sewaktu pulang ke rumah.

Sumber Gambar: PuanKutu
Itulah dia checklist senarai barang yang perlu anda sediakan untuk dibawa bersama ke hospital semasa bersalin. Semoga perkongsian kami pada kali ini membantu anda. Jangan lupa save artikel ini untuk panduan anda semasa mengemas beg hospital.