Ramai di kalangan kita yang akan terkena cagu kuku kaki. Apabila sudah terkena, memang sakit yang teramat sakit. Sampaikan kerja kita semua tergendala akibat kuku kaki sakit.
Cagu kuku kaki atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Ingrown toenail atau Onychocryptosis. Ia juga ada yang susah sembuh malahan ada pesakit yang menderita sakit cagu ini bertahun-tahun lamanya. Jika terkena, kaki juga amat susah untuk digerakkan dan solat pula pasti terganggu kerana jika tersentuh pasti sakit tak terkata.
Lebih menyeksakan sekiranya kaki kita terlanggar apa saja seperti objek keras dengan tidak sengaja dan sakitnya memang boleh buat kita menangis dan menjerit kesakitan. Dalam keadaan seperti untuk memakai stokin atau memakai kasut juga sangat sakit silap haribulan kuku kaki boleh bernanah dan berdarah.
Bagaimana kita mahu mengelakkan daripada terkena cagu kuku ini?
Mari kami kongsikan info sebenar mengenai cara elakkan terkena cagu kuku di kaki. Info ini dikongsikan oleh Dr. Kamarul Ariffin. Beliau adalah seorang pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Selain itu, beliau juga merupakan antara barisan doktor di sebalik Medikal Mythbusters Malaysia.
Sebelum itu, mari kita lihat tanda-tanda kita terkena cagu kuku. Berikut adalah tanda-tandanya :
1. Isi di sisi kuku jari kaki mengalami keradangan. Contoh, sakit, bengkak, merah dan panas bila disentuh.
2. Jika kuku pada jari yang sakit itu kelihatan kelabu, dan berubah bentuk, ia tanda kuku itu ada jangkitan kulat. Jangkitan kulat adalah risiko mendapat cagu.
3. Isi di sisi kuku bernanah dan busuk. Ini tandanya isi (tisu) di sekitar cagu itu telah dijangkiti kuman. Jika cagu bernanah, and perlu segera berjumpa doktor.
1. Potong kuku terlalu pendek dan membulat di hujungnya menambah risiko terkena cagu. Potongan begitu menyebabkan sisi kuku tumbuh mencengkam isi tepi jari.
2. Kasut yang terlalu ketat atau tirus boleh mengakibatkan sisi kuku menekan tisu di tepi jari. Jika keadaan ini berpanjangan mengakibatkan keradangan pada tisu itu.
3. Trauma (kecederaan) berulang kali pada jari kaki. Ini berkaitan dengan kerja atau aktiviti seseorang. Contohnya pada pemain bola sepak, pendaki gunung,
4. Jangkitan kulat pada kuku boleh menjadikan kuku berubah bentuk, dan boleh menyebabkan kuku tumbuh ke arah isi di tepi jari.
5. Jangkitan kuman pada isi(tisu) di sisi kuku, mengakibatkan tisu itu mengalami keradangan dan adakalanya bernanah.
1. Rendam dan cuci kuku dengan air suam 2 kali sehari. Namun, penghidap kencing manis disarankan agar berhati-hati prosedur ini. Pastikan air suam, bukan panas.
2. Splint (penyendal) boleh diletakkan di bawah kuku yang ada cagu. Boleh guna gauze sebagai penyendal. Ia akan beri masa kuku tumbuh melepasi tisu yang keradangan.
3. Ubat tahan sakit dan anti-keradangan. Agar pesakit lebih selesa menjalani aktiviti harian, ubat tahan sakit diberi. Contoh: mefenemic acid.
4. Antibiotik. Jika doktor dapati ada tanda-tanda jangkitan kuman, antibiotik sapuan atau tablet akan diberi untuk membunuh kuman.
5. Antifungal. Jika doktor dapati ada tanda-tanda jangkitan kulat di kuku, ubat antifungal jenis sapuan(topikal) akan diberi untuk rawat jangkitan kulat.
6. Pembedahan. Jika semua rawatan di atas masih tidak berhasil, pembedahan akan dilakukan. Keseluruhan kuku atau sebahagian kuku yang terlibat akan dibuang.
Cara yang betul adalah potongan lurus di hujungnya dan tidak terlalu pendek. Semak gambar.
Pilih kasut yang mempunyai kotak jari (toe box) yang luas. Jika bekerja di kawasan berisiko kemalangan, pakai but keselamatan. Jika bersukan, pakai kasut sukan.
Basuh kaki sebersihnya setiap kali mandi. Pastikan tiada kekotoran berada di bawah kuku. Elakkan ulang-pakai sarung kaki yang tidak dibasuh.
*Jagalah kebersihan kuku kaki anda agar tidak terkena cagu kuku. Jangan tunggu sehingga terkena baru sedar dan menyesal. Waktu itu, baru kita tahu betapa pentingnya menjaga kebersihan kaki. Selalu tukar sarung kaki dan jika boleh basuh kasut untuk mengelakkan bau yang busuk. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.