Apakah penyakit HFMD? Penyakit HFMD merupakan singkatan bagi penyakit tangan, kaki dan mulut. Ia disebabkan oleh enterovirus [Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71)].

Jadi, di sini kami kongsikan tip cegah penyakit HFMD dari Dr Afiq Rahim untuk pembacaan anda. Secara umum, penyakit ini mudah menjangkiti bayi dan kanak-kanak berumur kurang dari 5 tahun.

Ini kerana, mereka belum lagi mempunyai perlindungan atau imuniti terhadap enterovirus. Namun, didapati kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa juga boleh dijangkiti HFMD.

Bahayakah Penyakit HFMD ini?

Semalam viral seorang kanak-kanak di Sarawak dilaporkan telah meninggal dunia akibat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Hasil siasatan pihak KKM mendapati, kanak-kanak berusia 2 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru yang teruk (severe pneumonia) dan bukan berpunca akibat jangkitan HFMD walaupun pesakit mempunyai penyakit tersebut pada masa yang sama.

Penyakit HFMD kebiasaannya akan sembuh dengan sendirinya. Namun sekiranya dibiarkan, kanak-kanak yang menderita akibat HFMD akan mengalami dehidrasi air dan komplikasi yang lain.

Berikut adalah beberapa tips yang berguna terutama ibubapa untuk mencegah penyakit HFMD ini.

Bagaimanakah Penyakit HFMD Boleh Dicegah Daripada Menjangkiti Anak-Anak?

1) Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.


  • Para ibubapa, pengusaha taska dan semua pihan secara umumnya disarankan mengamalkan tabiat membasuh tangan pada setiap masa terutama selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

  • Penyakit HFMD kebiasaannya merebak melalui jangkitan cecair (air liur / cecari pada lepuh) atau najis pesakit ke atas permukaan badan dan persekitaraan kita.

  • Oleh itu, tabiat membasuh tangan menggunakan air bersih pada setiap masa dapat mengelakkan jangkitan virus HFMD kepada anak-anak kita.

2) Tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin.

  • Galakkan anak-anak dan pesakit HFMD untuk menutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin.

  • Ini memastikan cecair air liur yang tercemar dengan virus tidak merebak kepada orang di sekeliling kita.

3) Elakkan berkongsi barangan peribadi dengan pesakit HFMD

  • Elakkan anak-anak anda daripada berkongsi barang-barang peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu samada di rumah mahupun di taska bagi mengelakkan terjadinya jangkitan virus HFMD.

  • Asingkan barang-barang peribadi milik pesakit HFMD dengan kanak-kanak yang sihat untuk mengurangkan risiko jangkitan virus.

4) Sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya.

  • Pastikan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya sentiasa terjaga dan dikemas rapi.

  • Kawasan yang sentiasa bersih akan mengurangkan risiko jangkitan HFMD.

5) Bersihkan peralatan yang telah tercemar dengan air liur kanak-kanak yang dijangkiti HFMD.

  • Sekiranya jangkitan virus HFMD telah berlaku kepada anak anda, ibubapa dan pengurusan pusat asuhan dinasihatkan agar membasuh semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, lantai, dan apa sahaja ruang permukaan yang telah atau boleh disentuh oleh kanak-kanak dengan bahan pencuci.

  • Ini memastikan virus yang berada di permukaan dapat dikawal segera.

6) Bawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau simptom jangkitan.

  • Sekirannya anak anda mempunyai tanda-tanda jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) seperti ulser di tekak dan mulut, ruam dan lepuh di tapak tangan, kaki, lutut dan kawasan lampin, demam serta hilang selera makan, segera bawa berjumpa dengan doktor di klinik berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

7) Elakkan anak-anak yang dijangkiti dengan HFMD ke tempat awam

  • Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain-lain untuk mengelakkan terjadinya penyebaran virus HFMD kepada orang awam lain terutama kanak-kanak kecil.

8) Ibubapa digalakkan mengambil Cuti untuk menjaga anak-anak mereka yang dijangkiti penyakit HFMD

  • Ibu bapa kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala jangkitan, disaran untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah.

  • Ini bagi memastikan tiada berlakunya jangkitan virus kepada kanak-kanak lain di pusat asuhan mereka sekaligun mengelakkan berlakunya wabak HFMD di taska tersebut.

  • Kanak-kanak yang sakit harus dibawa ke klinik untuk rawatan.

9. Berikan Diet Yang Seimbang Kepada Anak Anda

  • Berikan diet pemakanan seimbang dengan diutamakan sayur dan buah-buahan untuk tumbesaran mereka dan ketahanan daya antibodi mereka.

  • Kekuatan daya ketahanan badan anak-anak anda amat penting untuk mengelakkan daripada berlakunya jangkitan kuman / virus.

  • Berikan anak-anak anda, supplemen vitamin yang dapat meningkatkan daya ketahanan badan seperti Vitamin C.

10. Dapatkan Tidur atau Rehat Secukupnya

  • Pastikan anak-anak anda mendapat rehat dan tidur secukupnya terutama jika mereka jatuh sakit.

  • Rehat yang mencukupi dan berkualiti amat membantu dalam proses penyembuhan atau dalam proses membina daya ketahanan badan mereka untuk melawan jangkitan kuman.

Rujukan: Klik di sini

*

*Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis. Untuk post asal penulis, boleh rujuk di sini.

Penulis: Dr Afiq Rahim

Dr Afiq Rahim merupakan seorang pegawai perubatan dan penulis buku yang rajin berkongsi tips kesihatan di status sosial media terutamanya di Facebook dan Twitter. Mula berbakti di tanah air sebaik sahaja tamat pengajian di Kolej DiRaja Pembedahan Ireland (RCSI).

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.