Kuman: Kawan Atau Lawan?

Anti bakteria di sana sini. Takut kepada kuman menjadikan kita benci dan takut segala jenis kuman yang secara fitrahnya mungkin mempunyai fungsi menyihatkan badan. Mungkin strategi untuk kita lebih sihat patut mengambil kira kepentingan kuman komensal penghuni asal badan kita.

 

Kuman Kawan Yang Patut Kita Kenali

KumanImej via geralt

1) Kuman perut membantu pencernaan, berfungsi sebagai sistem pertahanan badan penting dan mengawal pelbagai fungsi agen pemancar saraf (neurotransmitter) badan. Agen ini penting dalam pelbagai fungsi badan termasuk mood, respon badan, kawalan stres, aktiviti automatik badan seperti pergerakan usus dan sebagainya.

Penggunaan antibiotik perlu indikasi kritikal kerana ia bukan sahaja membunuh kuman baik, malah merosakkan lapisan dan hidupan sistem pencernaan. Elakkan mengambilnya tanpa preskripsi doktor perubatan.

Appendiks dikatakan tiada fungsi sejak sekian lama. Kajian tahun 2007 dan 2017 juga menunjukkan appendiks mungkin berfungsi sebagai simpanan kuman baik @ “reservoir”. Di samping itu, apendiks juga penting dalam mengimbangi sistem imuniti badan.

2) Kuman telinga terkandung dalam lilin cerumen (tahi telinga) memerangkap dan membunuh kuman patogenik. Begitu juga di hidung mukus dan pergerakan bulu hidung melindung daripada jangkitan kuman.

3) Kuman mulut membantu penghasilan nitrik oksida yang mengembangkan salur serta melancarkan perjalanan darah. Luis Ignarro yang menjumpai nitric oxide ini memenangi hadiah nobel perubatan pada tahun 1998. Paras optimum nitrik oksida ini mampu mencegah dan mungkin merawat penyakit jantung dan salur darah.

Penggunaan ubat kumur antikuman adakah saintifik? Mungkinkah ia mengganggu keseimbangan flora dalam mulut kita? Wallahua’lam.

4) Kuman pada kulit mengawal pH kulit dengan merembeskan asid lactic. Antikuman pada kulit juga berfungsi secara optimum pada pH berasid. Jika bunuh kuman baik dengan sabun, lebih mudah sebenarnya kulit terkena jangkitan kuman terutama di bahagian celahan.

5) Kuman pada faraj wanita mengandungi kuman lactobasilus yang berfungsi mencegah jangkitan kulat keputihan seperti kulat candida dan juga kuman penyebab penyakit “kencing kotor”.

Merosakkan keseimbangan keasidan faraj menjadi lebih daripada pH 4.5 menggunakan sabun/cecair yang bersifat alkali menyebabkan kuman asal lactobasilus ini menjadi lemah. Maka kulat dan bakteria akan mengambil alih. Apatah lagi jika sabun/jamu/bahan kimia yang anda gunakan mengandungi pengganggu hormon xenoestrogen.

Banyak kajian menunjukkan bahan mimik hormon estrogen ini meningkatkan pembiakan kulat jenis candida ini. Sebab itu wanita datang bulan ataupun wanita mengandung senang mengalami masalah keputihan.

Kuman badan mempunyai banyak fungsi isyarat arahan atau “signaling” dalam badan yang penting untuk fungsi badan yang sihat. Kuman juga mampu mengubah ekspresi genetik sama ada jadi lebih sihat..ataupun mungkin bermutasi menjadi penyakit kronik, kanser dan sebagainya.

Mekanisma ini masih lagi dalam kajian dan banyak lagi yang belum kita ketahui. Apa yang pasti, keseimbangan hidupan “makhluk halus” ini amat penting dijaga supaya tidak mendatangkan penyakit.

Kita harus yakini ialah ciptaan Tuhan itu tidaklah sia-sia.. pasti ada hikmahnya terutama bagi mereka yang berfikir. Wallahua’lam.

Penulis: Dr Hafiz Sulaiman

Merupakan seorang doktor perubatan yang juga dikenali sebagai pejuang kesihatan. Rajin berkongsikan tentang info yang menarik tentang kesihatan di Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.