Buat guru-guru, sudah pasti setiap tahun anda akan merancang program lawatan sambil belajar bersama dengan para pelajar. Program lawatan seperti ini sangat bagus dalam membantu memberi pengalaman dan menambah ilmu pengetahuan yang berbeza dengan apa yang diajar di dalam bilik darjah.
Tahukah anda terdapat pelbagai tempat yang menarik boleh dilawati di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor tanpa memerlukan kos perbelanjaan yang besar?. Jom kita lihat senarai lokasi menarik di bawah untuk merancang lawatan para pelajar anda pada tahun ini.
Bawa pelajar anda merasai suasana kampung dengan melawati Kg. Sg. Hj. Dorani yang terletak di daerah Sg Besar, Selangor. Bukan sahaja ada homestay yang bercirikan kampung di sini, malah pelbagai aktiviti kampung turut disediakan untuk para pengunjung yang ingin mencubanya seperti menampi padi, menggagau ikan, mandi palong di bendang.
Para pelajar juga akan berpeluang untuk melawat pelbagai kilang IKS yang terdapat di sana seperti Kilang Nata D’ Coco, Minyak Kelapa Dara, Kerepek dan Baulu. Mereka akan dapat melihat secara langsung bagaimana setiap produk IKS ini dihasilkan.
Pengalaman yang berharga ini terutamanya buat para pelajar yang tinggal di bandar pasti akan memberi kenangan dan memori manis buat mereka. Jom lihat pakej yang ditawarkan oleh Syarikat Dorani Homestay Resouces untuk sesiapa yang ingin membuat lawatan ke sini.
Lebih kurang sama konsepnya dengan lawatan ke Kg. Hj. Dorani, Kg. Sg. Sireh juga memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai suasana kampung dan melihat sendiri cara kehidupan orang kampung.
Jika para pelajar datang melawat ke sini, sudah pasti mereka akan merasai pengalaman yang berbeza daripada kehidupan seharian mereka. Melihat sawah padi, belajar cara memproses padi dan sebagainya.
Lokasinya terletak di Bestari Jaya, Selangor. Mempunyai kawasan yang sangat luas dengan pelbagai daya tarikan yang menanti para pengunjungnya. Para pelawat akan dibawa menaiki tram untuk menikmati kawasan sekeliling dengan pelbagai aktiviti menarik.
Antara aktiviti yang sesuai untuk pakej lawatan sekolah ialah:
Pengunjung juga akan berpeluang untuk merasai pelbagai jenis buah tempatan antaranya nangka, belimbing, jambu batu serta merasai kenikmatan meminum air kelapa yang sangat segar yang disediakan di sana.
Para guru boleh membawa para pelajar merasai pengalaman sendiri membuat pizza di setiap cawangan Domino’s Pizza yang berdekatan. Program ini adalah salah satu bahagian di dalam Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat mereka.
Pengalaman mengadun doh pizza, meletak topping di atas pizza sendiri dan membakarnya di dalam ketuhar industri yang berganda besar daripada ketuhar biasa di rumah, sudah pasti memberi pengalaman yang mengujakan buat pelajar.
Sushi King juga mempunyai Educational Programme mereka sendiri untuk pelajar sekolah jika ingin membuat lawatan ke stor mereka. Program yang dibangunkan memberi peluang kepada pelajar membuat beberapa jenis sushi yang mudah secara hands on.
Antara kandungan program yang dibangunkan oleh pihak Sushi King ialah:
Boleh hubungi Customer Service Sushi King untuk tempahan program seperti ini ya.
Kilang Roti Gardenia telah lama mengalukan masyarakat untuk mengadakan lawatan ke kilang mereka. Bukan hanya terhad kepada lawatan sekolah sahaja, malah terbuka kepada orang awam. Mereka mengajak masyarakat untuk melihat secara lebih dekat bagaimana pemprosesan roti kegemaran rakyat Malaysia sejak dahulu lagi.
Kilang yang terletak di Seksyen 26 Shah Alam ini merupakan kilang roti yang terbesar dan termoden di Asia Tenggara. Dengan kelengkapan yang moden dan canggih sudah tentu kilang Gardenia ini sangat sesuai dijadikan salah satu destinasi lawatan para pelajar untuk melihat pelbagai kelengkapan mesin yang digunakan dalam pemprosesan roti.
Kilang ini turut dilengkapi auditorium, bilik jamuan dan laluan khas untuk melihat terus ke bahagian produksi. Sebarang pertanyaan, anda boleh terus menghubungi 03-5542 3228 sambungan ke 161 atau 166.
Untuk melawat ke Kilang Vitagen, anda perlulah membuat permohonan 3 bulan lebih awal sebelum tarikh lawatan untuk dihantar ke pihak pengurusan. Tiada sebarang lawatan walk in atau pembelian terus dari kilang untuk produk-produk yang dihasilkan.
Namun begitu, jika anda berpeluang ke sini pasti dapat menimba ilmu pengetahuan yang baru tentang bagaimana produk vitagen dihasilkan yang menjadi kegemaran ramai terutamanya kanak-kanak.
Para pengunjung akan diberi taklimat awal oleh pegawai yang terlibat tentang syarikat dan seterusnya akan dibawa melawat sekitar kilang untuk melihat bahagian produksi. Di akhir lawatan, sudah pasti pihak syarikat akan menyediakan pelbagai cfcenderahati buat pengunjung. Mesti penuh beg!
Lokasinya hanya terletak berdekatan dengan Pusat Bandar Kota Damansara. Namun, pasti ramai yang tidak perasan akan kewujudannya kerana bangunannya berada di dalam kawasan industri perkilangan.
Pengunjung akan dibawa menerokai sejarah awal pembuatan coklat apabila masuk ke dalam muzium ini serta beberapa peralatan dan mesin yang digunakan dalam pemprosesan coklat mengikut peredaran zaman.
Apa yang menarik jika membawa para pelajar ke sini ialah pihak muzium akan mengadakan demostrasi membuat coklat secara live buat pengunjung. Selesai demostrasi, sudah pasti pengunjung akan dapat merasai coklat yang dihasilkan. Pasti sedap!.
Lokasinya berdekatan dengan Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. Mudah diakses kerana terletak di tengah ibu kota. Apa yang menarik disini, para pengunjung berpeluang merasai dan melihat tayangan tentang angkasa lepas dan berasa seolah-olah anda berada di sana. Wajib datang untuk merasai kelainannya!.
Peluang memasuki bilik anti graviti juga adalah satu pengalaman yang menyeronokkan buat para pelajar dan pengembaraan ke angkasa lepas dengan menaiki space pod juga pasti meninggalkan kenangan yang tidak boleh dilupakan oleh mereka.
Lokasinya terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Dari jauh sudah nampak gahnya bangunan ini dengan seni bina yang menarik. Kedatangan pengunjung akan disambut dengan ikan-ikan dari pelbagai spesies yang terdapat di dalam akuarium yang besar.
Dibahagikan kepada beberapa tingkat, setiap tingkat terdapat ruang pameran yang berbeza. Pelbagai informasi tentang dunia sains dan teknologi dapat diperolehi di sini. Tambahan lagi, terdapat ruang makmal yang akan mengadakan demostrasi eksperimen-eksperimen mudah bersama para pengunjung.
Jika anda selalu ke KLCC pasti sangat familiar dengan Petrosains. Tempat ini memang kerap dikunjungi oleh para pelajar bersama guru pengiring mereka. Menurut pihak Petrosains, purata sehari mereka akan menerima kunjungan lawatan sekolah ialah antara 5 hingga 10 buah sekolah.
Dibahagikan kepada beberapa seksyen, para pelajar akan didedahkan dengan dunia sains dan teknologi dari pelbagai cabang bermula dengan penerokaan angkasa lepas, bahan galian, simulasi di pelantar minyak sehingga dunia automatif.
Rasanya memang sejak dahulu lagi lawatan ke balai bomba adalah lawatan wajib terutamanya bagi taska atau tadika. Kanak-kanak kecil ini memang seronok apabila pihak bomba yang terlibat mengadakan demostrasi pembakaran dan cara memadamkan api. Lagi-lagi apabila mereka juga dapat ‘menumpang’ mandi hujan dek siraman air oleh pihak bomba.
Para pelajar juga akan diberi peluang untuk mengeksplorasi kenderaan bomba dan mengenali dengan lebih dekat lagi segala kelengkapan yang ada di dalamnya.
Elemen permainan olok-olok, pretend play juga boleh diselitkan apabila mereka dipakaikan seragam bomba. Secara tidak langsung akan mengalakkan daya imaginasi mereka tentang profesyen seorang ahli bomba.
Siapa sangka di tengah-tengah hiruk piruk kotaraya Kuala Lumpur ada sebuah hutan yang kini mejadi tumpuan warga kota untuk beriadah. Laluan Taman Tugu telah dibuka kepada orang awam setiap hari dari 7.30 pagi hingga 6.00 petang. Bayaran masuk adalah PERCUMA!
Sudah pastinya, hutan ini mesra kanak-kanak. Taman Tugu menjadi lokasi terbaharu untuk riadah sekeluarga sambil mendidik generasi muda mengenai hutan dan kelestarian alam. Terdapat juga buaian dan tempat duduk untuk berehat di dalam laluan hutan untuk melepaskan lelah.
Kini, Taman Botani Shah Alam memang menjadi daya tarikan buat ibu bapa, para guru atau pelajar untuk berkunjung ke sini kerana dengan adanya pelbagai aktiviti menarik terutamanya kunjungan ke Rumah 4 Musim.
Jika musim sejuk, pengunjung berpeluang merasai bermain dengan salji ibarat berada di luar negara. Dekorasi akan berubah berdasarkan musim-musim yang ada di dunia seperti musim panas, luruh dan bunga.
Selain itu, pelbagai lagi kemudahan yang disediakan kepada pengunjung seperti poster di bawah. Pusing satu hari di sini tidak cukup ye. Wajib datang lagi baru puas bereksplorasi.
Muzium ini terletak di tengah nadi bandaraya Shah Alam. Dibuka setiap hari kecuali hari Isnin dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
Pameran bermula dengan sejarah negeri Selangor dan pelawat boleh mempelajari sejarah tanah melayu juga di sini. Replika basikal dan beca lama juga dapat dilihat untuk memberi pendedahan kepada generasi muda tentang kenderaan yang ada pada zaman dahulu.
Pengunjung juga boleh belajar adat istiadat dan budaya orang Melayu, bermula daripada amalan menyambut kelahiran sehinggalah cara pengurusan jenazah. Replika kubur mengisahkan alam kematian sangat mengujakan kerana kanak-kanak diberi peluang melihat lebih dekat lagi bagaimana urusan pengurusan jenazah dilakukan sehingga proses pengebumian.
Terdapat juga tempat untuk pengunjung berehat setelah penat meneroka sejarah demi sejarah di dalam muzium ini. Sememangnya, Muzium Shah Alam ini sangat sesesuai untuk lawatan sekolah kerana banyak informasi boleh diperolehi oleh para pelajar.
Lokasinya terletak di Bank Negara Malaysia iaitu di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Mungkin ada yang baru maklum akan muzium ini dan tidak menyangka Bank Negara Malaysia juga mempunyai muzium mereka sendiri.
Untuk pengetahuan anda semua, pihak muzium memang aktif menganjurkan pelbagai program pendidikan untuk pelajar sekolah terutamanya untuk 7 tahun dan ke atas.
Contohnya, Program Sains, Energy Experiment. Para pelajar akan belajar bagaimana menjana kuasa daripada tenaga angin dan tenaga air. Program seperti ini memang kerap diadakan terutamanya pada musim cuti sekolah.
Lokasinya bersebelahan dengan Masjid Negara. Pelbagai pameran yang terdapat di sini dan pastinya para pelajar akan mendapat pelbagai ilmu dan informasi tentang keindahan Islam itu sendiri.
Pihak muzium juga kerap menjalankan aktiviti untuk kanak-kanak bagi menarik minat mereka mendekati muzium terutamanya pada musim cuti sekolah. Jangan ketinggalan untuk membawa anak atau pelajar ke sini ya!
Siapa yang tidak tahu tentang Zoo Negara Malaysia?. Saya pasti anda semua tahu dan pernah datang melawat ke sini. Kawasan yang luas dan pelbagai spesies haiwan dapat dilihat secara dekat oleh para pengunjung.
Selain aktiviti melawat sekitar zoo negara, pihak zoo juga ada menyediakan program pendidikan untuk para pelajar. Program ini dinamakan Zoo Camp Programme. Antara pengisiannya ialah:
Berminat untuk menyertainya? Anda boleh email terus ke [email protected] untuk informasi lanjut.
Tidak perlu rasanya diperkenalkan lagi akan lokasi ini. Taman Burung Kuala Lumpur memang terkenal dan menjadi perhatian lokasi percutian untuk seisi keluarga. Pelbagai spesies burung ada di sini. Memang tidak puas menjelajah sekitar Taman Burung KL jika pergi hanya sekali. Harus datang berkali-kali!
Apa yang menariknya, pihak taman burung telah menawarkan pakej khas untuk lawatan sekolah atau berkumpulan minimum 15 orang peserta. Pakej yang disediakan sangat berbaloi dari segi harganya.
Tentatif program lawatan juga padat antaranya Free flying Birds Feeding, Bird Show dan Milky Stork Feeding. Layari laman web Taman Burung KL http://www.klbirdpark.com untuk maklumat lanjut akan pakej ini.
Lokasinya juga berdekatan dengan Taman Burung KL, Taman Rama-Rama ini juga turut menjadi daya tarikan utama lokasi percutian di ibu kota. Sentiasa menjadi pilihan seisi keluarga dikala hujung minggu untuk bersiar-siar.
Tahukah anda dimana Taman Rama-Rama, KL ini adalah terbesar di dunia yang menempatkan hampir 5000 spesies rama-rama. Wah!menarikkan?. Memang sesuai untuk bawa lawatan pelajar ke sini, tambahan lagi harga tiket sangat berbaloi.
Kuala Lumpur dan Selangor memang terkenal dengan pelbagai tempat yang menarik untuk dilawati. Rancang takwin sekolah anda untuk bawa para pelajar mengadakan lawatan di luar bilik darjah, sekaligus menimba pengalaman baru yang menyeronokkan.