Bila sebut perkataan Temerloh, secara automatik akan terbayang gulai tempoyak ikan patin yang super duper sedap. Tahukah anda, selain ikan patin, ada banyak lagi tarikan lain di sana. Jom, kami kongsikan 12 tempat menarik di Temerloh yang wajib anda masukkan dalam rancangan percutian.

1. Dataran Patin

Negeri Pahang sememangnya terkenal dengan hidangan ikan patinnya dan Dataran Patin adalah salah satu daripada restoran yang terkenal di daerah ini. Untuk menuju ke restoran ini, anda akan melalui jambatan gantung yang merentasi sungai.

Sebaik menghampiri kedai ikan patin ini, anda dapat menghidu aroma ikan patin tempoyak yang menggoda jiwa. Sementara menunggu tempahan anda dihidangkan, anda boleh menikmati pemandangan Sungai Semantan dan Sungai Pahang sepuas hati.

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Travelingyuk

2. Esplanade Temerloh (WaterFront)

Bermacam tarikan yang ada di pesisir Sungai Pahang. Selain Dataran Patin, tarikan lain yang terletak di kawasan yang sama adalah Esplanade Temerloh (WaterFront).  Di sini anda boleh menaiki bot yang disediakan untuk merasai angin sepoi-sepoi bahasa di Sungai Pahang ataupun sekadar bersantai di tepian sungai.

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Travelmalaysia

3. Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan

Pusat perlindungan dan penjagaan gajah ini terletak di Kuala Gandah, Lanchang. Gajah-gajah yang ditempatkan di sini adalah daripada yang kurang bernasib kerana ditinggalkan daripada gerombolan mereka ataupun gajah liar dan gajah denak yang telah ditangkap dan kemudiannya dilepaskan oleh Taman Negara.

Anda sekeluarga dapat melihat gajah-gajah bergerak bebas di dalam sebuah kawasan berpagar serta menonton dokumentari tentang cara-cara gajah ini diselamatkan untuk dibawa ke habitat yang lebih selamat. Terdapat juga pelbagai aktiviti menarik yang tersedia untuk para pengunjung seperti melihat persembahan gajah,  memberi mereka makan atau sekadar bersantai di dalam taman-taman yang indah di sini.

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Malaysiagazette

4. Deerland Park

Dah puas melihat haiwan kesayangan Thailand? Lepas sahaja melawat Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, anda boleh meneruskan langkah ke Deerland Park untuk melihat haiwan yang terkenal dalam sejarah negeri Melaka pula, si rusa.  Di sini, bukan sahaja ada rusa tempatan, tetapi juga spesies-spesies yang didatangkan dari luar negara.

Taman yang dibuka dari tahun 1996 ini turut menempatkan beberapa jenis haiwan berbeza seperti memerang, burung unta, landak, pelanduk, burung merak, beruang madu dan banyak lagi sehingga boleh dianggap sebagai zoo mini.

Sebaik selesai mendekati semua haiwan yang ada, jangan lepaskan peluang untuk melawat Deerland Naturenya pula kalau anda ingin melihat di depan mata sendiri bermacam jenis herba semula jadi yang memiliki banyak khasiat kesihatan. Antara tanaman herba yang terdapat di sini adalah kacip fatimah, tongkat ali dan pikering.

Untuk pengetahuan anda, sebenarnya banyak lagi aktiviti menarik yang ditawarkan Deerland Park sekiranya anda ada banyak masa untuk diluangkan, antaranya adalah belajar menyumpit, merentas hutan, night walking, belajar memasak ala hutan dan macam-macam lagi.

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (11.00am – 6.00pm)

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Justgola

5. Pusat Rekreasi Gunung Senyum

Bagi yang sukakan alam semulajadi, apa kata anda jadikan eksplorasi Gunung Senyum sebagai salah satu rancangan apabila berada di Temerloh? Di sini anda dapat menerokai lebih daripada 20 buah gua, melihat pokok-pokok herba dan  flora dan fauna lain.

Berketinggian 1,594 kaki, masa yang diambil untuk mendaki ke puncak adalah lebih kurang 4 jam dan untuk turun ke kaki gunung pula adalah lebih kurang 3 jam. Jangan lupa untuk membawa bekalan air dan makanan yang cukup.

Hutan lipur di gunung ini turut menyimpan bukti kehidupan masyarakat Zaman Mesolitik. Di samping itu, nama-nama gua di sini juga kedengaran cukup klasik seperti Gua Terang Bulan, Gua Kolam Tujuh dan Gua Silat. Setiap nama gunung dan gua di sini ada kisah menarik yang tersendiri.

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Holidaygogogo

6. Taman Tema Air Kubang Gajah

Walaupun Taman Tema Air Kubang Gajah ini tidak memiliki tarikan sehebat Sunway Pyramid, tapi cukup menyeronokkan. Nak berendam, berenang atau hanya mengapungkan badan sambil menikmati pemandangan awan yang membiru, buatlah apa sahaja yang anda inginkan di dalam kawasan kolam yang luas ini. Harga tiketnya pun sangat murah.

Dah penat berenang, mesti terasa lapar bukan? Waterpark ini terletak dekat dengan restoran ikan patin yang terkenal di Temerloh. Cuba, jangan tak cuba.

Waktu Operasi:  Cuti Sekolah, Cuti Umum, Sabtu & Ahad (9.00am – 7.30pm) | Hari Sekolah (2.00pm – 7.30pm) | Rabu Tutup

Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-kanak (2 –  12 Tahun) RM8 | Kanak-kanak (1 Tahun 11 Bulan & Kebawah) Percuma | OKU & Warga Emas RM5

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Exlporasa

7. Pusat Pemuliharaan Seladang

Ditubuhkan pada tahun 1976, Pusat Pemuliharaan Seladang menempatkan haiwan yang terancam di negara ini di dalam sebuah habitat semula jadi yang berpagar. Jarang kita dengar pasal seladangkan? Inilah masanya untuk melihat dengan dekat haiwan yang berbadan ‘tegap’ ini.

Dikatakan, pusat pemuliharaan ini telah berjaya membiakkan lebih daripada 30 ekor seladang daripada jenis Bos Gaurus Hubbacki yang merupakan jenis seladang yang terbesar di Malaysia. Kesemua haiwan ini diletakkan di dalam 5 kandang yang luas di mana anda boleh mendekati sesetengah seladang yang jinak. Bagi seladang yang ‘moody’ pula, kebiasaannya boleh diredakan dengan batu atau ranting kayu kerana mereka sebenarnya takut kepada 2 benda ini.

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Tokwanmatarun

8. Pasar Sehari Temerloh

Pasar yang dibuka sehari dalam seminggu ini merupakan pasar hari yang terpanjang di negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, Pahang. Lokasinya adalah di pesisir Jalan Lurah Semantan dan tidak jauh dari Sungai Pahang.

Jika anda datang ke sini, boleh rambang biji mata melihat aneka barangan yang dijual di sini daripada makanan yang enak, sayuran dan buah yang segar, hinggalah kepada pakaian.  Peniaga-peniaga di sini juga sangat murah dengan senyuman, yang penting, harga barangan di sini pasti turut membuat anda tersenyum. Murah-murah!

Waktu Operasi: Ahad (Dari 7.00am)

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Azmi-shuib

9. Perkampungan Orang Asli Che’ Wong

Perkampungan yang terletak di dalam hutan ini memaparkan kehidupan yang berbeza daripada di kota, di mana penduduk di sini hidup bersatu dengan alam semula jadi. Mereka masih meneruskan kehidupan setiap hari dengan menangkap haiwan di dalam hutan dan mencari buah-buahan atau sayuran sendiri untuk mengisi rasa lapar.

Mengenai lokasinya, tidak jauh daripada perkampungan ini adalah pusat konservasi gajah yang diuruskan oleh PERHILITAN.

Alamat: Perkampungan Orang Asli Che’ Wong, Kuala Gandah

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Denai

10. Wadi Al-Amin – Kolam Mandi Tahfiz Berhala Gantang

Bagi anda yang terasa agak malu untuk bercampur lelaki dan wanita di dalam satu kolam renang, apa kata kalau anda memilih Wadi Al-Amin – Kolam Mandi Tahfiz Berhala Gantang sebagai lokasi bermandi-mandi.

Di sini, kolam renang berasingan disediakan untuk muslim dan muslimat. Namun begitu, aurat tetap perlu dijaga kerana di sini tak kisahlah sama ada lelaki atau wanita, anda tidak dibenarkan memakai seluar pendek.

Selain kolam renang dewasa, kolam kanak-kanak turut disediakan. Tanpa mengira usia, semua ahli keluarga dapat menikmati keseronokan bermandi-manda di sini. Bukan itu sahaja, di sebelah kolam renang ini juga terdapat kolam yang disediakan khas untuk anda yang ingin cuba memancing ikan.

Dah penat? Makanan dan minuman ada dijual di sini untuk mengisi kembali tenaga anda yang mungkin masih tidak puas berseronok.

Waktu Operasi: Isnin Tutup (Kecuali Cuti Sekolah/ Cuti Umum) | Selasa – Jumaat (3.00pm – 6.30pm) | Sabtu & Ahad, Cuti Umum (9.00am – 6.30pm) | Cuti Sekolah (10.00am – 6.30pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Zazrel=”nofollow”aiman

11. Air Terjun Lata Bujang

Selain mendaki Gunung Senyum, ada satu lagi aktiviti lasak yang boleh anda lakukan di Pahang iaitu  pendakian untuk menuju ke Air Terjun Lata Bujang.  Nak menuju ke sini anda perlu melalui trek-trek yang mencabar. Daripada kawasan yang terlalu curam, yang licin hinggalah kepada laluan-laluan yang dihalangi pokok tumbang. Memang ekstrem juga kalau tak biasa.

Lebih kurang 2 jam kemudian, anda akan sampai ke kawasan perkhemahan Lata Bujang sebelum meneruskan perjalanan kurang 1 jam untuk ke kawasan air terjun 4 tingkat. Walaupun perjalanannya cukup memenatkan, tapi kepuasan yang dapat dinikmati setelah melihat keindahan air terjun ini boleh menghilangkan kepenatan.

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Flickr

12. Krau Wildlife Reserve

Krau Wildlife Reserve merupakan rezab hidupan liar yang terbesar di bahagian Semenanjung Malaysia dengan keluasan 60 349 hektar. Rezab ini telah ditubuhkan sejak zaman pemerintahan Britisih lagi.

Di sini juga ditempatkan sebuah pusat penyelidikan yang terkenal di seluruh dunia dalam pengkajian tentang burung dan kelawar. Selain itu, Krau Wildlife Reserve juga menempatkan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan.

tempat menarik di temerloh

Sumber Gambar: Alchetron

Itulah dia 12 tempat menarik di Temerloh yang ingin kami kongsikan untuk kali ini. Semoga bermanfaat!Jemput juga baca artikel tempat menarik di Kuantan dan tempat menarik di Pahang

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.