Mencari tempat menarik di Sekinchan? Sekinchan yang terletak di Sabak Bernam, Selangor ini menjadi tempat pelancongan tumpuan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, sawah, hasil laut dan lain-lain.

Sekinchan kini makin dikenali ramai ekoran muncul banyak tempat menarik yang sesuai untuk percutian seisi keluarga. Suasana sekitar mendamaikan dan ada beberapa tempat makan sedap dan viral. Jika mahukan percutian yang jauh dari kesibukan kota, datang saja ke Sekinchan.

Jika disebut tentang Sekinchan, pasti sawah padi yang terlintas di fikiran. Namun tahukah anda, ada beberapa tempat menarik yang lain, viral dan popular di sini. Kami senaraikan antara tempat menarik, tempat makan dan penginapan terbaik di Sekinchan.

Msekin Wonderland

Msekin Wonderland merupakan taman tema air pertama dan terbesar di Sekinchan. Msekin Wonderland bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah semua golongan umur boleh bergembira di sini. Taman tema air ini boleh memuatkan seramai 5000 orang pengunjung dalam satu masa.

Ada lebih 10 jenis kolam dengan pelbagai saiz dan tahap kedalaman yang berbeza. Kanak-kanak juga boleh bermain beberapa gelongsor air dan pancutan air yang ada. Bukan itu sahaja, ada juga permainan rintangan untuk kanak-kanak yang aktif dan suka akan cabaran.

Banyak kemudahan yang disediakan buat pengunjung termasuklah locker, tandas, surau dan gazebo. Ada gerai-gerai kecil bersebelahan kolam untuk memudahkan pengunjung membeli makanan dan minuman setelah penat bermandi-manda.

Jika mahu lebih masa berada di sini, tempah sahaja bilik di resort yang berada di kawasan yang sama. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan.

Alamat:  No 358, Jalan Pantai Redang, Bagan Sekinchan, 45400 Sekinchan, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-6.00 pm)

Terminal Sekinchan

Siapa sangka di celah-celah sawah yang terbentang luas terdapat kawasan yang menempatkan kapal terbang sebenar di sini. Pesawat Boeing 727 yang berusia lebih 40 tahun ini bakal menempatkan sebuah kafe eksklusif dan unik di Sekinchan.

Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang untuk ke Terminal Sekinchan dan bergambar dengan kapal terbang ini. Bukan itu sahaja, ada juga perkhidmatan dron untuk merakamkan gambar dan video dari jarak yang jauh dan memuatkan semua gambar dengan sempurna dan cantik. Harga pun murah.

Alamat: Ban 3, Jalan Parit 5, 45400 Sekinchan, Selangor

Padi Sentral

Jika anda pernah lihat gambar atau video yang tular di media sosial dimana pengunjung dapat berdiri di atas tangga melangit berlatarkan sawah padi menggunakan dron, Padi Sentral tempatnya.

Apa yang ada sebenarnya di Padi Sentral? Padi Sentral merupakan penginapan dengan lima jenis bilik memuatkan dua hingga empat orang untuk setiap bilik. Dengan serendah RM 158, anda dapat menginap dengan permandangan sawah yang menghijau.

Kawasan dan luaran penginapan dipenuhi dengan ruang bergambar yang banyak dan cantik. Rugi jika tidak bergambar sepuasnya dengan latar yang disediakan.

Alamat: No.3925, Jalan Parit 5, Pekan Sekinchan, 45400 Sekinchan, Selangor

Laman Tebu Aidil

Salah satu tempat makan terkenal di Sekinchan semestinya Laman Tebu Aidil yang terletak di Kampung Parit Empat. Bukan sekadar menikmati makanan yang enak, malah pengunjung akan disajikan dengan panorama yang memukau.

Makan dikelilingi pokok tebu semestinya memberikan satu suasana yang berbeza. Tak cukup dengan itu, pengunjung juga masih dapat melihat permandangan sawah padi.

Banyak pilihan menu menanti pengunjung yang kebanyakannya adalah menu tradisi. Aneka pilihan kuih turut menjadi tumpuan utama seperti punten. Menu yang popular di Laman Tebu Aidil adalah mi kari, kepak madu dan tongkeng. Paling penting, jangan lupa cuba air tebu yang segar dan sedap!

Alamat: Kampung Parit Empat, 45300 Sungai Besar, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-7.00 pm)

Ah Ma House

Imej via Visit Sekinchan

Datang ke Ah Ma House pasti memberi anda pelbagai rasa seperti sedih, gembira dan teruja kerana mampu mengamit memori anda sewaktu kecil. Rumah kampung ini mempunyai pelbagai barangan antik dan klasik terdiri daripada perabot, pinggan mangkuk dan peralatan elektrik tradisional.

Bukan itu sahaja, anda boleh memperolehi banyak makanan ringan atau jajan yang kini sudah jarang ditemui. Kesemua jenis jajan ini membawa pengunjung ke masa lampau sewaktu kanak-kanak. Secara tidak langsung, pengunjung dapat memperkenalkan barangan lama kepada anak-anak pada zaman serba moden ini.

Ah Ma House juga terkenal dengan pembuatan kuih kapit. Apa yang lebih menarik, proses pembuatannya adalah secara tradisional iaitu menggunakan acuan lama serta dibakar menggunakan arang. Rasa dan aromanya mengingatkan kita pada kuih tradisional buatan generasi dahulu.

Alamat: Kampung Parit Empat, 45300 Sungai Besar, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-6.00 pm)

Roti Canai Pelangi

Roti Canai Pelangi atau dikenali sebagai Warung Dimyati menjadi port sarapan pilihan ramai kerana keunikan menunya. Walaupun berada di Kuala Selangor, ramai yang memilih untuk ke sini jika berada di Sekinchan dan jaraknya kurang daripada 30 minit.

Menu utama semestinya Roti Canai Pelangi yang mempunyai enam warna dan perisa berbeza. Warna merah adalah perisa strawberi, warna kuning berperisa jagung, warna jingga berperisa durian, warna biru berperisa keladi dan warna hijau berperisa epal. Jangan risau, roti original masih ada dijual. Pengunjung pasti terpukau dengan keenakan kuahnya iaitu kuah dal, kari ayam mahupun kari kambing.

Bukan itu sahaja, pelbagai menu lain menanti anda seperti soto, nasi lemak, sate dan pecal.

Alamat: Lot 2430 Batu 3 Kampung Sungai Yu 1, Kampung Sungai Yu, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-3.00 pm)

Sky Mirror

Sky Mirror atau Pantai Cermin turut menjadi tumpuan buat yang datang ke Sekinchan. Jika mahu ke sini, pengunjung perlu menaiki bot selama 30 minit dari jeti Kampung Sasaran.

Kenapa tempat ini dikenali sebagai Pantai Cermin? Hal ini kerana sewaktu air surut di laut tengah, pantulan langit akan terbentuk seperti sebuah cermin yang luas.

Lazimnya, bayaran dikenakan mengikut pakej dan pengusaha tertentu yang termasuk bayaran tiket bot dan perkhidmatan fotografi. Harga tiket bawah RM 100 sahaja untuk seorang.

Sekinchan Coconut Farm

Sekinchan Coconut Farm memang perlu diterjah lebih-lebih lagi ketika tekak kehausan di cuaca yang panas. Namun perlu diingatkan Ladang Kelapa Sekinchan ini hanya dibuka pada Sabtu dan Ahad sahaja.

Pengunjung boleh menikmati air kelapa atau Coconut Shake yang segar di ladang ini. Tak cukup dengan itu, pada setiap hujung minggu akan ada banyak gerai yang menjual pelbagai jenis makanan sedap. Antara menu yang menjadi tumpuan adalah laksa, kuih-muih tradisi, kerabu maggi dan nasi lemak berlauk.

Dah beli makanan, bolehlah anda duduk dan menjamu selera di tempat duduk yang disediakan. Anak-anak boleh bermain jongkang-jongkit kayu atau buaian di sini.

Alamat:  Jalan Tali Air 4, 45400 Sekinchan, Selangor

Waktu operasi: Sabtu & Ahad (10.00 am-5.00 pm)

Pantai Redang

Satu-satunya pantai yang berada di Sekinchan semestinya Pantai Redang yang sering menjadi tumpuan sewaktu hujung minggu atau cuti sekolah. Rata-rata yang ke sini untuk meluangkan masa bersama keluarga dan beriadah.

Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Buat kaki pancing, ini merupakan port memancing yang best buat anda. Selain itu, bawa keluarga ke sini untuk berkelah, bermain layang-layang dan melakukan aktiviti pantai yang lain. Namun perlu diingatkan, pantai dan laut disini tidak sesuai untuk bermandi-manda kerana berselut.

Satu lagi tarikan di sini adalah bas mini untuk kanak-kanak. Bas merah yang mirip di London ini akan membawa anak-anak bersiar-siar di kawasan terdekat.

Padi Box

Satu lagi penginapan unik yang terletak di Sekinchan adalah Padi Box. Padi Box betul-betul terletak di tengah-tengah sawah yang terbentang luas. Tujuh jenis bilik menampakkan permandangan sawah yang menghijau.

Penginapan yang berkonsepkan kontena ini menjadi pilihan ramai khususnya buat mereka yang gemarkan penginapan dengan suasana kampung. Paling menarik harga yang ditawarkan sangat berbaloi iaitu serendah RM 118 sehingga RM 240 sahaja. Satu bilik boleh memuatkan dua hingga enam orang mengikut jenis bilik yang ada.

Banyak kemudahan yang disediakan oleh Padi Box termasuk ruang santai yang membolehkan penginap berehat dan bermain permainan indoor. Jika mahukan aktiviti outdoor, penginap boleh menyewa basikal dan bersiar-siar di sekitar sawah.

Alamat: Jalan Tali Air 4, Kampung Parit Empat, 45400 Sekinchan, Selangor

Ye Eco Garden

Imej via Ye’ EcoGarden

Satu lagi port lepak best di Sekinchan adalah Ye Eco Garden.  Ye Eco Garden merupakan sebuah kafe yang terletak di ladang kelapa yang luas. Antara menu yang terbaik adalah ais kacang, cendol dan rojak. Ada juga pilihan makanan barat yang memuaskan.

Setiap sudut memang cantik untuk bergambar. Kaki ootd, jangan lepaskan peluang untuk bergambar sepuasnya. Sesuai untuk remaja yang mencari port healing yang tenang dan ala-ala Bali. Selain itu pengunjung boleh menyertai aktiviti memanah, bermain buaian,

Alamat: Tempat Blok S 13 Sekinchan, Lot 11150, 45400 Sekinchan, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (10.00 am-7.30 pm)

Lai’s Farm

Imej via Lai’s Farm

Lai’s Farm merupakan tarikan baru di Sekinchan yang berada berdekatan Terminal Sekinchan dan Fun Ride ATV. Apa yang ada di Lai’s Farm? Berada di sini juga sangat selesa dan santai. Persekitarannya bersih, cantik dan kemas.

Banyak sudut dihiaskan dengan cantik untuk anda bergambar. Setelah penat bergambar, beli makanan di kafe tersebut dan duduk di kerusi healing yang disediakan.

Sementara itu, anak-anak boleh bermain trampoline, buaian dan melihat beberapa haiwan ternakan. Pengunjung juga boleh menyewa basikal dan bersiar-siar di sekitar kawasan.

Alamat: Lot11185, Lorong Satu, Kampung Baru Kian Sit, 45400 Sekinchan, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-7.00 pm)

Galeri Padi

Imej via Visit Sekinchan

Sekinchan memang terkenal dengan sawah padi yang terbentang luas. Oleh itu, munculnya Galeri Padi. Di sini pengunjung boleh melihat sendiri proses penyediaan beras.

Dari proses padi dituai sehinggalah dimasukkan ke dalam guni beras, pengunjung dapat melihatnya secara langsung. Tiket masuk adalah RM 5 sahaja dan kanak-kanak bawah 95 cm boleh masuk dengan percuma.

Alamat: Lot No, Ban 2, 9990, Jalan Tali Air 5, 45400 Sekinchan, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (9.30 pm-12.30 pm | 2.00 pm-5.30 pm)

Triangle Farm Cottage

Triangle Farm Cottage antara penginapan popular di Sekinchan dengan daya tarikan yang tersendiri. Rata-rata penginapan di sini berbentuk segi tiga.

Pengunjung boleh memilih Twin Room, Container Room mahupun The Dorm Room. Nak lebih unik, tempah penginapan berkonsepkan glamping yang boleh memuatkan sehingga 4 orang dalam satu khemah.

Jika menginap di sini, banyak aktiviti boleh dilakukan tanpa perlu keluar ke tempat lain. Kanak-kanak khususnya pasti seronok berada di Triangle Farm Cottage kerana terdapat trampoline, kolam mandi beserta gelongsor dan ruangan memanah untuk mereka bermain dengan riang.

Selain itu, pihak Triangle Farm Cottage turut menyediakan beberapa aktiviti seperti karaoke, bercucuk tanam, berbasikal dan memancing dengan bayaran tertentu.

Alamat: Jalan Ban Kenal, Jalan Parit 5, 45400 Sekinchan, Selangor

N16 Bus Cafe Sekinchan

Imej via N.16

Siapa sangka disebalik bas antik terdapat kafe yang estetik di dalamnya. Bus Cafe ini sangat mudah untuk diakses kerana berada di tepi jalan. Di dalam kafe, pengunjung dapat melihat permandangan sawah yang menghijau.

Menu utama yang dihidangkan adalah pemanis mulut yang terdiri daripada aneka kek. Cheesecake dan pelbagai minuman unik dihidangkan buat pengunjung. Dah sampai ke sini rugi jika tidak bergambar sepuasnya.

Alamat: Jalan Tali Air 4 Sekinchan, 45400 Tanjong Karang, Selangor

Waktu operasi: Jumaat-Isnin (11.30 am-7.00 pm)

Macam mana tempat menarik di Sekinchan yang kami kongsikan ini? Buat mereka yang mahukan percutian santai dan jauh dari hiruk-pikuk bandar, tempat ini pasti memuaskan anda.

Dari tempat menarik, tempat makan sehinggalah penginapan menarik, lengkap untuk percutian anda di Sekinchan. Jika tidak menginap, anda pasti dapat menghabiskan masa seharian untuk mengunjungi tempat-tempat tersebut.

Tak tahu nak ke mana? Jom ajak yang tersayang ke Sekinchan. Datang sewaktu padi menghijau pasti lebih menarik. Sekinchan kebiasaanya akan meriah pada hujung minggu. Selamat bercuti!

Jom ke tempat menarik di Selangor yang lain seperti tempat menarik di Kuala Selangor dan tempat menarik di Klang.

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.