Sebaik sahaja diijab kabulkan dan bergelar seorang isteri, syurga seorang wanita adalah pada suaminya. Malah walau apa urusan sekali pun, suami adalah keutamaannya. Bukan lagi ibu bapa. Malah dalam islam, untuk keluar dari rumah sekali pun seorang isteri wajib meminta kebenaran suami. Namun begitu, ia tidak bermakna bahawa hubungannya dengan ibu bapa dan keluarga terus terputus.

Selepas berkahwin, seorang anak perempuan masih mempunyai tanggungjawab ke atas kedua ibu bapa dan keluarganya. Islam bukanlah agama yang zalim sehingga terus memutuskan hubungan kasih sayang dan kekeluargaan di antara anak dan ibu bapanya. Jom ketahui info tentang 10 tanggungjawab anak perempuan selepas berkahwin kepada ibu bapanya yang mungkin ramai terlepas pandang.

Menyayangi dan menghormati kepada kedua ibu bapa

Tanggungjawab anak perempuan ke atas ibu bapa selepas berkahwin adalah untuk sentiasa menyanyangi dan menghormati mereka berdua sehingga ke akhir hayat. Ibu bapa adalah dua manusia pertama yang mengenali kita. Malah mereka terlalu berjasa kepada kita. Walau apa pun yang kita lakukan takkan dapat membalas jasa mereka.

Sayangi kedua ibu kita dan layanlah mereka dengan baik, lembut, sopan, dan penuh hormat. Luangkan masa bersama mereka. Bawa keluarga balik ke kampung pada hujung minggu untuk menggembirakan hati kedua ibu bapa kita yang semakin tua.

Berbakti kepada kedua ibu bapa

Selaku anak perempuan, adalah menjadi tanggungjawab untuk terus berbakti kepada kedua ibu bapa walau pun setelah bergelar seorang isteri. Teruslah menjadi seorang anak yang baik dan berbakti kepada kedua ibu bapa selagi mereka masih ada. Jika ibu bapa sudah tua dan tidak mampu untuk ke hospital dengan sendiri, adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai anak untuk membawa mereka.

Jika ibu bapa kita sakit, adalah menjadi tanggung jawab kita untuk menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sehingga sihat semula. Jangan jadikan status seorang isteri sebagai alas an untuk tidak menjalankan tanggung jawab ini.

Menjaga nama baik kedua ibu bapa

Kita akan sentiasa membawa nama kedua ibu bapa walau ke mana pun kita pergi dan ianya berterusan walau pun setelah kita bergelar seorang isteri. Akhlak dan perilaku kita menggambarkan didikan yang diberikan oleh mereka sejak kita kecil. Oleh itu sentiasa jaga nama baik mereka agar nama baik mereka tidak tercemar disebabkan oleh kita. Malah di dalam keluarga mertua, pastinya setiap gerak-geri kita diperhatikan, lebih-lebih lagi kalau kita baru berkahwin.

tanggung jawab anak perempuan selepas berkahwin

Sumber: Remaja

Menjaga silaturrahim dengan ibu bapa, adik-beradik serta ahli keluarga yang lain

Silaturrahim dan hubungan yang baik di antara kita dan ibu bapa serta adik-beradik yang lain haruslah dijaga walau pun kini kita sudah mempunyai keluarga sendiri. Hubungan darah yang ada takkan pernah putus sampai bila-bila.  Begitu juga dengan keluarga yang dekat seperti sepupu-sepapat. Menjaga silaturrahim adalah di antara tanggung jawab yang kita galas. Malah satu hari nanti apabila ibu bapa kita sudah tiada lagi, jangan sesekali lupa untuk terus menjaga silaturrahim ini.

Jangan bebankan kedua ibu bapa dan keluarga dengan masalah rumah tangga

Salah satu dugaan dalam berumah tangga ialah masalah kewangan. Walau sesusah mana pun, jangan sesekali bebankan kedua ibu bapa atau ahli keluarga yang lain dengan masalah kewangan kita. Usaha untuk menyelesaikannya sendiri dengan sedaya upaya sebelum meminta bantuan mereka. Jadilah manusia yang berdikari dan tidak bergantung kepada ibu bapa. Mungkin kita fikir ibu bapa kita mampu membantu namun sampai bila? Kalau kita sentiasa bergantung kepada mereka, bagaimana jika mereka sudah tiada satu hari nanti?

Hulurkan bantuan kewangan setakat yang mampu

Tanggung jawab anak perempuan selepas berkahwin yang seterusnya ialah untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada ibu bapa setakat yang termampu. Jika anda seorang wanita berkerjaya, tak salah kalau anda hulurkan duit kepada mereka setiap kali dapat gaji. Jika ibu bapa mengadu kekurangan duit, anda juga bertanggung jawab untuk memberikan duit setakat mana yang mampu.

Jangan bebankan kedua ibu bapa

tanggung jawab anak perempuan selepas berkahwin

Sumber: Pesonapengantin

Ada orang menghantar anak kepada ibu bapa untuk dijaga atas alasan tidak bercaya kepada pengasuh. Padahal sepatutnya pada usia senja, kedua ibu bapa perlukan rehat yang banyak dan meluangkan masa untuk beribadat mengumpul pahala. Jangan sesekali bebankan kedua ibu bapa kita.

Bersabar dengan segala kekurangan dan karenah kedua ibu bapa

Semakin ibu bapa kita tua, mereka akan menjadi semakin sensitive dan mudah terasa. Malah mereka inginkan layanan yang istimewa daripada kita. Banyakkan bersabar dalam melayan karenah mereka seperti mereka bersabar melayan kita sewaktu kecil dulu.

Sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka

Sebagai anak perempuan, di antara tanggung jawab kita ialah untuk sentiasa mendoakan kebaikan buat kedua ibu bapa. Malah satu hari nanti apabila ibu bapa kita sudah tiada di dunia, kita perlu terus mendoakan mereka yang kini berada di alam kubur.

Hulurkan bantuan kepada ibu bapa dan adik-beradik bila diperlukan

Tanggung jawab anak perempuan selepas berkahwin yang terakhir ialah untuk menghulurkan bantuan kepada ibu bapa dan adik-beradik apabila diperlukan. Tak kira sama ada bantuan dari segi masa, tenaga, atau wang. Jangan sesekali berkira dan kedekut dengan mereka. Bukan orang lain pun, ahli keluarga kita sendiri juga.

Itulah dia perkongsian tentang tanggung jawab anak perempuan selepas berkahwin yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tanggungjawab seorang bapa dan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa

Sumber/Rujukan:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.