Menopause adalah satu perkataan yang boleh dianggap sebagai sensitif bagi seorang wanita. Ini kerana orang kita menganggap bahawa sebaik sahaja seorang wanita memasuki fasa menopause, itu bermakna kewanitaannya juga sudah berakhir. Yang sebenarnya menopause adalah satu proses dan fasa yang normal bagi seorang wanita dan ianya tidaklah seteruk yang kita sangka. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan info tentang tanda menopause yang ramai wanita tak perasan dan ambil ringan.
Hot flashes adalah satu keadaan di mana tubuh badan anda tiba-iba terasa panas dan berpeluh dengan banyak tanpa sebab walau pun anda sedang berada dalam bilik yang sejuk dengan penghawa dingin. Ia adalah kepanasan yang tidak normal. Hot flashes berlaku disebabkan pergolakan hormon yang sedang berlaku dalam tubuh badan anda. Menjelang menopause, hormon estrogen dalam tubuh badan akan menurun dan membuatkan fungsi mengawal suhu badan anda terganggu.
Hot flashes berbeza-beza di antara individu. Ada yang mengalaminya untuk sesaat dua dan ada yang mengalaminya selama sejam. Pada awalnya mungkin anda tidak perasan apabila hot flashes berlaku namun semakin kerap ia terjadi, anda akan mula berasa ada sesuatu yang pelik sedang berlaku pada diri anda. Jangan panik. Ia adalah satu perkara yang normal bagi wanita yang sedang menghampiri fasa menopause.
Disebabkan oleh hot flashes yang anda alami, secara automatik anda akan berpeluh dengan lebih banyak berbanding biasa. Semakin banyak anda berpeluh, semakin kuat bau badan. Oleh itu pastikan anda memakai deodoran dan mandi dengan kerap bagi mengurangkan bau badan.
Tanda menopause wanita yang seterusnya ialah anda akan berasa berdebar-debar dan risau tanpa sebab. Ia akan datang secara tiba-tiba. Keadaan ini berlaku kerana menjelang menopause, hormon epinephrine dan norepinephrine dalam tubuh badan menjadi tidak seimbang lalu menjejaskan ritma degupan jantung lalu menyebabkan ia akan berdegup dengan laju secara tiba-tiba.
Jika anda mula merasakan simptom ini, bawa bertenang. Pesan pada diri sendiri bahawa semuanya baik-baik sahaja dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Biasakan diri dengan keadaan ini kerana menopause akan menemani anda sehingga ke akhir hayat.
Wanita yang menghampiri fasa menopause akan mengalami masalah untuk mengawal pundi kencing. Anda akan semakin kerap membuang air kecil dan mungkin juga akan terkencing semasa ketawa, batuk, bersin, atau melompat. Ia adalah sesuatu yang normal memandangkan pada masa ini lapisan dinding uretra anda yang semakin menipis dan otot pelvik yang semakin lemah akibat penuaan.
Masalah kulit adalah satu lagi simptom menopause yang menjengkelkan. Anda akan mula ditumbuhi jerawat atau mengalami masalah kulit kering. Oleh itu pastikan anda terus mengamalkan rutin penjagaan kulit muka seperti biasa. Sebaiknya pilih set penjagaan kulit yang dicipta khas untuk anti penuaan. Ia sangat membantu untuk mengatasi masalah kulit yang sedang anda alami.
Ya, tidak dapat dinafikan bahawa wanita yang menghampiri menopause akan mengalami mood swing yang teruk. Anda tidak akan dapat mengawal perasaan dan apa yang anda rasa kerana ianya berlaku disebabkan oleh ketidak stabilan hormon dalam tubuh badan. Untuk mengatasinya, anda boleh dekatkan diri dengan Allah. Banyakkan mengaji, solat sunat, dan puasa sunat. Meluangkan masa berkualiti bersama suami dan anak-anak juga sangat membantu untuk anda menghadapi mood swing yang dialami.
Di antara tanda paling ketara yang anda sedang memasuki fasa menopause ialah anda akan merasa tidak selesa pada bahagian payudara. Payudara akan terasa tegang dan sensitif pada sentuhan. Ianya adalah ketidakselesaan yang selalunya kita alami semasa pms dan diawal proses kehamilan. Malah ada wanita yang merasa sakit dan denyutan pada payudara. Ketidakselesaan dan kesakitan yang berlaku adalah disebabkan pada masa ini berlaku perubahan hormon secara mendadak dalam tubuh badan anda.
Untuk mengatasinya, pastikan anda memakai bra dengan saiz yang betul untuk menampung payudara. Jika anda berasa sakit boleh juga lakukan urutan lembut atau menekap dengan pek ais untuk mengurangkan kesakitan. Mandi air panas juga dikatakan mampu mengurangkan kesakitan yang anda alami.
Satu lagi tanda menopause yang mungkin menyebabkan anda hampir hysteria ialah tumbuhnya misai dan janggut seperti orang lelaki. Jangan terperanjat kalau satu hari, semasa melihat wajah di cermin, anda mendapati ada bulu di atas bibir atau di dagu anda. Pertumbuhan misai dan janggut berlaku kerana kecalaruan hormon dalam tubuh badan anda. Jangan panik. Ia adalah satu perkara yang normal bagi wanita yang menghampiri menopause. Apa yang perlu anda buat? Biarkan sahaja bulu yang tumbuh dimuka anda kerana jika anda mencukur misau atau janggut tersebut, semakin banyak bulu baru yang akan tumbuh dan semakin tebal.
Apa yang hairannya, apabila misai dan janggut mula tumbuh diwajah anda, rambut di kepala anda pula semakin menipis. Anda akan mengalami masalah keguguran rambut yang teruk. Malah rambut anda akan menjadi rapuh dan reput. Anda akan perasan yang rambut anda muda patah dan cepat putus. Jangan bersedih kalau anda mula mengalami kebotakan. Pengambilan supplemen seperti Zink membantu untuk mengurangkan masalah yang anda sedang hadapi.
Itulah dia info tentang tanda menopause yang ingin kami kongsikan. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga anda berjaya melalui fasa menopause dengan tenang dan bahagia. Jika anda sukakan perkongsian kami pada hari ini, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang sakit bawah perut ketika mengandung, kesan makan pil perancang, dan aurat wanita ketika berubat