Susu kambing sememangnya menjadi trend terkini di kalangan ibu bapa di Malaysia. Lebih- lebih lagi sejak ia mendapat gelaran makanan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah. Tidak dinafikan susu kambing kaya dengan khasiat yang baik untuk bayi, namun anda perlu tahu membezakan di antara fakta dan mitos susu kambing untuk bayi.

Sumber: Iluminasi

Apakah kebaikan susu kambing untuk bayi?

Perkara pertama yang perlu anda tahu ialah apakah kebaikan susu kambing untuk bayi anda. Susu kambing sememangnya mempunyai pelbagai khasiat dan kebaikan buat bayi anda, termasuk bayi yang berusia dibawah satu tahun. Di antara kebaikan susu kambing untuk bayi yang telah terbukti melalui kajian saintifik ialah seperti berikut:

Susu kambing lebih mirip susu ibu berbanding susu lembu

Susu ibu dan susu kambing dihasilkan melalui proses penghasilan yang sama. Ianya dipanggil Apocrine secretion di mana titisan susu dikeluarkan bersama cebisan sel ke dalam susu. Hasilnya, titisan susu kambing mempunyai komponen sel yang lebih tinggi berbanding susu lembu, dan lebih mirip dengan susu ibu. Selain itu, susu kambung juga mempunyai komponen beta casein, kappa casein dan amino asid didalam nisbah yang lebih kurang sama dengan susu ibu.

Mengurangkan risiko alahan kepada protein pada bayi

Tahukah anda bahawa ada bayi yang mengalami masalah alahan kepada protein. Sekiranya bayi anda mempunyai alahan tersebut, tubuh badannya akan memberikan reaksi negatif selepas meminum susu formula. Di antara simptomnya ialah kekembungan, sembelit, cirit-birit, dan naik ruam. Hal ini biasanya jarang berlaku sekiranya anda memberikan susu kambing kepada bayi kerana susu kambing mengandungi cuma sedikit protein  alpha-S1 casein yang menjadi punca alahan berbanding susu lembu.

Sumber: Nhs

Mengurangkan risiko bayi mengalami masalah alahan kepada laktosa 

Selain alahan kepada protein, satu lagi masalah yang selalu dialami oleh bayi ialah alahan kepada laktosa. Alahan kepada laktosa juga akan mencetuskan tindak balas negatif pada tubuh badan bayi anda. Sekiranya anda memberikan susu kambing kepada bayi, risiko untuk bayi anda mengalami alahan laktosa adalah lebih rendah memandangkan kandungan laktosa dalam susu kambing adalah sangat rendah iaitu cuma 4.1 peratus sahaja, berbanding susu lembu yang mempunyai kandungan laktosa yang jauh lebih tinggi.

Lebih mudah untuk dihadam oleh usus bayi

Susu kambing lebih mudah untuk dihadam oleh perut bayi anda berbanding susu lembu. Hal ini kerana gumpalan protein yang terbentuk dalam perut bayi hasil dari tindak balas kimia di antara asid perut dan protein dalam susu kambing adalah lebih lembut dan mudah dihadam, berbeza daripada gumpalan protein yang dihasilkan sekiranya bayi anda diberikan susu lembu. Selain itu, globul lemak yang terdapat dalam susu kambing juga lebih mudah dihadam berbanding globul lemak yang terdapat dalam susu lembu.

Kandungan medium chain fatty acids (MCFA) yang lebih tinggi daripada susu lembu

Kajian menunjukkan bahawa susu kambing mengandungi kandungan medium chain fatty acids (MCFA) yang jauh lebih tinggi berbanding susu lembu. Dalam masa yang sama susu ibu juga mengandungi kandungan MCFA yang tinggi, oleh itu ternyata susu kambing sangat mirip dengan susu ibu. MCFA akan diserap ke dalam badan bayi anda dengan lebih cepat berbanding long chain fatty acids yang ada dalam susu lembu. Kajian juga mendapati bahawa MCFA membantu mengelakkan pertumbuhan bakteria dan virus di dalam usus bayi.

Apakah pula kekurangan yang ada pada susu kambing?

Kalau tadi kami dah senaraikan kelebihan susu kambing kepada bayi berbanding susu lembu, sekarang kami nak ceritakan pula apakah kekurangan susu kambing yang perlu anda tahu dan pertimbangkan sebelum mengambil keputusan untuk memberikan susu kambing kepada bayi anda. Di antara kekurangan susu kambing ialah:

Alahan kepada susu formula

Jika bayi anda mempunyai risiko untuk mengalami alahan kepada susu lembu, bayi anda juga mempunyai risiko untuk mengalami alahan kepada susu formula dari susu kambing. Namun risikonya adalah lebih rendah berbanding susu lembu memandangkan kandungan laktosa dan protein dalam susu kambing adalah kurang.

Sumber: Banyuwangi

Kandungan vitamin B12 yang rendah

Kajian mendapati bahawa susu kambing mengandungi kandungan vitamin B12 yang rendah. B12 adalah di antara vitamin yang sangat penting untuk tumbesaran bayi anda. Jika anda memberikan bayi susu kambing semata-mata tanpa susu ibu, bayi anda akan mengalami masalah kekurangan vitamin B12. Selain kekurangan vitamin B12, susu kambing juga rendah kadar:

  • Folate
  • Vitamin B
  • Vitamin C
  • Vitamin D
  • Thiamin
  • Niacin

Kandungan sodium yang lebih tinggi berbanding susu lembu

Kajian mendapati bahawa susu kambing mengandungi kandungan garam yang tinggi berbanding susu lembu. Ia mengandungi sodium, klorida dan kalium yang tinggi. Apakah kesan kandungan sodium tinggi kepada bayi anda? Ianya akan menyebabkan buah pinggang bayi anda terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk memproses bahan tersebut.

Kandungan asid folik yang rendah berbanding susu lembu

Selain itu, kandungan asid folik dalam susu kambing juga adalah rendah. Jika bayi anda tidak mendapat asid folik yang secukupnya, ia akan menyebabkan bayi anda mengalami masalah pendarahan usus dan anemia megaloblastic iaitu kekurangan darah.

Itulah dia info tentang susu kambing untuk bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang manfaat tungku sunnah menyambut bayi, dan sebab bayi sedu.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.