Sujud syukur begitu sinonim dengan perbuatan setelah seleasai upacara akad nikah. Biasanya pengantin lelaki akan melaksanakan solat sujud syukur bagi meraikan nikmat berumahtangga yang Allah kurniakan.

Namun sedarkah kita sebagai hambaNya kita perlu sentiasa memanjatkan rasa kesyukuran tidak kita dalam apa jua keadaan sama ada ketika gembira mahupun sedih.

Sujud syukur adalah perbuatan sunat yang digalakkan kerana mereka yang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW adalah mukmin sejati kerana tidak membelakangkan ajaran kekasih Allah.

Syukur membawa erti berterima kasih atas kurniaan Allah swt kepada kita. Dalam firman Allah SWT ayat surah Ibrahim yang membawa maksud ;

“Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahnya. Tetapi, jika kamu mengingkarinya sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”

Syukur boleh dilakukan dengan mengucapkan Alhamdulillah dan mengakui nikmat dalam hati  namun lebih indah andai  kesyukuran itu kita lengkapkan dengan menzahirkan kesyukuran itu melalui perbuatan sujud syukur.

Sujud syukur merupakan salah satu perbuatan sunnah yang menunjukkan rasa kesyukuran kita terhadap nikmat Allah SWT pinjamkan yang sangat digalakkan.

Waktu terbaik untuk melaksanakan sujud syukur sunat adalah;

kelebihan sujud syukur

Imej viaa Bigbrain99

  • Mendapat berita gembira atau memperoleh nikmat.

Apabila kita mendapat perkhabaran yang menyenangkan atau menerima sesuatu anugerah sama ada mendapat ahli keluarga baru mahupun mendapat kejayaan yang diimpikan sunat untuk kita melakukan sujud syukur.

  • Terselamat daripada musibah.

Apabila Allah SWT menyelamatkan kita dari sebarang bencana dan musibah seperti kebakaran , kerugian selayaknya kita sebagai hamba perlu berterima kasih. Lakukan sujud syukur bagi menambahkan lagi rasa keinsafan di dalam diri.

Seperti juga ibadat yang lain, Nabi Muhammad SAW turut mengajar kita cara sujud syukur yang diterima disisi Allah SWT.

Saidina Abu Bakar RA ada menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW akan terus sujud setelah mendengar berita yang gembira.

“Dari Abu Bakar r.a. Bahawasanya Nabi s.a.w. apabila telah datang kepadanya suatu urusan yang menyenangkan atau beliau gembira kerana sesuatu, beliau sujud ke tanah sebagai berterima kasih kepada Allah SWT.”

( Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi)

Syarat yang perlu dipenuhi bagi menunaikan sujud syukur adalah ;

  • Suci badan, pakaian dan tempat solat
  • Berwudhuk
  • Mengadap kiblat
  • Menutup aurat.

4 Cara Melaksanakan Sujud Syukur

Tertib melakukan sujud syukur tidak sukar malah ia boleh ditunaikan dalam masa kurang dari 10 minit.

Sujud syukur dillakukan sama seperti sujud tilawah yang dilaksanakan diluar waktu solat.

1.Niat

Setiap perbuatan yang baik disisi Allah SWT perlulah disertai dengan niat.

“Sahaja aku sujud syukur kerana Allah Ta’ala”

2. Takbiratul Ihram

3. Sujud + Doa

Sujud dalam sunat sujud syukur hanya dilakukan sekali sahaja.

Tiada doa yang spesifik dalam menunaikan ibadat sujud syukur namun kita digalakkan untuk membaca doa dibawah;

“Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta.”

Namun sekiranya kita tidak menghafal bacaan doa diatas tidak menjadi masalah. Kita boleh membaca apa sahaja doa yang biasa dibaca ketika sujud solat ataupun cukup sekadar mengucapkan Alhamdulillah.

4. Bangun dari sujud dan beri salam

Bangun dari sujud (dalam keadaan duduk) dan memberi salam . Berilah salam seperti kita sedang melakukan solat fardhu.

Mudahkan tertib atau rukun dalam melaksanakan sujud syukur.

sujud syukur

Imej via Chidioc

Faedah dan Kelebihan Sujud Syukur Adalah

  • Bersyukur

Menjadikan kita hamba yang sentiasa mensyukuri nikmat dan taat kepada Allah swt. Kita perlu ingat bahawa segala nikmat dan anugerah hanya datang dari Allah.

  • Jauh dari sifat sombong dan takabbur.

Sujud syukur dapat mengelakkan dari sifat sombong dan riak kerana kita sedar bahawa segala yang kita ada adalah dari Allah dan pinjaman semata.

  • Bertambah nikmat.

Allah SWT akan menambah nikmat sekiranya kita sentiada bersyukur atas limpah kurniaNya. Bersyukur menjadikan kita sedar bahawa kita ini hanyalah hamba yang daif dan lemah.

Namun terdapat perbezaan diantara setiap mazhab dalam melakukan sujud syukur. Sebagai informasi tambahan kita akan meneliti ibadat sujud syukur di dalam empat mazhab ini.

1. Mazhab Syafie

Sujud syukur di dalam mazhab Syafie adalah sama dengan sujud tilawah. Terdapat 5 rukun yang perlu dilakukan untuk menunaikan sujud syukur iaitu ; niat, takbiratul ihram, sujud (sekali sahaja), duduk selepas sujud dan memberi salam.

2. Mazhab Hanbali

Manakala dalam mazhab Hanbali terdapat tiga rukun iaitu; sujud, bangun dari sujud dan salam. Takbir dilaungkan semasa sujud dan bangun dari sujud.

3. Mazhab Hanafi + Mazhab Maliki

Bagi mazhab Hanafi dan Maliki, sujud syukur ditunaikan dengan terus sujud tanpa takbiratul ihram dan bangun dari sujud tanpa memberi salam.

Takbir dilaungkan ketika sujud dan semasa bangun dari sujud sahaja.

Imam Syafie dan Imam Hanbali berpendapat sujud syukur tidak boleh dilakukan semasa menunaikan solat.

Sekiranya seseorang melakukan sujud syukur ketika menunaikan solat, maka solatnya akan terbatal.  Namun sekiranya dia lupa atau tidak sengaja maka solatnya masih lagi sah.

Islam mengajar umatnya untuk sentiasa merendah diri dan bersyukur dalam kehidupan seharian.  Dan seharusnya kita menjadikan sunat sujud syukur sebagai amalan yang berterusan supaya kita sentiasa menjadi hamba yang erti bersyukur dan berserah kepada Allah SWT.

Tanpa nikmat kurnia yang dipinjamkan Allah SWT kepada kita tidak mungkin kita akan mengecap nikmat kebahagiaan dan kejayaan.

Diharapkan dengan sedikit perkongsian ini dapat menambahkan lagi sifat kehambaan dalam diri kita dan memberi manfaat dalam perjuangan kita sebagai hamba.

Rujukan

Jemput baca artikel tulisan kami yang lain seperti amalan zikir harian , kelebihan istighfar dan kelebihan surah al-Mulk

Penulis: Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Berkhidmat sebagai seorang guru tuisyen Bahasa Melayu mendatangkan minat dalam bidang penulisan.Suka berkongsi idea dan info dengan rakan-rakan tak kira di alam maya atau realiti . Mengharapkan setiap yang membaca mendapat manfaat yang sebaiknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.