“Jangan berdiri dekat-dekat dengan budak tu, tengok tu dia ada sopak. Nanti berjangkit baru tau.”
Ini ialah dialog yang biasa kita ucapkan pada anak-anak apabila ternampak orang yang menghidap penyakit sopak. Benarkah sopak boleh berjangkit? Orang yang mengalami sopak sering menjadi perhatian kerana kelainan pada warna kulit mereka.
Sejak dahulu kita dimomokkan dengan mitos bahawa sopak boleh berjangkit. Ini menyebabkan kita takut untuk berada berdekatan dengan pesakit sopak. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan serba sedikit tentang penyakit sopak dan cara rawatan untuk mengatasinya.
Sopak atau vitiligo ialah sejenis penyakit di mana sel melanocyte yang menghasilkan pigmen melanin mempunyai kelainan dan gangguan. Ini menyebabkan kawasan kulit yang bermasalah bertukar menjadi cerah dan bertompok. Itulah namanya sopak.
Penyakit sopak disebabkan oleh gangguan pada penghasilan pigmen di kulit. Warna kulit asal adalah disebabkan penghasilan melanin. Ia ini ialah proses yang normal.
Orang yang dilahirkan dengan genetik yang gelap mempunyai melanin yang lebih banyak berbanding orang yang berkulit cerah. Ini kerana sel melanocyte pada kulit mereka menghasikan melanin yang banyak dan menyebabkan kulit menjadi gelap.
Tapi bagi pesakit sopak fungsi sel melanocyte dalam menghasilkan melanin terganggu. Ini menyebabkan beberapa kawasan di sekitar kulit tidak dapat menghasilkan melanin yang berpigmen. Oleh itu, kawasan itu menjadi putih dan bertompok-tompok.
Berbanding orang yang berkulit cerah, sopak nampak lebih ketara pada orang yang berkulit gelap. Penyakit ini dihidapi oleh 0.5% hingga 2% penduduk dunia dengan purata umur bawah 20 tahun.
Namun, penyakit ini boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina. Namun, jangan risau. Penyakit ini tidak berjangkit dan tidak menimbulkan kegatalan seperti kurap, panau dan sebagainya.
Penyakit ini boleh dikesan melalui pemeriksaan fizikal. Ini kerana kebanyakan penghidap sopak mempunyai tanda-tanda kelainan pada kulit yang sama. Antaranya ialah:
a. Tompok cerah pada kulit (bisanya berwarna putih)
b. Sempadan warna kulit asal dan yang terkena sopak amat jelas kelihatan
c. Sopak di kulit terdapat pelbagai bentuk
d. Ia akan semakin membesar mengikut peredaran masa
e. Boleh terkena juga pada bahagian yang menonjol seperti lutut dan siku
Sopak bukannya penyakit berjangkit. Ia berkaitan dengan masalah genetik dan juga bukan genetik. Sehingga ke hari ini, punca sebenar penyakit sopak masih tidak dapat dikenal pasti.
Namun begitu, para saintis yang melakukan penyelidikan berpendapat bahawa sopak berlaku disebabkan kematian sel melanocyte yang sepatutnya menghasilkan melanin. Sel tersebut mati secara perlahan-lahan sehingga bilangan sel melanocyte pada kulit berkurangan.
Namun, sehingga kini penyebab kematian sel melanocyte tidak dapat dipastikan. Oleh itu, para saintis memberikan beberapa teori penyebab masalah ini iaitu:
a. Sel pertahanan badan melawan sel badan itu sendiri. Maksudnya, sel pertahanan badan cuba memusnahkan sel melanocyte.
b. Bahan kimia yang dirembeskan oleh saraf memusnahkan sel melanocyte dan membantutkan penghasilan melanin.
c. Bahan anti-oksida yang terhasil ketika penghasilan melanin menyebabkan kemusnahan sel melanocyte itu sendiri.
Penyakit sopak boleh dirawat dengan menggunakan pelbagai kaedah. Rawatan bagi penyakit ini adalah untuk mengawal simptom dan bukan untuk menyembuhkannya. Rawatan akan diberikan bergantung kepada tahap penyakit.
Jangan stres
Pesakit sopak perlu mengelakkan stres supaya sopak tidak menjadi lebih besar dan merebak.
Jangan garu atau gesel
Elakkan menggaru atau menggesel kawasan yang terkena sopak (sopak tidak gatal). Mungkin kegatalan disebabkan faktor-faktor lain seperti digigit serangga, berpeluh, tidak selesa dan sebagainya.
Gunakan krim sunblock
Pesakit sopak perlu menggunakan krim sunblock di tempat-tempat yang ada tompokan sopak. Ini kerana bahagian-bahagian itu tiada melanin yang merupakan pelindung semula jadi daripada sinar matahari.
Rawatan terapi foto
Terapi foto akan menyebabkan pigmentasi semula pada kawasan kulit yang mengalami sopak. Maksudnya, warna cerah pada sopak akan berubah menjadi gelap untuk mengurangkan perbezaan ketara warna kulit.
Terapi yang menggunakan Ultraviolet jenis B ini selamat digunakan bagi kanak-kanak, wanita hamil dan yang sedang menyusukan anak. Keberkesanannya bergantung kepada tahap penyakit dan jangka masa rawatan. Lebih lama rawatan yang diterima, lebih berkesan hasilnya.
Rawatan terapi laser
Rawatan jenis ini sangat mahal kerana ia terbukti berkesan. Mesin laser akan menghasilkan gelombang monokromatic untuk merawat tompokan sopak. Rawatan ini biasanya disertakan sekali dengan krim tacrolimus dan krim steroid.
Krim steroid dan tacrolimus
Krim ini lazim digunakan oleh pesakit sopak. Namun, ia lebih berkesan apabila digunakan bersama-sama dengan rawatan yang lain.
Pembedahan
Jika tiada pilihan, pembedahan boleh dilakukan. Namun begitu, rawatan secara pembedahan mengambil masa yang panjang. Ia hanya boleh dilakukan pada beberapa situasi sahaja, iaitu:
Peranan ibu bapa
Ibu bapa haruslah memberi sokongan moral jika ada anak yang mengalami sopak. Oleh sebab penyakit ini terjadi di bahagian kulit, lebih-lebih lagi di muka, ia akan menimbulkan perasaan rendah diri.
Jika dibiarkan, dikhuatiri anak-anak akan mengalami masalah kemurungan, stres dan malu untuk bersosial. Berikan perhatian kepada mereka agar tidak berasa tersisih dalam keluarga atau masyarakat.\
Rawatan secara tradisional
Kaedah tradisional boleh juga diamalkan untuk tujuan merawat misalnya menggunakan betik, tanah liat merah, daun duckweed, kunyit dan sebagainya. Walaupun peluang untuk sembuh tidak pasti, namun apa salahnya mencuba.
Namun, sebelum melakukan apa-apa rawatan dapatkan nasihat pakar perubatan terlebih dahulu. Ini kerana gejala dan tahap penyakit berbeza bagi setiap individu.
Setakat ini sahaja perkongsian tentang penyakit sopak dari aspek punca dan cara rawatan. Diharapkan artikel ini memberi maklumat yang berguna buat para pembaca. Jika ada ahli keluarga, jiran tentangga dan sahabat handai yang mempunyai masalah sopak, bolehlah dikongsikan artikel ini.
Jemput juga baca artikel petua penyakit kulit dan penyakit kulit
https://thediagnosa.com/sopak-vitiligo-punca-simptom-dan-cara-rawatan/