Segelintir daripada kita sering terlupa bahawa solat merupakan tiang agama dan salah satu cara untuk memohon rezeki daripada Allah S.W.T. Ramai beranggapan bahawa duit sahaja merupakan satu rezeki padahal rezeki terdapat dalam pelbagai bentuk.
Contohnya, ketenangan hati. Ketenangan hati merupakan sesuatu perkara yang bukan mudah untuk dicapai. Hal ini kerana kita hanya dapat merasainya dengan melakukan fardhu solat, hati kita akan berasa tenang.
Jom kita baca perkongsian menarik daripada Dr Ahmad Sanusi mengenai mengapa solat sering dikaitkan dengan rezeki.
1. Dalam Surah Taha, Allah menyebutkan hubungkait antara solat dengan rezeki. Seolah-olah, kedua elemen ini saling berkaitan. Firman Allah:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ
“Dan perintahkanlah keluargamu untuk mengerjakan solat, hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Taha: 132)
2. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Ibn Kathir menyebutkan:
يعني إذا أقمت الصلاة أتاك الرزق من حيث لا تحتسب
“Iaitu sekiranya engkau bersabar mendirikan solat, Allah akan mengurniakan kamu rezeki dalam keadaan yang kami tidak sangka-sangka”. (Ibn Kathir)
3. Kenyataan Ibn Kathir ini seakan memberikan gambaran bahawa sabar dalam menunaikan solat akan membuka pintu rezeki. Kita juga seharusnya faham bahawa rezeki tidak semestinya datang dalam bentuk wang ringgit.
Adakalanya rezeki datang dalam bentuk kurniaan anak-anak yang soleh, ia adalah anugerah yang tidak ternilai. Adakalanya ia datang dalam bentuk ketenangan jiwa, satu anugerah yang tidak diperoleh dengan wang. Adakalanya rezeki datang dalam bentuk kesihatan.
4. Atas sebab itu al-Imam al-Zamakhshari merekodkan kisah Bakar ibn Abdullah al-Muzani, seorang Tabie yang soleh yang memerintahkan ahli keluarganya mendirikan solat ketika ditimpa ujian. Kata al-Zamakhshari:
بكر بن عبدالله المزني – رحمه الله تعالى – إذا أصاب أهله خصاصة قال : قوموا فصلوا, ثم يقول: بهذا أمر الله تعالى ورسوله
“Sesungguhnya Bakr ibn Abdillah al-Muzani, sekiranya beliau ditimpa kesusahahan, maka dia akan meminta ahli keluarganya mendirikan solat lalu berkata: Dirikanlah solat, kerana beginilah yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya.” Lalu dibacanya ayat dari surah Taha tadi.
5. Begitulah al-Muzani mendidik ahli keluarganya tentang solat. Apabila kita memerlukan sesuatu, maka mohonlah kepada Allah. Dirikanlah solat dan mengadu kepada Allah. Bukan mengadu dalam facebook.
6. Urwah ibn al-Zubayr melihat ayat ini dari sudut pandang yang berbeza. Apabila beliau melihat ahli keluarganya tidak memiliki kemewahan dunia seperti orang lain, dia lalu membacakan ayat dari Surah Taha di atas mengingatkan mereka agar sentiasa mendirikan solat dan pada Allah segala ketentuan rezeki mereka.
7. Begitu juga dengan Saidina Umar al-Khattab yang dikatakan sentiasa mendidik ahli keluarga beliau mendirikan solat, tidak kira saat susah atau senang.
Sebagai ibu bapa kita hendaklah mendidik anak-anak supaya sering mendirikan solat agar hidup mereka akan diberikan kesenangan tidak kira dari kejayaan hidup, ketenangan hati dan lain-lain.
Diharapkan dengan perkonsian ini akan dapat mengingatkan kita semua bahawa rezeki bukan sahaja datang dalam bentuk wang tetapi dalam pelbagai bentuk.
Untuk post yang asal boleh lihat di sini.