“Aduh, tak selesa betul dibuatnya. Dengan hingus mengalir tak henti sampai tersumbat hidung dibuatnya, sakit tekak pula sekarang.”

Pernahkah anda berada dalam situasi macam ni? Rasanya semua manusia pernah kena selsema tak kira bayi, kanak-kanak hinggalah orang tua. Bila diserang selsema, memang stres dibuatnya. Semua serba tak kena.

Makanan pun terasa tawar. Tekak rasa pedih dan perit sampai hilang selera makan. Lubang hidung tersumbat macam ada batu penghadang. Kadang-kadang, badan pun mula rasa tak sedap macam nak demam.

Walaupun masalah selsema merupakan perkara biasa bagi kita, namun ia boleh dielakkan. Oleh itu dalam artikel ni, akan menyentuh tentang topik selsema dari aspek punca dan cara rawatan yang sesuai. Jom baca!

Apa Itu Selsema?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selsema ialah sejenis jangkitan yang disebabkan oleh virus pada bahagian hidung dan tekak. Selsema merupakan penyakit yang mudah dan sering menyerang manusia di seluruh dunia.

Secara terperinci, selsema atau flu merupakan jangkitan pernafasan bahagian atas (upper respiratory tract infection). Selain hidung dan tekak, ia juga boleh menjejaskan tiub eustachian, trakea, farinks, larinks dan tiub bronkus.

Punca Berlakunya Selsema

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan kita dijangkiti selsema, iaitu:

#1 Jangkitan virus

Penyebab utama penyakit ni ialah virus. Dikatakan bahawa terdapat lebih 200 virus yang boleh menyebabkan selsema. Yang paling kerap mengakibatkan selsema ialah jangkitan rhinovirus dan coronavirus.

Selsema boleh dijangkiti apabila virus merebak melalui titisan air yang tersebar. Apabila orang yang telah dijangkiti virus bersin, batuk atau menyentuh sesuatu objek, kita juga boleh dijangkiti jika terkena titisan air tu.

#2 Alahan

Selain dijangkiti melalui pesakit, kita juga boleh diserang selsema disebabkan reaksi alahan atau alergik. Misalnya daripada bulu haiwan, habuk, asap, debunga dan wangian.

#3 Faktor cuaca

Cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk juga boleh mengakibatkan selsema bagi sesetengah orang.

#4 Imun badan

Imun badan yang rendah akan melemahkan pertahanan badan. Ini menyebabkan badan lebih mudah dijangkiti oleh virus atau bakteria.

Gejala Selsema

Sebelum dijangkiti selsema, terdapat beberapa tanda-tanda yang boleh dikenal pasti. Ibu bapa bolehlah pantau anak-anak kecil jika ada ciri-ciri di bawah ini, iaitu:

Tanda-tanda awal

Apabila diserang selsema, tanda paling awal ialah kerongkong mula menjadi kering dan perit, badan menjadi lemah dan berasa seram sejuk.

Hidung berair

Biasanya cecair berwarna jernih akan keluar dari hidung (runny nose). Kemudian, mukus (hingus) yang lebih pekat dan likat juga akan keluar.

Hidung sumbat

Disebabkan berlaku keradangan dan pembengkakan saluran darah, hidung akan mudah tersumbat. Ini akan menyebabkan penyempitan saluran hidung dan pengeluaran hingus akan menyebabkan kita bersin.

Batuk

Apabila berlaku keradangan di farinks iaitu rongga yang terletak di belakang mulut, kita akan mengalami batuk. Pada awalnya, batuk biasanya kering dan tak berkahak. Jika kongesi bronkus menjadi teruk, akan kerap batuk dan berkahak.

Peningkatan suhu badan

Apabila suhu badan meningkat, kita boleh diserang demam yang menyebabkan badan bertambah lemah. Selain itu, kita akan hilang selera makan dan ada juga kanak-kanak yang muntah apabila batuk.

Sakit telinga

Apabila mukus terhasil di belakang gegendang telinga, ia akan menyebabkan sakit telinga dan pendengaran juga boleh terganggu. Malahan, deria rasa dan bau juga berkurangan.

Sakit kepala

Apabila berlaku keradangan dan kongesi di bahagian saluran hidung dan sinus, kita akan mengalami sakit kepala.

Tips Rawatan Selsema

Sebenarnya selsema boleh baik dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan khusus. Namun untuk mengurangkan gejala dan mengelakkan komplikasi pada pesakit dan orang lain, rawatan boleh dilakukan.

Antara cara rawatannya ialah:

Anda boleh ke klinik, hospital atau farmasi untuk mendapatkan ubat-ubatan berdasarkan gejala yang dialami.

a. Dekongestan – Fungsinya untuk membuka laluan dan melegakan hidung yang tersumbat akibat pengeluaran mukus. Ubat seperti phenylephrine dan oxymetazoline dapat membantu memudahkan pernafasan.

b. Penahan batuk – Untuk merawat batuk yang kering dan tak berkahak, ubat dextromethorphan akan diberikan. Ia dapat menghentikan batuk.

c. Ekspektoran – Bagi merawat batuk berkahak pula ubat guaifenesin akan diberikan. Ia dapat membuka laluan hidung tersumbat dengan mencairkan dan mengeluarkan kahak.

d. Agen mukolitik – Apabila terlalu banyak mukus atau hingus, ubat bromhexine akan diberikan. Ia dapat mengeluarkan hingus yang banyak.

e. Antialahan – Gejala seperti bersin, gatal dan hidung berair boleh dikurangkan dengan pengambilan ubat loratadine dan tiprolidine.

f. Antipiretik – Apabila diserang sakit kepala dan demam, ubat ibuprofen dan acetaminophen dapat melegakan kesakitan.

g. Ubat-ubat lain – Jika tidur dan rehat terganggu disebabkan batuk dan sebagainya, ubat diphenhydramine akan diberikan.

Selain itu, beberapa langkah awal juga perlu diambil supaya jangkitan selsema dapat dicegah iaitu:

a. Kita perlu menjaga kebersihan diri terutamanya membasuh tangan dengan bersih, menutup mulut ketika batuk dan bersin.

b. Jika bersin, pastikan lap hidung dan mulut menggunakan tisu pakai buang. Jangan pula buang di merata tempat!

c. Jauhi tempat awam jika ada jangkitan virus yang berleluasa.

d. Amalkan gaya hidup sihat, makan makanan yang berkhasiat, bersenam dan tidak merokok dan jauhi minuman beralkohol.

e. Minum air kosong yang mencukupi sekurang-kurangnya 8 gelas setiap hari. Malahan, anda digalakkan untuk minum jus buah-buahan dapat kekalkan hidrasi badan.

Rawatan Tradisional Cegah Selsema

Selain dapatkan rawatan doktor, anda juga boleh mencuba petua-petua tradisional yang tak kurang hebatnya. Bahan-bahan yang digunakan semula jadi, mudah didapati dan murah saja.

a. Apa kata anda cuba minum air teh lemon. Lemon yang kaya dengan vitamin C sangat berkesan untuk mengubati selsema. Caranya buat air teh seperti biasa, perahkan setengah biji lemon. Tak perlu masukkan gula dan boleh digantikan dengan madu asli.

b. Tumbuk sedikit bawang merah. Ambil jusnya dan dicampurkan dengan minyak angin. Sapukan pada dada, belakang badan dan hidung. Jangan sapu banyak-banyak pula!

c. Bagi yang tiada selera makan, anda boleh makan nasi dengan sup ayam yang panas. Selain rasanya enak, ia dapat mengurangkan jangkitan pernafasan dan menguatkan imun. Jangan lupa tambahkan sayur-sayuran untuk mendapatkan khasiat yang tinggi.

d. Halia dikatakan dapat mengurangkan rasa nak muntah, memanaskan badan dan mengubati selsema. Caranya ialah sedikit halia dan masukkan ke dalam air yang sedikit panas. Anda juga boleh mencampurkannya dalam teh lemon.

Itu saja perkongsian penulis tentang topik jangkitan selsema. Diharapkan artikel ni dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Jangan lupa kongsikan ilmu yang bermanfaat ni kepada orang lain. Jemput juga baca tentang sopak dan nyanyuk 

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.