Mencari kelebihan selawat Tafrijiyah? Sebelum itu, kenapa kita dianjurkan untuk berselawat kepada Nabi Muhammad saw? Jawapannya adalah kerana Allah s.w.t telah memerintahkan hamba-hambanya supaya berselawat dan mengucapkan salam ke atas Nabi s.a.w dengan berfirman dalam Surah al-Ahzab,

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya, “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu untuk Nabi serta ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. (Surah al-Ahzab ayat 56)

Sebagai umat Nabi Muhammad saw, selawat adalah salah satu cara untuk kita membuktikan kecintaan serta tanda ingatan kita kepada junjungan mulia Nabi Muhammad saw. Amalan berselawat ini bukan sahaja diganjari rahmat daripada Allah swt, malah terdapat banyak lagi yang kita peroleh bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

selawat

Imej via junablogg

Antara kelebihan berselawat adalah:

1) Diampunkan dosa
Dari Anas bin Malik ra, beliau berkata bahawa Rasulullah saw bersabda,

مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ

Maksudnya, “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” (HR An-Nasa’i)

2) Mendapat Syafaat Rasulullah saw di Akhirat

Dari Ibn Mas’ud ra, bahawa Nabi saw bersabda,

أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً

Maksudnya, “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari qiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (HR at-Tirmizi)

3) Terhindar dari Dukacita

Ketika Ubai bin Ka’ab r.a. berkata bahawa beliau akan jadikan semua masa berdoanya untuk berselawat kepada Nabi saw, Baginda bersabda yang bermaksud, “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu.” (HR Imam Ahmad & at-Tirmizi)

Apa Itu Selawat Tafrijiyah?

Selawat Tafrijiyyah juga disebut sebagai Selawat Nariyah atau Selawat Kamilah yang membawa erti sempurna atau terbuka sehingga menjadi lapang. Harapnya, jika selawat ini diamalkan, ia dapat menghilangkan kesempitan yang kita hadapi dengan izin Allah swt.

Selawat Tafrijiyah adalah antara selawat yang terkenal diamalkan oleh sebahagian para ulama. Selawat ini juga dikenali sebagai Selawat at-Tafrijiyah al-Qurthubiyyah (dinisbahkan kepada Imam al-Qurtubi), dan ada juga ulama yang menisbahkannya kepada Imam ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Imam al-Husain.

Dr Rozaimi

Imejv via youtube

Menurut Dr Rozaimi Ramle, selawat tafrijiyah tidak ada dalam mana-mana riwayat hadis. Kerana selawat itu adalah suatu lafaz yang khusus, iaitu “Allahumma solli a’la Muhammad” atau “Sollallahu a’laihi wasallam”. Manakala, doa-doa yang dibaca selepas selawat itu adalah sebagai salah satu amalan tawasul kepada amal soleh. (Sedutan ceramah boleh didengar di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=_KCfHeEF7cE)

Selawat tafrijiyah memang sarat dengan doa yang kita mohon kepada Allah swt agar dilapangkan dari kesempitan, dicapaikan segala hajat dan juga diberi husnul khatimah.

Lafaz dan Makna Selawat Tafrijiyah

اَللَّهُمَّ صَلِّى صَلاتًا كَامِلَةً، وِسَلِّمْ سَلَامًا تَآمًا عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدِنِ الَّذِي تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ، وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْقُرَبُ، وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَآئِجُ، وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَآئِبُ، وَحُسْنُ الْخَوَاتِيمِ، وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْم، وَعَلَى اَلِهِ وصَحْبِهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ بِعَدَدِ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ

Ya Allah! Limpahkanlah rahmat yang sempurna, dan berilah kesejahteraan yang sempurna kepada junjungan kita Nabi Muhammad saw, yang menjadi sebab terlepasnya sesuatu yang masih mengalami jalan buntu, dan terbukanya kesempitan, serta didatanginya semua hajat, dan diperoleh semua pemberian, serta Husnul Khatimah (sempurna akhir hayatnya), dan diturunkan siraman mendung hujan lantaran keagungan Baginda.

(Dan limpahkanlah rahmat dan salam) kepada keluarga baginda dan sahabat di dalam setiap kerlipan mata dan nafas dengan bilangan semua yang diketahui oleh-Mu, wahai Zat yang menguasai seluruh alam”.

Kelebihan Mengamalkan Selawat Tafrijiyah

Seperti yang telah dinyatakan di atas, Allah swt memerintahkan kita berselawat kepada junjungan mulia Nabi Muhammad saw. Malah, banyak kelebihan yang kita peroleh daripada amalan selawat.

Namun bagi selawat tafrijiyah, seperti mana maksudnya iaitu sempurna atau terbuka sehingga menjadi lapang, maka selawat ini ibarat satu doa yang kita panjatkan kepada Allah swt agar dapat mengeluarkan kita daripada kesempitan yang kita hadapi.

Tasbih

Imej via siraplimau

Walaupun terdapat kenyataan berkenaan amalan membaca selawat tafrijiyah sebanyak 100 kali akan menghilangkan kesedihan manakala, membacanya sebanyak 4444 kali akan tercapai segala hajat.

Tetapi, pada hemat penulis, saranan membaca selawat sebanyak sebanyak 100 kali dan 4444 kali ini adalah daripada orang-orang wara’ yang mengajak masyarakat untuk amalkan selawat kepada Nabi Muhammad saw. Malah selawat tafrijiyah ini juga mengandungi banyak doa yang kita panjatkan kepada Allah swt. Sememangnya ia suatu selawat yang baik untuk kita amalkan.

Namun begitu, adalah lebih baik jika kita berselawat seikhlas hati kerana Allah taala tanpa perlu mengehadkan bacaan selawat itu kepada jumlah-jumlah tertentu. Seperti mana dalam hadis Nabi saw, Ubai bin Ka’ab r.a. berkata,

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي قَالَ مَا شِئْتَ قُلْتُ الرُّبُعَ قَالَ مَا شِئْتَ وإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ فالنِّصْفَ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا قَالَ إِذن تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

Maksudnya: “Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?”;

Baginda s.a.w., menjawab: “Sekadar mana yang engkau suka”;

Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”;

Baginda s.a.w., bersabda: “Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku”;

Baginda s.a.w bersabda: “Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masaku”;

Baginda s.a.w., bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan”;

Baginda s.a.w., bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu. (HR Imam Ahmad & at-Tirmizi)

Kesimpulan

Selawat tafrijiyah mengandungi banyak doa kepada Allah swt agar kita diberi kelapangan, dipenuhi segala hajat, diberi pengakhiran hidup yang baik serta ucapan selawat kepada Nabi saw serta keluarga Baginda agar mereka dilimpahkan rahmat serta kesejahteraan yang sempurna daripada Allah swt.

Ucapan selawat tafrijiyah ini mungkin sedikit panjang untuk dihafal. Oleh itu, anda boleh tulis ucapan ini pada sekeping kertas dan selitkan kertas tersebut di dalam al-Quran, mudah-mudahan, bila anda membuka al-Quran untuk mengaji, anda boleh membaca selawat tafrijiyah ini. Ataupun dengan kemudahan telefon pintar, anda boleh simpan gambar teks selawat tafrijiyah ini di dalam telefon pintar anda.

Amallah bacaan selawat ini sebanyak mana yang kita mampu. Tidak perlu mengehadkan bacaan ini pada jumlah-jumlah tertentu. Mudah-mudahan amalan kita semua diterima oleh Allah swt.

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Selawat Tafrijiyah yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

 

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.