Tidur selepas solat Subuh memang cukup sedap, tambah-tambah kalau pada waktu cuti, cuaca sejuk atau hujan renyai-renyai.

Ketika saya di universiti dulu, tidur selepas Subuh pada hujung minggu atau pada waktu cuti (banyak juga yang langsung tak bangun solat dalam waktunya) seolah-olah satu perkara yang wajib dilakukan. Suasana di blok asrama akan menjadi senyap sunyi pada pagi Jumaat. Menjelang jam 9 ke 10 pagi, barulah suasana akan hidup semula.

Sekarang ini pun, suasana tidak banyak berubah, tinjauan saya beberapa kali ke dewan penginapan pelajar pada waktu pagi hari cuti menunjukkan suasana masih sama. Pelajar-pelajar masih suka untuk tidur selepas waktu solat Subuh.

Saya percaya, tabiat tidur selepas solat Subuh ini tidak bermula di asrama, tapi ia bermula di rumah. Kadang-kadang, ada ibu bapa yang kasihan anak-anak yang bangkit awal setiap hari untuk ke sekolah, membiarkan anak-anak tidur hingga matahari meninggi pada waktu cuti sekolah.

anak-tidurchop.edu

Berikut merupakan sebab untuk tidak tidur selepas solat Subuh

Tidak Disukai Oleh Baginda Nabi

Dalam satu hadis riwayat Baihaqi diriwayatkan bahawa

“Satu hari Rasulullah datang ke rumah Fatimah pada waktu pagi dan melihatnya sedang tidur. Rasulullah SAW membangunkannya dan bersabda, “bangunlah, dan carilah rezeki rabbmu.”
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Itu kisah Rasulullah. Ada satu lagi kisah berkenaan tidur selepas solat Subuh yang melibatkan Ibnu Abbas RA, salah seorang sahabat besar Rasulullah SAW.

Dalam kitab Zaadul Maad tulisan Ibnul Qayyim, dikisahkan pada satu hari Ibnu Abbas RA pada suatu hari melihat anaknya tidur di waktu pagi, lalu Ibnu Abbas mengatakan kepada anaknya, “bangunlah! Apakah engkau tidur pada saat rezeki dibahagikan?”

Dua kisah dari kehidupan Rasulullah SAW dan sahabat baginda ini memberi petunjuk kepada kita bahawa anak-anak mesti diajar sejak awal untuk tidak tidur pada waktu pagi, terutamanya selepas solat Subuh.

Tidur Selepas Subuh Adalah Satu Perbuatan Yang Menunujukkan Sifat Malas

Jadual kehidupan seorang Muslim bermula awal pagi, sekurang-kurangnya dengan solat Subuh berjemaah di surau atau masjid, diikuti dengan zikir pagi dan bacaan Al Quran selepas solat Subuh yang cukup besar ganjarannya.

Kemudian dia berpagi-pagi mencari rezeki atau pada waktu cuti, menggunakan waktu lapang untuk melakukan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti berbasikal dan berkebun.

Menghilangkan Keberkatan Rezeki

Muslim yang baik tidak akan membazirkan waktu paginya dengan tidur hingga tengahari, tapi menggunakan waktu pagi untuk mencari keberkatan.

Sesekali jika terlalu mengantuk kerana ada urusan yang panjang di waktu malam mungkin tidak mengapa, tapi jika selalu dilakukan hingga menjadi tabiat, perlu diubah agar hidup lebih berkat dan murah rezeki.

Wallahua’lam.

Penulis: Hisham Sharif

Merupakan hamba, anak, ayah dan seorang suami. Merupakan penulis "Suami Bukan Malaikat Isteri Bukan Bidadari"," 43 Inspirasi Mendidik Anak" dan "Begini, Sayang". Beliau boleh dihubungi di websitenya

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.