sayang ibu ayah

muslimmatters.org

Setiap kali kita merenung anak-anak kita dengan penuh kasih sayang bagaikan akan tumpah melimpah, layangkanlah ingatan kita kepada ibu dan bapa kita. Mereka juga begitu kepada kita.

Kadang-kadang dalam kesibukan kita membesarkan anak-anak kita, kita terlupa kita juga pernah dibesarkan oleh dua insan mulia.

Kadang-kadang kerana kasihnya mereka kepada kita, mereka juga menegur kita akan cara keibubapaan kita.

Janganlah cepat ambil hati dan melenting memarahi atau mengherdik mereka kerana merasakan diri kita dicabar.

Ketahuilah, dalam banyak hal dan dalam kebanyakan keluarga, kejadian seperti itu adalah kerana mereka sangat sayangkan anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Jika anak-anak anda masih kecil perjalanan anda sebagai ibu bapa masih baru bermula. Anak anda masih kecil maka anda merasakan mereka masih kecil. Namun, akan sampai masanya apabila anak-anak anda sudah dewasa, namun anda masih merasakan mereka itu masih kecil dan memerlukan anda. Ketahuilah itulah yang dirasai oleh ibu dan bapa anda.

Oleh itu, jika mereka memberi nasihat seolah-olah anda masih kecil dan tidak tahu apa, BERSABARLAH. Bukan mereka memandang rendah diri anda, tetapi kerana mereka masih memerlukan anda memerlukan mereka. Oleh itu ucapkan sahaja terima kasih dan kucup pipi atau tangan mereka. Fokus kepada niat mereka iaitu kerana mereka kasih kepada anda.

Janganlah keluar herdikan kata-kata seperti

“Ah, saya dah lebih 35 tahun mak!!!! Bukan budak kecik lagi nak dicakap-cakap begitu!!!!”

Ingatlah suatu masa dahulu, anda pernah mengamuk, meronta, menyakitkan dia dan dia terus bersabar sebagaimana anda bersabar dengan ketidakcerdikan anak-anak kecil anda sekarang. Ingatlah,suatu masa dahulu anda pernah sakit dan dia bersengkang mata memastikan suhu badan anda tidak terlebih panas dan membahayakan sama seperti yang anda lakukan kepada anak-anak kecil anda.

Sayangi ibu bapa kita. Buat baik kepada mereka. Jangan kita melukakan hati mereka. Melukakan hati ibu bapa itu, berat padahnya. Kita kena ‘bayar cash’ di dunia ini.

Cara kita bertutur kepada ibu dan bapa kita akan dicontohi oleh anak-anak kita.

Ingatlah mata-mata kecil yang melihat dan meniru.

Penulis: Dr Rozieta Shaary

Prof. Dr. Rozieta Shaary atau juga dikenali sebagai Ibu Rose adalah Family & Love Guru yang telah berkecimpung dalam bidang Pembangunan Modan Insan dan pendidikan melebihi 25 tahun. Beliau boleh dihubungi di Facebooknya

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.