Saya percaya di luar sana, memang banyak konsert-konsert diadakan, samada artis luar negara mahupun dalam negara sendiri. Yang menyedihkan, walau anak itu nampak baik, bertudung litup, berbaju labuh, tapi kaki mereka tetap melangkah ke program seperti itu.

konsert

mynewshub.cc

Mungkin keterujaan dan minat terhadap artis-artis itu menyebabkan mereka terlupa yang Tuhan tidak menyukai perkara lagha, penuh maksiat, tidak mengingatkan kita kepadaNya.

Tidak menjadikan kita manusia lebih baik. Lupa apa maksud tudung yang tersarung di kepalanya. Tapi itulah realiti sekarang. Seperti sudah tidak jauh beza, solat atau tidak. Bertudung atau tidak.

Ya saya memang risau. Kalau anak saya bertudung, itu bukan lagi tiket untuk meyakinkan saya bagaimana dia menjaga diri di luar sana. Walaupun anak-anak saya masih kecil, belum pun masuk sekolah rendah, saya fikir ia perlu dibendung dari awal.

Memang lumrah manusia untuk suka menyertai sesuatu. Program, acara, karnival, aktiviti. Dan apa yang anak sertai, kebiasaannya bergantung kepada minat anak itu sendiri. Kalau minatnya artis Korea, maka dia akan membeli tiket konsert kPop. Jika minatnya sukan bola sepak, dia akan teruja untuk menyokong pasukan pilihannya. Lengkap dengan baju pasukan.

Saya cadangkan, jom kita tengok semula, apakah minat anak kita?

Minat itu memang kecenderungan manusia. Berdasarkan apa yang mereka biasa lakukan, apa yang didedahkan kepada mereka.

Jadi, sebelum anak kita minat artis kPop, bahkan artis tempatan sekalipun, lebih baik kita yang tanamkan minat mereka untuk menyertai program kepimpinan, ceramah agama, seminar-seminar yang memberikan ilmu pengetahuan, seminar kesedaran berkenaan sesuatu topik, kem motivasi, program kemanusiaan, program gotong-royong, program rekreasi yang menyihatkan badan.

kem motivasi

taskforcemiri.wordpress.com

Jangan kita hanya fokus pada mengulangkali pelajaran anak pada waktu malam, atau berfikir yang anak-anak sudah penat dan esok kena bangun awal untuk ke sekolah, atau hujung minggu ialah waktu berehat.

Percayalah, anak akan lebih bijak, terdidik, matang dan hebat bila terdedah dengan lebih banyak kebaikan dan pengalaman dari program-program yang bermanfaat. Keberkatan dari program itu sendiri akan menyisi jiwa anak-anak kita.

Kalau kita pergi ke program seumpama ini, bawa mereka sekali. Walaupun mereka masih kecil dan hanya tahu berkejaran ke sana ke sini dengan kawan baru.

Contohnya,

Kalau kita menghadiri kelas bacaan Quran, bawa satu keluarga. Biar anak-anak tahu, Quran itu penting dan seronok baca beramai-ramai.

Bawa mereka ke masjid untuk solat berjemaah, untuk dengar ceramah sehingga ia menjadi habit keluarga. Bawa mereka ke program selawat, mengunjungi rumah anak-anak yatim, menyertai program gotong-royong dan membantu orang susah.

InsyaAllah, nanti minatnya akan terbentuk pada pengisian rohani dan juga membantu orang lain. Mereka akan membeli tiket untuk ke seminar yang mendekatkan diri kepada Tuhan dan bukan tiket konsert-konsert lagha.

Penulis: Dr Siti Ujila

Dr Siti Ujila

Merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal danPembinaan, UPM. Minat berkongsi cerita-cerita motivasi dan memberi inspirasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.