Pernahkah anda mendengar ketupat sotong?

Makanan ini terbilang cukup menarik kerana ia bukan ketupat bungkus daun biasa melainkan ketupat yang memakai sotong sebagai “bungkus” nya. Anda yang belum pernah memakan ketupat sotong mesti bertanya-tanya macam mana bentuk dan rasa ketupat sotong.

Ketupat sotong atau juga dikenali sebagai sotong sumbat ialah sotong yang disumbat dengan pulut yang dimasak dalam santan pekat. Beras pulut ini akan dimasak bersama santan sebelum disumbat ke dalam sotong sebelum dihidang dengan kuah santan.

Hidangan istimewa ini walaupun mudah didapati di kawasan Terengganu dan Kelantan, khususnya pada musim mencandat sotong, tetapi masakan ini sukar untuk didapati di luar pantai timur dan lebih sukar lagi untuk mendapat resepi enak.

Namun begitu, ramai yang tidak tahu bahawa rahsia disebalik sajian bersotong yang enak ialah membuang kulit sotong yang berwarna ungu kemerahan terlebih dahulu untuk mengelakkan bau hanyir

Butter Kicap

Maka untuk mendapatkan resepi ketupat sotong sedap, sila ikuti resepi ketupat sotong versi Kelantan yang dikongsikan oleh Fatin Pauzi di Facebook dan telah kami buat sekemas mungkin untuk anda. Sila cuba dan share ketupat sotong buatan anda bagi yang tak pernah memakannya.

Resepi Ketupat Sotong

ketupat sotong

Imej via Facebook

Bahan-bahan (Untuk makan 10 orang) :

  • Sotong 4 kg.
  • Pulut susu 1 kg.
  • Gula melaka 8 kerek kecik.
  • Daun pandan 3 helai.
  • Lidi pengcukil gigi.
  • Santan cair 1 kg.
  • Santan pekat 1 kg.

Cara Membuat :

1. Siang sotong dan buang kulit dan mata. Basuh dengan air garam dan toskan.

2. Basuh pulut susu dan toskan.

3. Siat kecik kecik daun pandan dan letak pada dasar periuk.

4. Letak santan pekat dan garam secukupnya ke dalam pulut susu yang telah dibasuh dan gaul sebati. Rasa sedikit untuk pastikan cukup masinnya.

5. Masukkan pulut susu ke dalam sotong dan tinggal suku ruang bagi ruang pulut mengembang. Jangan terlalu ketat dan terlalu longgar kerana takut sotong pecah waktu masak nanti.

6. Sumbat kepala sotong pada bahagian atas dan cucuk lidi menyilang menikam kepala dan badan sotong.

7. Terus masukkan sotong yang disumbat pulut ke dalam periuk berisi daun pandan.

ketupat sotong

Imej via Facebook

8. Setelah siap, letakkan periuk di atas dapur tanpa perlu nyalakan api.

9. Masukkan santan cair dan lebihan santan pekat ke dalam periuk berisi sotong. Campur setengah cawan air ke dalam santan. Tak perlu kacau.

10. Letak gula melaka ke dalam periuk tadi tanpa perlu pecahkan.

ketupat sotong

Imej via Facebook

11. Buka api sederhana kecil dan tunggu sehingga gula melaka hancur dan santan sedikit pekat.

12. Setelah rasa manis okay dan santan sedikit pekat, boleh tutup api dan makan.

Resepi Menarik Lain

Selain resepi ketupat sotong, kami juga menulis resepi sedap dan mudah lain yang mendapat perkongsian ramai. Jemput baca dan mencubanya. Jangan lupa share dan like resepi ini ya.

Penulis: Rahayu Z

Pelajar yang menyukai kartun dan muzik. Memiliki hobi menulis mendorong ia untuk berkarya dan berkongsi di Bidadari.my

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.