Nak tahu cara atau tips rawatan rambut beruban?

Masalah rambut beruban bagi golongan yang sudah berumur, bukanlah hal yang pelik. Bukan saja rambut, malah misai dan jambang juga akan memutih seiring dengan usia. Ada juga yang berhadapan dengan masalah rambut semakin menipis, botak dan sebagainya.

Namun, yang nampak sedikit janggal ialah apabila melihat lelaki atau wanita yang jauh lebih muda sudah beruban. Senang cakap, dah beruban sebelum tua. Sudah tentu mereka berasa tak selesa, malu dan kurang keyakinan diri kerana rambut merupakan mahkota kecantikan.

Bagi wanita yang bertudung, tak menjadi masalah. Mereka boleh menyembunyikan kekurangan itu. Yang menjadi masalah tentulah bagi orang yang tak bertudung atau wanita yang bukan beragama Islam. Tentulah kaum wanita akan berasa lebih malu berbanding lelaki.

Macam-macam cara dibuat untuk menyelesaikan masalah ni. Ada lelaki yang membotakkan terus kepala, ada pula yang memakai pewarna rambut. Bagi wanita, mungkin cara yang mudah ialah memakai inai di kepala atau menggunakan rambut palsu.

Jangan risau. Dalam artikel ni, penulis akan kongsikan cara-cara untuk membuat rawatan untuk rambut beruban. Sebelum tu, mari kita baca sebab masalah ini berlaku.

Punca Rambut Beruban

Menurut Pakar Kulit Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Nazirin Ariffin, kebanyakan orang Asia akan melalui fasa rambut beruban pada umur akhir 30-an. Malahan, ada individu yang mengalami uban yang ketara pada umur 50-an.

Namun, bukanlah sesuatu yang mustahil apabila ada golongan lelaki dan wanita yang sudah mula beruban pada usia belum mencecah 30-an. Beliau berkata, perkara ni tak berkait dengan masalah dalam tubuh.

Apabila sel-sel yang mengeluarkan pigmen melanocytes (sel kulit khas yang mengeluarkan pigmen melanin untuk rambut) berhenti menghasilkan pigmen tu, rambut akan bertukar menjadi putih.

Selain tu, rambut beruban juga disebabkan oleh kerosakan pada sistem penghantaran pigmen dari akar rambut ke sel keratinocytes di batang rambut. Sebenarnya, punca sebenar rambut beruban masih tak dapat dipastikan lagi.

Namun, faktor genetik seperti Sindrom Down, Progeria dan Sindrom Rothmund Thompson, stres, kekurangan protein, kekurangan vitamin B12, sopak, masalah kelenjar pituitari dan tiroid berpotensi mengakibatkan rambut beruban.

Rawatan Rambut Beruban

Setiap penyakit, ada ubatnya. Setiap masalah, ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, anda yang mengalami masalah ni, tak perlu risau dan berasa hilang keyakinan diri. Ada pelbagai rawatan yang boleh dilakukan untuk mengatasi atau mengurangkan masalah ni.

#1 Pengambilan Paminobenzoic Acid (PABA)

Jika masalah uban disebabkan oleh kekurangan zat besi, zat tembaga, vitamin B12 atau protein yang ketara, pengambilan PABA pada dos yang tinggi boleh menyebabkan rambut menjadi hitam semula.

Walau bagaimanapun, jika ubat ni tak dimakan selepas 2 hingga 4 minggu, rambut akan kembali beruban.

#2 Penggunaan Pewarna Rambut

Kaedah ni pastinya menjadi pilihan yang paling popular bagi orang yang masih muda. Anda boleh menggunakan pewarna kekal dan separuh kekal. Berbanding pewarna kimia ni, lebih baik anda menggunakan daun inai kerana lebih bersifat semula jadi.

Malahan penggunaan inai juga boleh memberikan kebaikan dari aspek yang lain seperti menyihatkan kulit kepala, menyejukkan dan memperkuat akar rambut. Rawatan ni sesuai untuk orang yang tak mempunyai banyak uban.

#3 Rawatan Tradisional

Rawatan tradisional ni boleh dilakukan di rumah. Kosnya juga murah dan bahan-bahan boleh didapati di dapur atau di sekeliling rumah. Antaranya ialah menyapu santan atau minyak kelapa di rambut. Sapukan di kepala dan biarkan selama sejam. Kemudian, basuh menggunakan syampu yang bersesuaian bersih-bersih.

Selain itu, air rendaman teh semalaman boleh digunakan untuk menghitamkan rambut. Sapukan pada rambut setiap hari selama dua minggu untuk kesan yang bagus. Lakukan proses ini 2 jam sebelum mandi pada waktu pagi.

Malahan, petua menggunakan yogurt dan daun kari juga dikatakan berkesan untuk mengatasi masalah rambut beruban. Caranya ialah kisar segenggam daun kari yang dicuci bersih-bersih. Kemudian, campurkan dengan secawan yogurt. Sapukan pada rambut setiap hari sebelum mandi.

#4 Pemakanan dan Gaya Hidup Sihat

Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam amalan pemakanan harian. Makan lebih banyak bayam, brokoli, tomato, ikan salmon, daging dan telur. Anda juga boleh mengambil minyak zaitun, teh hijau dan kekacang untuk menambahkan protein dan vitamin yang kurang di dalam badan.

Paling penting sekali, hentikan tabiat merokok dan minum alkohol. Elakkan diri daripada stres dan lakukan aktiviti kegemaran untuk menggembirakan hati. Jangan lupa bersenam untuk menguatkan tubuh badan.

#5 Krim Rawatan Rambut

Terdapat banyak krim rawatan rambut di pasaran yang anda boleh cuba. Ada yang berfungsi untuk merawat masalah sehingga ke akar rambut. Namun, pastikan bahan yang digunakan tidak mengandungi kimia yang berbahaya untuk kesan yang pantas tetapi sementara saja.

#6 Rawatan Akupuntur

Rawatan akupuntur merupakan teknik yang semakin popular bagi orang yang ada masalah rambut beruban. Rawatan ni menggunakan jarum khas yang ditusuk ke bahagian kulit kepala. Ia kemudian disambungkan dengan kabel aliran elektrik selama 30 minit.

Rawatan ni bukan saja dapat mengaktifkan penghasilan melanin, ia juga memberikan rangsangan di kulit kepala sekitar uban rambut. Bagi yang nak mencuba, boleh ke pusat akupuntur berdekatan.

#7 Menjaga Kebersihan Diri

Jangan lupa membasuh rambut setiap hari. Jika anda seorang yang kuat berpeluh, jangan biarkan rambut tak dibersihkan. Gunakan syampu yang khas untuk masalah rambut anda. Anda boleh ke salun rambut yang menyediakan perkhidmatan mencuci rambut yang bermasalah.

Jika ada masalah kelemumur, gatal-gatal, rambut mudah gugur dan sebagainya, dapatkan rawatan sebelum ia melarat. Kemungkinan masalah-masalah ni juga menjadi punca rambut beruban dengan cepat.

Itu saja perkongsian penulis tentang cara rawatan rabun beruban bagi masalah rambut beruban. Anda bolehlah mencuba tips-tips yang dikongsikan ni. Yang penting, jangan berasa malu dan rasa ‘tua’ bila mempunyai masalah rambut memutih sebelum tua.

Bagi lelaki, anda boleh mempelbagaikan gaya potongan rambut untuk nampak lebih ‘style’ atau jika suka boleh juga botakkan kepala. Bagi wanita pula, anda boleh memakai inai untuk memberi kesan warna perang yang cantik. Malahan, anda juga boleh buat potongan rambut yang cantik bagi yang tak bertudung. Semoga bermanfaat.

Jemput baca artikel cara melebatkan rambut cara hilangkan kutu rambut dan punca rambut gugur

Rujukan

https://www.bharian.com.my/node/62313

http://www.myhealth.gov.my/tampil-anggun-beruban/

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.