Ketuat atau kutil merupakan pertumbuhan kecil yang bertekstur kasar, muncul pada mana-mana bahagian badan.

Antara jenis ketuat termasuklah ketuat biasa, ketuat rata, ketuat berpigmen dan ketuat plantar.Masalah ketuat bukan lagi asing dalam masyarakat kita kerana satu daripada 3 orang kanak-kanak pernah mengalaminya.

3 hingga 5 peratus golongan dewasa juga mengalami ketuat. Hal ini mungkin disebabkan oleh sistem imunisasi golongan dewasa yang lebih efisien berbanding kanak-kanak.

Ramai di antara kita yang lebih gemar menghilangkannya sendiri menggunakan pemotong kuku tanpa mengetahui rawatan yang betul.

Ada juga yang masih kurang faham bagaimana ia boleh terbentuk. Usah risau, di sini saya kongsikan punca dan cara rawatan yang betul dan berkesan menurut pakar.

Bagaimana Ketuat Terbentuk?

Ketuat terjadi disebabkan oleh jangkitan ‘Human Papiloma Virus’. Virus ini mempunyai lebih 100 jenis dan hanya sesetengah jenis sahaja yang boleh menyebabkan masalah ketuat.

Ketuat boleh terjadi melalui sentuhan dengan objek atau manusia yang dijangkiti oleh HPV. Lazimnya, HPV menjangkiti lapisan luar kulit melalui luka kecil dan menyebabkan pertumbuhan sel yang pesat sehingga membentuk ketuat.

Bukan semua orang yang dijangkiti HPV akan mengalami ketuat.Hal ini kerana, ia bergantung kepada sistem imun individu tersebut sama ada boleh bertindak balas melawan dengan virus ini ataupun tidak.

KETUAT
Imej via Naturalsociety.com

Individu yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit AIDS dan pesakit yang baru sahaja menjalani pemindahan organ lebih mudah terkena ketuat.

Ketuat mengambil masa 2 hingga 6 bulan untuk pembentukan selepas terdedah kepada HPV.Titik hitam yang terdapat pada ketuat sebenarnya adalah saluran darah.

Justeru itu, membuang ketuat sendiri menggunakan benda tajam bukanlah tindakan yang bijak.

Apakah Rawatan Yang Sering di Cadangkan oleh Doktor?

Ketuat tidak berbahaya dan kebanyakannya boleh hilang dengan sendiri dalam masa beberapa minggu hingga beberapa tahun.

Walaupun begitu, ramai diantara pesakit yang lebih gemar membuang ketuat dengan cara tertentu disebabkan oleh ketidakselesaan.Berikut adalah antara rawatan yang sering dicadangkan oleh doktor dan ahli farmasi:

1. Asid Salisilik

Terdapat banyak produk pembuangan ketuat yang dijual di farmasi mengandungi asid salisilik dengan kepekatan tertentu.

Asid salisilik merupakan cara rawatan paling mudah dan berkesan bergantung kepada jenis ketuat.

Ia boleh didapati dalam bentuk cecair dan penampal.

Asid ini bertindak dengan cara menghakis dan menanggalkan lapisan kulit yang keras.

Oleh itu,jangan gunakan asid ini diatas kulit yang sihat untuk mengelakkan kulit sihat terhakis.

Rawatan ini selalunya perlu dilakukan selama beberapa minggu sehingga ketuat beransur hilang.

Imej via Modgo

2. Krioterapi

Krioterapi kebiasaannya dijalankan oleh doktor dengan menyembur cecair nitrogen ke atas ketuat.

Rawatan ini mampu menghapuskan sel yang dijangkiti dan menyebabkan ia tanggal dengan sendirinya selepas beberapa minggu ia dirawat.

Selain cecair nitrogen, Dimethyl-ether atau propane juga antara bahan yang boleh digunakan dalam rawatan ini.Bahan ini boleh didapati di sesetengah farmasi.

Akan tetapi, sila dapatkan nasihat dari ahli farmasi terlebih dahulu sebelum cuba untuk melakukannya sendiri ya!

3. Pembedahan

Pembedahan amat jarang dilakukan untuk menghilangkan ketuat kerana ia berpotensi untuk meninggalkan parut.

Ketuat yang tanggal dengan sendiri tidak meninggalkan kesan parut.Ia hanya dilakukan sekiranya rawatan lain tidak berkesan.

Pisau pembedahan digunakan untuk membuang ketuat dan pesakit kebiasaannya diberikan ubat  anestasia bagi tujuan tahan sakit.Krim sapu juga akan diberikan untuk meningkatkan peluang sembuh.

Ada juga rawatan yang menggunakan laser khusus untuk menghapuskan ketuat.

4. Cantharidin

Bagi rawatan ini pula, doktor akan menggunakan ekstrak daripada sejenis kumbang dan beberapa jenis bahan kimia yang lain ke atas ketuat yang seterusnya akan dibalut.

Rawatan ini tidak menyebabkan kesakitan, tetapi akan menyebabkan lepuhan pada ketuat.Lepuhan ini akan membantu menaikkan ketuat bagi memudahkan ia dibuang.

5. Suntikan Antigen Candida

Jika sistem imunisasi manusia tidak mengenali ketuat sebagai ancaman, rawatan ini boleh membantu anda!

Selepas suntikan ini diberikan, sel imun diaktifkan dan boleh melawan virus yang menyebabkan ketuat terbentuk.Rawatan ini tidak meninggalkan kesan parut pada pesakit.

Walaupun ia rawatan yang berkesan, rawatan ini tidak dicadangkan kepada wanita yang mengandung.

Cara Mencegah ketuat?

Elakkan menyentuh ketuat atau menanggalkan ketuat dengan sendiri menggunakan penyepit kuku.

Ia hanya akan menyebabkan kecederaan dan meningkatkan risiko perebakan ke kawasan lain badan atau individu yang lain.

Hentikan tabiat menggigit kuku untuk mengelakkan risiko kecederaan yang memudahkan virus untuk menjangkiti kulit anda.

Amalkan tabiat kebersihan diri yang baik dan dapatkan nasihat doktor jika anda kurang pasti mengenai rawatan yang paling sesuai.

Rujukan

Penulis: Meedanadira

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang bioteknologi tumbuhan. Sedang berkhidmat dalam bidang farmasi dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang biosains dan biomedik. Saya juga percaya tiada pengakhiran dalam menuntut ilmu selagi kita bernyawa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.