Di dalam Bahasa Arab, purdah disebut sebagai niqab. Menurut Kamus Arab-Melayu Dewan, purdah itu bermaksud kain penutup muka perempuan. Orang Indonesia pula menggelarkannya sebagai cadar, asalkan ia bertutup.
Secara lazimnya, kain tersebut digunakan menutup sebahagian besar kawasan muka sesorang perempuan melainkan matanya sahaja.
Mengikut mazhab imam Syafi’ie, “aurat perempuan yang merdeka adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah. Pendapat lain mengatakan seluruh tubuh perempuan adalah aurat termasuk muka dan kedua-dua tangan”.
Maksudnya disini, Sebilangan ulama berpendapat bahawa muka dan kedua-dua tangan bukan dikategorikan sebagai aurat dan memakai purdah bukanlah suatu yang wajib. Ya, memang benar memakai purdah itu tidak digalakkan tetapi memakai purdah dapat mengelakkan diri dari difitnah.
Jadi tidak salah untuk anda cuba memakai purdah. Jom lihat beberapa tips mula memakai purdah.
Kawan adalah pengaruh paling besar dalam dunia ini. Apabila kita sudah berkawan dengan orang yang memakai purdah, sudah tentunya kita mula merasa minat untuk memakainya. Sebagai manusia, pastinya ada rasa sifat ingin mencuba dalam diri.
Berkawan dengan yang mereka yang memakai purdah mungkin memudahkan seseorang untuk berubah. Kita dapat melakukan aktiviti bersama dengan mereka. Aktiviti bersama mereka selalunya berfaedah seperti membaca al-quran, mendengar ceramah dan pergi kuliah.
Walaupun ini adalah pertama kali memakai purdah, pasti akan ada yang tidak menyukai kita. Pasti mereka mencaci, mengejek, mengutuk dan sebagainya. Itu adalah perkara biasa bagi orang yang hendak berubah ke jalan Allah. Jangan risau, kawan yang baik pasti akan menyokong kita dari belakang untuk kita teruskan berhijrah.
Berdasarkan pengalaman, kita dapat belajar tentang sesuatu perkara. Bak kata orang dulu-dulu, ilmu itu berada dimana-mana sahaja. Oleh itu, carilah ilmu dengan mendengar pengalaman orang lain.
Anda boleh mendengar pengalaman dari mereka yang telah memakai purdah. Ini juga merupakan permulaan untuk anda mula memakainya. Bacalah kisah-kisah pengalaman si pemakai purdah yang lain.
Memang penting untuk anda melihat cara berpudah di Youtube. Apatah lagi jika tiada siapa yang mengajar anda. Semua maklumat berkaitan purdah harus anda cari sendiri. Cara menggayakan purdah dan cara makan dengan memakai purdah boleh dipelajari melalui video.
Medium terbaik untuk anda gunakan adalah youtube. Belajar memakai purdah dan makan dengan memakai purdah di Youtube sedikit sebanyak membantu anda untuk lebih mahir dan cekap dengan mengenakan purdah.
Dengan menghadiri kelas agama, anda dapat menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan purdah dan istiqamah. Pelbagai faedah yang diperolehi dengan menghadiri kelas agama.
Antaranya adalah anda akan lebih istiqamah, kuatkan pendirian dan lebih selesa mengenakan purdah kerana ramai rakan-rakan yang menyokong dan serupa seperti anda.
Selain itu, kita dapat mengenali agama dengan lengkap dan berdakwah di jalan Allah. Sambil itu, anda dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah.
Adakah kita memakai purdah hanya untuk mengikut trend atau fesyen semata-mata? Sekiranya anda berniat begitu maka berubah lah. Niat untuk memakai purdah ini adalah untuk memelihara diri dari perkara yang mendatangkan maksiat dan untuk menjaga keselamatan diri bukan sekadar mengikut trend semata-mata.
Bagi pemula pemakai purdah, buatlah hal yang wajib dahulu. Sekurang-kurangnya purdah adalah sehelai kain menutupi wajah bagi menjaga kemaslahatan agama anda. Ia adalah untuk menjaga luaran sekaligus dalaman anda.
Purdah atau niqab ini adalah pakaian sunnah para isteri Rasulullah SAW. Jadi, kita wajib untuk memeliharanya. Jangan jadikan pakaian sunnah ini sebagai fitnah.
Sebagai contoh, masih ada sebahagian muslimah ini yang memakai niqab untuk tutup muka tetapi lengannya masih nampak, bentuk dada nampak, pakaian ketat, jarang, akhlak tak dijaga. Ia sudah mendatangkan fitnah buat para niqabi yang lain kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Menjalankan aktiviti lasak tidak menghalang kita daripada memakai purdah. Biasakan persekitaran anda dengan sentiasa memakai purdah. Sesetengah tempat belajar seperti di universiti ada yang mengizinkan untuk berpurdah manakala sesetengah lagi tidak mengizinkannya atas sebab tertentu.
Ia tidak menjadi masalah,anda boleh sahaja memakai purdah di luar sana. Mungkin anda boleh sesuaikan diri dengan persekitaran luar selain dari universiti atau kolej. Sebaiknya, pakailah dimana sahaja anda pergi dan ketika keluar.
Bagi pemula pemakai purdah, anda harus berfikiran positif untuk memulakan hidup baru. Adakalanya kehidupan kita tidak sama seperti dulu lagi. Mungkin ada rakan yang tidak menyenangi kita dan kita tidak boleh bersosial seperti dulu lagi.
Namun begitu, anda harus berfikiran positif kerana anda melalukan benda yang baik. Fikiran positif juga akan membuat seseorang menerima keadaan dirinya dengan besar hati. Apa yang ada pada dirinya adalah sumber motivasi luar biasa yang dapat menampung diri dan hatinya untuk tetap bertahan dalam keadaan apa pun.
Jadikanlah niat memakai purdah ini sebagai sebuah titik permulaan hijrah untuk diri anda. Semoga semuanya dipermudahkan! Semoga artikel kali ini bermanfaat dan menjadi panduan buat anda.
Jemput baca juga Aurat Perempuan, Kisah Nabi Yusuf yang lengkap dan Pengasas Sendayu Tinggi.