Sesiapa sahaja pasti tidak selesa jika kerap berpeluh, bukan? Lebih-lebih lagi peluh di bahagian ketiak, tapak tangan dan kaki. Apabila tapak tangan berpeluh, memang agak susah untuk kita bersalaman dengan orang. Berpeluh di bahagian ketiak dan kaki pula boleh mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Ada juga kes, tapak tangan asyik berpeluh sehingga sukar untuk ‘scan’ cap jari di bank sehingga perlu dilakukan berkali-kali. Ia amat menyusahkan kerana kita akan rasa malu untuk bersalaman dengan orang lain. Kadang-kadang kita tidak melakukan apa-apa kerja yang berat tetapi tetap berpeluh.

Kenapa tapak tangan kita mudah berpeluh? Adakah ia satu penyakit yang berbahaya?

Mari kami kongsikan kepada anda info sebenar mengenai tapak tangan kerap berpeluh dan cara rawatannya. Info ini dikongsikan oleh Dr. Kamarul Ariffin. Beliau merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau juga antara barisan doktor di sebalik Medikal Mythbusters Malaysia. Mari kita baca info yang dikongsikan oleh Dr Kamarul.

Kenapa tapak tangan kerap berpeluh?

tapak tangan berpeluh dan cara rawatannya
Image via Facebook

Kondisi ini dinamakan hiperhidrosis, iaitu peluh berlebihan adalah keadaan di mana terdapat peluh di luar keperluan fisiologi badan. Kondisi ini tidak membahayakan nyawa, namun boleh memberi kesan yang ketara ke atas kualiti hidup individu yang mengalaminya:

  • Kerap mengelap tangan
  • Sukar pegang barang, menulis dan bermain alat muzik
  • Sukar beriadah atau bersukan
  • Malu bersosial kerana badan dan ketiak berpeluh
  • Bau busuk di bahagian ketiak dan kaki

Hiperhidrosis ini mungkin disebabkan faktor keturunan. Ia lazimnya bermula di zaman kanak-kanak atau remaja. Ada sesetengahnya, hilang setelah mencapai umur dewasa, namun ada sesetengahnya berterusan hingga ke tua.

Apa puncanya? 

Hiperhidrosis Primer:

Berlaku apabila sistem saraf simpatetik yang mengawal aktiviti kelenjar peluh, terlalu aktif. Namun, punca ia berlaku masih tidak diketahui. Biasanya berlaku di tapak tangan dan kaki, serta ketiak. Sesetengahnya di muka dan di belakang badan.

Hiperhidrosis Sekunder:

Berlaku disebabkan oleh penyakit seperti kencing manis, obesiti, hipertiroidisme, jangkitan seperti batuk kering (tuberculosis) dan kanser kelenjar limfa seperti limfoma. Secara amnya ia memberi kesan kepada seluruh badan.

Selain itu, ada beberapa punca kepada kondisi ni! 

  • Tekanan emosi 
  • Senaman
  • Kepanasan/Haba 
  • Makanan pedas

Cara rawatan untuk hiperhidrosis

Ubat topikal antipeluh 

Boleh gunakan spray antiperspiran dan deodoran komersial yang boleh di dapati di pasaran. Jika tidak berkesan, gunakan aluminium klorida heksahidrat. Ia memerlukan penggunaan setiap hari untuk 7 hingga 10 hari terawal berturut-turut, kemudian sekali seminggu untuk mengekalkannya.

Ubat makan antipeluh

Ubat antikolinergik berfungsi dengan menghalang aktiviti asetilkolina yang bertanggungjawab mengaktifkan sistem simpatetik. INi akan mengurangkan penghasilan peluh. Contoh ubat antikolinergik: glycopyrrolate dan propantheline bromida.

Iontophoresis

Ia adalah proses mengalirkan tenaga elektrik menerusi lapisan kulit menggunakan air paip sebagai media. Pada awal sesi rawatan, ia mengambil masa lebih kurang 20 minit setiap 2 atau 3 hari. Selepas itu setiap sesi rawatan boleh dijalankan setiap 2 minggu.

Suntikan Botulinum Toxin (botox)

Rawatan ini melibatkan suntikan botox pada kawasan yang terlibat dan perlu diulangi setiap 4 hingga 5 bulan. Kesan daripada pengambilan botox termasuk rasa sakit dan lemah otot yang sementara.

Pembedahan Simpatektomi Toraks Endoskopi (ETS) 

Prosedur ini hanya boleh dilakukan jika langkah-langkah yang lain telah gagal. Pakar bedah akan membuat pembelahan kecil di bawah ketiak dan memasukkan instrumen endoskopik khas ke dalam dada untuk memotong saraf yang terlibat dengan kelenjar peluh.

*Hiperhidrosis ini tidak begitu merbahaya kerana ia tidak membawa kepada kematian. Cuma ia boleh mengganggu aktiviti harian kita. Jika rasa ragu-ragu, pergi berjumpa doktor atau pakar-pakar yang berdekatan untuk memeriksa sejauh mana tahap berpeluh dan dapatkan nasihat daripada mereka. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Penulis: aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.