Nak tahu punca rambut gugur?

Seorang dewasa mempunyai kira-kira 100,000 sehingga 150,000 rambut. Kita kehilangan kira-kira 100 helai rambut setiap hari. Walaupun rambut gugur adalah perkara biasa, namun ada sebahagian keguguran rambut berpunca daripada masalah tertentu. Jenis-jenis keguguran rambut yang merupakan punca kepada masalah ini akan dijelaskan di dalam artikel ini.

rambut gugur
Sumber: Bidadari.my

Sebelum itu, baik kita mengenali asal-usul atau dari mana datangnya rambut. Rambut adalah daripada protein yang dipanggil keratin. Ia dihasilkan di dalam folikel rambut di lapisan luar kulit. Semasa folikel menghasilkan sel rambut yang baru, sel-sel yang lama ditolak menerusi permukaan kulit pada kadar 6 inci setahun. Oleh itu, rambut yang kita lihat sekarang ialah lembaran sel keratin yang sudah mati.

Setiap folikel mempunyai kitaran hidupnya sendiri yang dipengaruhi oleh usia, penyakit dan banyak lagi faktor yang lain.

Kitaran hidup folikel rambut terdiri daripada 3 fasa;

  1. Fasa pertumbuhan (Anagen) – pertumbuhan rambut aktif yang bertahan di antara 2 sehingga 6 tahun.
  2. Fasa segenerasi separa (Catagen) – pertumbuhan rambut sementara yang bertahan 2 sehingga 3 minggu.
  3. Fasa rehat (Telogen) – fasa berehat yang berlanjutan kira-kira 2 sehingga 3 bulan. Pada penghujung fasa ini, rambut akan gugur dan rambut baharu akan menggantikannya. Selepas itu, bermulalah semula kitarannya.

Rambut gugur terbahagi kepada banyak jenis yang juga disebut sebagai alopesia.

  • Involusional alopesia

Keadaan semulajadi di mana rambut semakin menipis mengikut usia. Pada masa ini, lebih banyak folikel rambut menuju ke fasa rehat. Rambut yang ada semakin pendek dan tidak banyak.

  • Androgenik alopesia

Keadaan genetik yang memberi kesan kepada lelaki dan wanita dengan seawal usia remaja bagi lelaki dan pada usia 40an bagi wanita. Rambut semakin menipis dan mulai botak. Bagi lelaki, mereka akan mengalami botak pada anak rambut bahagian hadapan dan atas kepala. Botak yang berlaku kepada wanita pula terlihat pada rambut yang kian menipis pada seluruh bahagian kepala.

  • Alopesia areata

Berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan keguguran rambut tidak sekata di kalangan kanak-kanak dan orang muda. Keadaan ini boleh menyebabkan botak tapi rambut akan kembali tumbuh selepas beberapa tahun.

  • Alopesia universalis

Ia adalah keadaan di mana semua rambut pada tubuh gugur termasuk kening, bulu mata dan bulu kemaluan.

  • Trichotillomania

Selalu berlaku pada individu di mana mereka mencabut rambut mereka sendiri. Ia merupakan masalah psikologi. Biasanya, masalah ini lebih banyak berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Ia juga dikaitkan dengan masalah kemurungan. Masalah kemurungan dirawat dengan terapi psikologikal.

  • Telogen effluvium

Rambut pada kulit kepada kian menipis kerana perubahan kitaran pertumbuhan rambut. Ini disebabkan oleh fasa rehat yang dialami sejumlah besar rambut pada masa yang sama. Namun demikian, keadaan ini hanyalah sementara. Antara keadaan yang menyumbang kepada jenis keguguran ini ialah sakit yang serius, pembedahan besar dan selepas melahirkan anak.

  • Scarring alopesia

Ia terjadi akibat radang pada kulit atau masalah kulit yang lain seperti akne dan lupus. Ia menyebabkan keguguran kekal pada rambut. Parut-parutnya menyebabkan rambut tidak boleh tumbuh lagi. Rambut yang diikat terlalu ketat dan ditarik juga boleh menyebabkan keguguran kekal rambut.

rambut gugur
Sumber: Siraplimau

Setelah membaca semua jenis keguguran rambut di atas, kita mungkin dapat membayangkan sedikit-sebanyak akan punca kehilangan rambut. Namun, bagi kemudahan pembaca, berikut disenaraikan beberapa punca yang menyebabkan berlakunya keguguran rambut.

  • Hormon – tahap androgen yang tidak normal sama ada di kalangan lelaki atau wanita.
  • Gen – gen daripada ibu atau bapa
  • Tekanan, sakit dan melahirkan anak – boleh menyebabkan keguguran rambut sementara. Kurap juga boleh menyebabkan keguguran rambut.
  • Dadah atau ubat-ubatan – ubat-ubatan yang digunakan dalam – contohnya, rawatan kanser, tekanan darah tinggi, dan perancang kehamilan boleh menyebabkan rambut gugur sementara.
  • Terbakar, cedera, dan X-ray – Rambut akan kembali tumbuh selepas kecederaan pulih kecuali jika kawasan yang cedera menghasilkan parut.
  • Penyakit autoimun – Ia menyebabkan masalah alopesia arreata.
  • Prosedur kosmetik – Aktiviti mencantikkan rambut seperti syampu terlalu kerap, mengeritingkan dan mewarnakan rambut boleh menipiskan rambut akibat rambut menjadi lemah dan rapuh. Rambut biasanya boleh tumbuh semula kecuali ada kerosakan teruk terutama pada kulit kepala.
  • Keadaan perubatan – masalah pemakanan, anemia, diabetes, lupus, dan tiroid adalah sebahagian penyakit yang boleh menyebabkan keguguran rambut. Keguguran rmabut berlaku kerada adanya kesan sampingan daripada ubat-ubatan yang diambil pesakit. Biasanya, masalah ini akan hilang setelah penyakit-penyakit itu sembuh kecuali bagi penyakit seperti lupus.
  • Diet – diet yang menumpukan kepada protein yang rendah serta kalori yang rendah akan menyebabkan keguguran rambut sementara.
rambut gugur
Sumber: Mdekmal

Bagi mereka yang mengalami keguguran rambut yang tidak normal atau teruk, pastinya ini membimbangkan. Oleh itu, anda amat digalakkan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor bagi mengenalpasti punca atau masalah sebenar yang dihadapi. Ada beberapa perkara yang perlu anda ingati juga;

  • Anda perlu berjumpa dengan doktor untuk mengesahkan sama ada wujud atau tidak penyakit lain seperti SLE dan penyakit tiroid.
  • Jika anda sedang stres, besar kemungkinan keguguran rambut tersebut berlaku disebabkan oleh stress yanng sedang dihadapi itu. Bagi masalah ini, rambut akan tumbuh semula.
  • Usah bimbang jika keguguran disebabkan oleh jangkitan kulat kerana jangkitan kulat boleh dirawat dengan ubat-ubatan.
  • Terdapat ubat yang boleh membantu dalam menangani masalah botak. Contohnya, minoxidil dan finasteride. Kedua-dua ubat ini dapat membantu memperlahankan atau mencegah masalah botak.

Mungkin anda tidak dapat menghalang masalah kebotakan yang berlaku secara semula jadi. Tetapi, ada cara untuk menghalang masalah keguguran rambut akibat daripada kerosakan rambut yang menyebabkan rambut semakin menipis.

Cuba tips di bawah untuk mengekalkan kecantikan rambut anda. Bagi mereka yang sudah menghadapi masalah, masih belum terlambat untuk mengamalkan tips berikut:

  • Hargai warna rambut dan rupa rambut anda yang sebenar. Dandanan pada rambut seperti mewarnakan dan mengeritingkannya boleh menyebabkan rambut menjadi rosak dan seterusnya mengundang masalah penipisan rambut. Kalau anda masih mahu mewarnakan atau mengeritingkan rambut dan pelbagai lagi kaedah mencantikkan di pasaran, pastikan anda memberikan rambut anda masa untuk pulih sebelum melakukan dandanan rambut yang seterusnya.
  • Pilihlah produk yang sesuai dengan keperluan rambut anda terutama semasa memilih syampu. Pemilihan sikat rambut juga penting. Sesetengah sikat rambut termasuk penggulung rambut boleh merosakkan rambut.
  • Sikat rambut dengan baik bermula dengan berus yang sesuai yang tidak menarik rambut. Cuba bersikap lembut terhadap rambut anda. Menggunakan berus rambut semasa rambut lembap bukanlah pilihan yang baik. Gunakan sikat yang biasanya digunakan lelaki untuk menyikat rambut yang lembap.

Rambut yang cantik adalah impian setiap orang. Kerana itulah juga rambut disebut sebagai mahkota. Masalah yang datang secara semulajadi usahlah terlalu dibimbangkan melainkan mengikut sahaja rawatan yang diperlukan.

Namun, bagi masalah yang timbul akibat kerosakan daripada aktiviti harian, itulah yang perlu diambil berat agar mahkota yang ada kekal indah, sihat dan menggembirakan pemiliknya.

Rujukan:



Penulis: Samsiah Ahmad

Merupakan salah seorang penulis di Bidadari.My. Berminat dengan ilmu kerohanian dan lukisan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.